Tuesday, May 15, 2012

Fleksibiliti tubuh membentuk objek


Teknik lakonan fizikal menghasilkan sebuah lakonan pentas yang sangat dramatik dan mengagumkan.


INESSA IRDAYANTY KHAIRIL ANWAR tiba di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tepat pada pukul 8 malam untuk menyaksikan sebuah persembahan teater bertajuk Wayang walaupun waktu itu hujan turun mencurah-curah.

Menurut firasat wanita berusia 22 tahun itu, persembahan tersebut pasti sedang menghadapi masalah kerana sudah lewat 15 minit daripada jadual asal iaitu pada pukul 8.30 malam.

Inessa dapat melihat lampu pentas dan dewan tiba-tiba menyala secara serentak dan berkelip-kelip umpama percikan mercun. Kadangkala lampu utama pentas menyala begitu terang sehingga memedihkan mata.

Telahannya benar belaka apabila pengarah teater, Sabera Shaik muncul di tengah pentas membuat pengumuman berlaku masalah teknikal pada sistem pencahayaan.

"Saya sudah menonton dan terlibat dengan teater sejak kecil lagi. Jadi, masalah seperti itu perkara biasa," kata anak bongsu pelakon Azean Irdawaty.

Teater eksperimental

Kesabaran Inessa dan penonton lain berbaloi apabila selepas 45 minit menunggu, persembahan pun bermula.

Sehingga kini, Sabera dan pasukannya masih tidak mengetahui punca berlaku kerosakan yang berlaku pada sistem pencahayaan mereka pada malam itu.

Sebaik tamat teater Wayang, para penonton berdiri memberi tepukan gemuruh. Segala perasaan marah ketika menunggu tidak menjadi kudis kepada mereka.

Dalam keadaan teruja, Inessa berkata, Wayang begitu bijak apabila berjaya membawa kisah penceritaan berbentuk fakta dengan cara santai dan menarik.

"Jika jalan cerita yang sama dipentaskan menggunakan genre teater konvensional atau tradisional, sudah pasti membosankan.

"Hasil yang dipertontonkan sangat cantik dan bagi saya, ia benar-benar sebuah teater eksperimental," luah Inessa melontarkan idea.

Tambah pemegang diploma seni persembahan daripada Kolej SEGi Subang Jaya, Selangor itu, idea Wayang yang menggabungkan disiplin tarian dan lakonan serta diterjemah dalam bentuk bayang-bayang memberi kelainan kepada penonton sepertinya.

Dia yang meminati genre drama tidak pernah menonton teater sebegitu menarik walaupun tidak pernah ketinggalan menonton teater eksperimen sejak kecil.

Penceritaan Wayang terbahagi kepada dua. Bahagian pertama berkisar mengenai sejarah Kuala Lumpur manakala cerita kedua memaparkan kritikan sosial, perubahan sosioekonomi dan situasi terkini di ibu negara Malaysia.


ADEGAN Yap Ah Loy ketika bersidang dengan ahli perniagaan Cina ini menggunakan 100 peratus badan manusia termasuk objek perabot.


Setiap bahagian disampaikan dengan sketsa-sketsa pendek dirangkum menjadi satu. Inessa membuat kesimpulan, jika diterjemah cerita Wayang dalam bentuk teks, ia berbentuk poin.

Lari daripada stereotaip teater Malaysia yang memerlukan pelakon melontarkan skrip panjang, aktor Wayang seramai 12 orang hanya menggunakan fleksibiliti badan.

Bayang-bayang yang terbentuk pada skrin membentuk imej-imej biasa seperti kerusi, sampan dan kereta bagi menyampaikan jalan cerita.

Menggunakan teknik penceritaan pentas tradisional, wayang kulit iaitu karakter berlakon di sebalik layar putih. Wayang turut menggabungkan genre teater fizikal termasuk teknik pengurusan.

Teater fizikal boleh dikatakan masih baharu di Malaysia tetapi menurut Sabera, sebuah kumpulan teater di Amerika Syarikat (AS), Pilobolus sudah lebih tiga dekad mempopularkan genre sebegitu.

Kumpulan tersebut benar-benar sebuah kumpulan teater fizikal melalui cara penyampaian jalan cerita. Mereka mampu memuatkan 20 orang membentuk sebuah kereta selain mampu membentuk angka lapan dengan mudah.

Tetapi sebagai seorang yang sudah menonton persembahan wayang kulit sejak kecil di Kelantan, Sabera tidak mahu menceduk bulat-bulat idea tersebut sebaliknya mencantumkan idea seni Melayu dengan Barat.

Sahabat wanita lingkungan 50-an itu yang bernama Larry Reed dari San Francisco, AS juga ada membuat teater eksperimen seakan-akan sama tetapi menggunakan watak wayang kulit Bali.

Aliran persembahan pentas yang digelar sebagai teater wayang itu memerlukan ketepatan dalam semua segi seperti ketetapan masa, kejituan bentuk yang dihasilkan dan kerjasama serta keserasian antara pelakon.

Untuk masuk ke pentas sahaja, memerlukan setiap pelakon menguasai teknik berguling dengan pelbagai kaedah dari segi arah masuk dan keluar serta bentuk badan ketika gulingan dibuat.

Bebas berekspresi

Sebuah peta perjalanan di atas pentas menyerupai huruf V di buat bagi memudahkan pelakon bergerak manakala kedudukan aktor ditandai dengan kod warna.

Setiap pelakon harus mengingati setiap adegan, peranan, arah masuk, warna kedudukan dan isyarat keluar serta masuk pentas dalam satu masa.

"Kedudukan amat penting kerana skrin layar boleh menghasilkan imej yang sangat 'kuat'. Sedikit pergerakan boleh dilihat dengan mudah oleh penonton.

"Sebagai contoh, jika pelakon yang membentuk imej kereta tidak berada pada kedudukan betul, bayang kereta yang terhasil kelihatan renggang," terang Sabera ketika ditemui di pejabat Masakini Theater, Kuala Lumpur.

Pada asasnya, jika pelakon terlalu jauh daripada skrin, imej yang terhasil sangat besar manakala dekat pula menyebabkan karakter yang terpancar menjadi kemetot.

Menurut Sabera, pelakon diberikan kebebasan berekspresi sepenuhnya melalui tubuh badan ketika sesi latihan berbekalkan ringkasan cerita pada babak yang mahu dilakonkan.

Subteks melalui gestur dan pergerakan badan sahaja dipertontonkan. Teks yang minimum digunakan melalui pencerita.

Jika pelakon menghadapi kesukaran untuk menggambarkan perasaan melalui tubuh badan. Sabera akan memberi sebaris dialog untuk digunakan semasa latihan. Apabila perasaan yang dikehendaki dapat dikuasai, semua dialog akan dibuang.

Penambahbaikan dibenarkan sepanjang sesi latihan. Tetapi tegas Sabera, para pelakon tidak dibenarkan sama sekali melakukan apa-apa gerakan secara spontan ketika persembahan.

Selain memerlukan fleksibiliti tubuh badan pelakon, Wayang turut menggunakan teknik bayang-bayang tangan (shadowgraphy) bagi membentuk haiwan-haiwan kecil seperti burung terbang atau sedang bertenggek.

Shadowgraphy merupakan sejenis persembahan seni yang menggunakan tangan membentuk bayang-bayang dalam menyampaikan jalan cerita.

Dari sudut kemahiran berlakon, aktor seperti Az'farr Baginda, 29, mahukan sebuah watak yang boleh mencabar diri dan berbeza.

Tidak mahu terperangkap dalam karakter yang sama, Az'farr lantas mengakui Wayang mengajarnya banyak perkara terutama bahasa tubuh.

Kini, dengan ilmu yang dikutip bersama-sama kumpulan Wayang, dia dapat mengaplikasi kemahiran tersebut pada produksi teater lain.

Paling bermanfaat adalah ketika menyebut dialog. Pengucapan dialog tidak lagi membosankan kerana ditambah dengan elemen bahasa tubuh.

Akui Az'farr, paparan emosi dalam lakonannya kini tidak terhad pada permainan suara, malah gaya bahasa tubuh turut dalam diperkaya.

Sudah terlibat dalam bidang teater berbahasa Inggeris lebih enam tahun, Wayang mencabar dirinya dalam membina karakter baik watak manusia ataupun objek.

Bukan seorang penari yang memiliki badan mudah lentur, Az'farr bergelut untuk melakukan pelbagai aksi terutama apabila kumpulan penari daripada Dua Space Dance Theatre mula menyertai mereka.

"Pengarah (Sabera) pula sangat tegas dalam sesi latihan. Kami diberi masa seminggu bagi membuktikan layak melakukan sesuatu komposisi bayang-bayang.

"Jika gagal dalam tempoh yang diberikan, tempat kita akan diganti dengan orang lain," luah lelaki yang berkelulusan sarjana dalam bidang undang-undang itu.

Sesi latihan

Wayang merupakan sebuah persembahan yang menyaksikan anak kelahiran Kuala Lumpur itu melakonkan banyak watak seperti Sir Gerald Templer, Sir William Treacher, ahli perniagaan berbangsa Cina dan kongsi gelap Cina selain orang ramai.

Antara objek yang dilakonkan oleh lelaki itu pula ialah mangkuk tandas, kereta lembu, Istana Negara, bahagian depan vespa dan sungai.

Kata Az'farr, sesi latihan Wayang sangat memenatkan dan berpanjangan. Tempoh masa latihan teater konvensional boleh mencapai tiga bulan dengan jadual latihan antara empat hingga lima kali seminggu.

Tetapi, Wayang mengambil masa minimum empat bulan. Cerita Az'farr, mereka tetap meneruskan latihan untuk membaiki skil dan bereksperimen mendapatkan imej bayang-bayang terbaik antara waktu selepas tamat persembahan Wayang 1 hingga latihan intensif untuk persembahan Wayang lalu.

Wayang 1 merupakan sebuah persembahan pada bulan Mei 2011 yang hanya memaparkan hasil imej bayang-bayang tanpa cerita.

Sabera yang baru pulang dari Rusia untuk mendalami skil lakonan fizikal bakal menerbitkan wayang ketiga. Wayang kali ini akan memaparkan cerita pendek selama 15 minit setiap satu pada bulan November ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: