Tuesday, May 15, 2012

Latihan ujian gempa bumi


MUSNAH teruk. Beginilah sebahagian besar kawasan di Aceh selepas dilanda tsunami lapan tahun lalu.


KEBANYAKAN pelajar sekolah di Aceh, Indonesia mempraktikkan perkara yang dipelajari pada sesi latihan persediaan bencana ketika berdepan dengan bencana sebenar.

Pada 11 April lalu, Aceh sekali lagi bergegar. Ketika insiden berlaku, pelajar dan staf di Sekolah Tinggi Jeumpa Puteh, Banda Aceh, tenang dan meneruskan sesi pembelajaran seperti biasa. Mereka berpendapat ia hanya gegaran kecil yang kerap berlaku memandangkan Aceh antara wilayah Indonesia yang terdedah pada gempa bumi.

"Namun lama-kelamaan gegaran itu semakin kuat dan berlarutan selama beberapa minit. Saya melihat pokok bergoyang, kereta ke depan dan ke belakang manakala tingkap pula tertutup kuat.

"Kami sedari ia bukan gegaran biasa ataupun kecil tetapi gegaran besar yang memerlukan kami meninggalkan kelas pada kadar segera," jelas Zikra Latasha, 15, menceritakan kejadian gempa bumi bermagnitud 8.6 yang menggegarkan Sumatera.

Berkat latihan kecemasan yang acap kali dipraktikkan di sekolah, mereka diajar supaya bertenang dan menumpukan perhatian supaya segera berkumpul di tanah tinggi atau kawasan lapang.

Di tapak perhimpunan dengan menggunakan corong pembesar suara, pengetua mengarahkan para pelajar mematuhi garisan anak panah berwarna merah dan biru yang dilukis di dinding. Anak panah tersebut memberi panduan kepada mereka laluan menuju ke kawasan padang yang luas.

Sambil berzikir mengucapkan Subhanallah (Maha Suci Allah), mereka pantas mencapai beg sekolah dan berjalan keluar dari kelas masing-masing apabila diberitahu tentang gegaran besar tersebut. Tragedi itu merupakan gempa kali kedua terbesar berlaku di Lautan Hindi selepas tsunami pada tahun 2004 yang telah meragut 170,000 nyawa penduduk Aceh.

Amaran berjaga-jaga

Sementara itu, gegaran gempa bumi berkenaan turut dirasai warga Thailand manakala India, Indonesia, Kenya, Malaysia, Pulau Reunion, Sri Lanka dan Myanmar mengeluarkan amaran berjaga-jaga atau arahan mengosongkan bangunan.


MESKIPUN sudah menjalani latihan gempa bumi, namun masih ada pelajar yang berasa bimbang, takut dan menangis.


Gempa itu turut disusuli satu lagi gempa bumi yang memerlukan pihak berkuasa mengeluarkan amaran berjaga-jaga tsunami. Walau bagaimanapun gegaran kedua itu surut dan menyebabkan kerosakan minimum.

"Kami tidak panik dan tidak bertolak-tolak sesama sendiri. Kami mempraktikkan apa yang diajar dalam program latihan kecemasan.

"Meskipun sudah dilatih tetapi segelintir pelajar masih berasa bimbang, takut dan menangis. Ada yang memanggil nama ibu dan ayah bahkan ada juga menarik-narik baju saya. Bahkan, beberapa orang pelajar sesak nafas dan pengsan," tutur Rumiana, 52, seorang guru matematik.

Rakannya, guru kimia, Zahratus Safara, 50, menyatakan mereka saling berpegang tangan dan memeluk antara satu sama lain untuk menenangkan diri.

Dalam tempoh tujuh tahun sejak gelombang tsunami pada tahun 2004 yang hampir memusnahkan wilayah itu, Indonesia telah melakukan pelaburan yang tinggi untuk menyediakan peralatan pengesan awal tsunami, membina bangunan yang kukuh terhadap gempa bumi atau pengurangan bencana.

Jeumpa Puteh merupakan salah sebuah sekolah di wilayah Aceh yang terlibat dalam latihan pengurusan bencana di bawah kendalian Pusat Kajian Mitigasi Bencana Tsunami Aceh (TDMRC).

Kakitangan dan pelajar sekolah tersebut didedahkan dengan subjek bantuan kecemasan dan melakukan latihan bencana secara berkala. Ia bertujuan untuk melihat keupayaan dan persediaan mereka berdepan dengan tragedi seperti tsunami dan gempa bumi.

Di sekolah rendah Oi Blang, enam orang guru dan pelajar terselamat dalam latihan tsunami tahun 2004.

"Jika tanda-tanda gempa berlaku di atas kepala, di bawah meja, elak keluar menerusi tingkap, sebaliknya segera berlari ke kawasan lapang," nyanyi seorang pelajar berusia 12 tahun sewaktu sesi latihan bencana.


PAPAN tanda yang menunjukkan arah dan laluan yang sepatutnya digunakan orang ramai jika berlaku tsunami di Banda Aceh, Indonesia.


Semasa penggera berbunyi, mereka menutup kepala dengan buku dan beg sekolah serta segera mengatur langkah keluar dari kelas.

Selepas tragedi gempa bumi berlaku bulan lalu, lima orang penduduk mati akibat serangan jantung dan terkejut.

Koordinator TDMRC, Faisal Ilyas memberitahu gempa bumi itu membuktikan bahawa sesi latihan persediaan kecemasan perlu dilakukan dari semasa ke semasa terutamanya di sekolah.

"Puluhan ribu pelajar dan guru selamat kerana mengikut prosedur seperti yang ditetapkan. Justeru, sesi latihan wajar diteruskan kerana ini bukanlah gempa bumi yang terakhir," jelas Ilyas.

"Saya berasa takut sekiranya tanah merekah lalu saya tertimbus . Saya juga bimbang jika semua orang lain mati dan saya keseorangan. Apa yang boleh dilakukan ialah berdoa kepada Tuhan semoga semuanya selamat," jelas Koni Armandani yang berusia 15 tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: