Monday, May 14, 2012

Kasut pengerat kasih sayang

Linda memilih kasut untuk anaknya, Nelly Sofea.

APABILA berjalan-jalan di kompleks membeli-belah atau bersiar-siar di taman tentu banyak mata yang memandang anda, suami dan anak yang berpakaian sama warna. Pastinya hati berbunga bangga kerana anda sekeluarga diibaratkan sebagai keluarga bahagia.

Memang mudah mencari baju yang sama warna dengan suami dan anak-anak. Namun agak sukar untuk mendapatkan kasut yang sama rekaan.

Bagi seorang ibu, sudah tentu gembira jika anak perempuannya turut berpeluang memakai seperti apa yang dipakainya termasuk kasut.

Keinginan untuk memakai kasut yang sama dengan anak perempuan anda akan menjadi kenyataan jika ke Tiamo kerana gedung kasut itu menyediakan pelbagai pilihan kasut untuk ibu dan anak.

Semua kasut yang direka di gedung itu adalah kasut leper atau bertumit rendah yang dijamin selesa bagi wanita dan kanak-kanak.

Wanita yang suka memakai kasut leper pasti gembira kerana Tiamo menyediakan kasut pilihan mereka. Kini mereka tidak perlu lagi berjalan daripada sebuah kedai kasut ke kedai kasut lain untuk mencari kasut leper yang boleh dipakai ke pelbagai acara dan majlis.

''Sebagai gedung konsep pertama sepertinya di Malaysia, Tiamo semata-mata memberi tumpuan pada kasut leper dan kasut sarung balerina yang akan membawa anda ke pelbagai acara dan di mana-mana sahaja.

''Dengan bermacam pilihan kasut leper dan kasut sarung yang selesa, Tiamo dapat menawarkan kasut yang sesuai digayakan oleh wanita ke mana-mana sahaja, baik pertemuan santai mahupun mesyuarat formal malah ke majlis glamor,'' ujar Pengurus Komunikasi dan Pemasaran Aivoria Group Sdn. Bhd., Gail Ong yang merupakan pengedar kasut Tiamo ketika ditemui di gedung Tiamo di Pusat Membeli-belah 1Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.

Tambah Gail, kasut Tiamo yang bermakna 'aku cintakan kamu' dalam bahasa Korea menggabungkan gaya eksklusif perekanya yang berasal dari Korea, bahan klasik, perincian yang begitu menarik seperti batu-batu permata, manik, reben dan sebagainya serta seni kraf berkualiti yang pasti menarik perhatian dan hati peminat kasut leper.

''Semua kasut Tiamo dibuat dengan tangan bagi menghasilkan tapak yang berkualiti dan bergaya. Ia direka berasaskan kehalusan seni kraf bagi memastikan kasut mengekalkan strukturnya yang teguh dan tidak kehilangan bentuk selepas beberapa kali dipakai.

''Kasut selalunya lebih menarik apabila digabungkan dengan pelbagai tekstur, bahan dan warna. Di Tiamo, seni kraf yang serba canggih digandingkan dengan sentuhan moden untuk menggabungkan bahan berlainan yang memberi kelebihan tambahan manakala hiasan dan sisipan memberi sentuhan keanggunan.

''Tiamo juga memberikan kasih sayang dan perhatian kepada pelanggan menerusi aksesori seperti lapik tapak kasut, lapik tumit belakang dan aksesori lain untuk menjaga kaki anda.

''Bagaimanapun, koleksi Tiamo yang paling menarik ialah koleksi kasut untuk ibu dan anak perempuan dalam siri Love yang mencerminkan keseronokan, kegembiraan dan kesungguhan.

''Anak-anak melihat ibu mereka sebagai ikon. Mereka sentiasa mahukan barangan mereka sama dengan ibu mereka. Dengan adanya kasut ibu dan anak ini, kami pasti hubungan ibu dan anak akan menjadi lebih rapat,'' ujar Gail.

Menurutnya, kasut ibu dan anak Tiamo menawarkan gandingan kasut yang sepadan untuk dipakai oleh ibu dan anak perempuan berumur di antara dua tahun hingga lapan tahun dengan selesa dan bergaya apabila mereka keluar bersama.

Katanya, di Tiamo, mereka sentiasa berusaha memastikan setiap pasang kasut yang dibeli pelanggan akan mengiringi perjalanan pelanggan selama yang boleh dan kekal buat selama-lamanya.

Turut hadir pada pertemuan ini ialah dua orang ibu bersama anak perempuan masing-masing yang merupakan peminat setia kasut ibu dan anak Tiamo.

Azura Hanum Abdullah Sani, 39, seorang setiausaha projek di sebuah syarikat gas dan minyak di ibu kota berkata, dia dan anaknya, Nikkisha Roszaidy, 8, telah setahun memakai kasut Tiamo.

''Belum ada kedai kasut lain menjual kasut yang sama untuk ibu dan anak. Apabila mengetahui mengenai kasut ini saya berasa gembira sangat kerana dapat memakai kasut yang sama rekaan dengan Nikkisha.

''Begitu juga dengan Nikkisha yang berbangga kerana kasutnya sama dengan saya. Apabila pergi berjalan-jalan kami seronok apabila orang ramai memerhatikan kasut kami. Namun apa yang lebih penting ialah kasut ini selesa walaupun setelah beberapa jam berjalan,'' kata Azura yang memiliki tiga pasang kasut yang sama dengan Nikkisha.

Sementara itu, Linda Mahmud, 35, seorang pengurus projek yang mempunyai dua orang anak perempuan, Nelly Sofea Hezreen, 7, tahun dan Evanna Sofea Hezreen, 4, memang seorang yang gila kasut.

''Saya mula-mula memakai kasut ini pada tahun lalu setelah melihatnya di Pulau Pinang. Kemudian seorang kawan memberitahu kasut ini ada di jual di Kuala Lumpur.

''Apa yang membuatkan saya tertarik ialah gedung ini turut menjual kasut yang sama rekaan untuk anak. Anak-anak saya memang suka sangat dapat pakai kasut yang sama dengan saya,'' jelasnya yang selesa berkasut leper.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: