Sunday, May 6, 2012

Kasar dan gila-gila

pix_middle

MENGENALI Cristina Suzanne Stockstill, 27, wanita berdarah kacukan Melayu sebelah ibu dan Amerika (bapa) dia, gemar bergaya ringkas. Jika bukan atas urusan kerja, si jelita ini selesa membiarkan wajahnya polos tanpa secalit solekan.

Bahkan pertama kali menghadiri sesi fotografi bersama SELEBRITI di Balai Berita setahun lalu, dia tampil dengan solekan sederhana. Meskipun bergaya ala kadar, pesonanya terserlah bahkan wajahnya tidak jemu dipandang.

  • Foto

  • Foto

Itulah keunikan si jelita ini selain sikap bersahaja dan tutur bicaranya yang telus. Berbual dengannya, tiada istilah rahsia. Tanyalah apa saja pasti dijawab dengan jujur.

Tatkala wajahnya dirakam untuk kulit muka depan SELEBRITI baru-baru ini, dia tersenyum apabila disolek anggun. Dia umpama puteri kayangan apabila menyarungkan busana rekaan O’oi Couture.


Setiap kali diminta bergaya lebih feminin depan lensa kamera, bintang utama drama rantaian romantik popular, Bicara Hati yang diadapatasi dari novel karya Damya Hana ini, pasti ketawa geli hati.


“Maaf, kelakar pula rasanya sebab lari benar dari personaliti sebenar saya. Ramai sangka saya selembut Zahlia dalam Bicara Hati walhal personaliti kami berbeza. Saya bukan jenis yang feminin tetapi agak kasar, gila-gila dan periang orangnya.

“Biarpun pernah bertugas di awan biru, saya tidak boleh ‘kontrol’ cantik. Kalau buat-buat feminin, automatik saya akan rasa rimas dan mengantuk,” katanya sambil ketawa.

Meskipun sudah mampu berdiri sebaris dengan pelakon wanita muda lain yang sedang meniti populariti, teraju siri Projek Pop ini enggan berpeluk tubuh menanti rezeki datang bergolek depan mata, sebaliknya dia aktif menghadiri uji bakat.

Ini kerana dia percaya sebagai pelakon yang masih hijau, itulah cara paling praktikal untuk memperkenalkan namanya selain melihat sendiri sama ada watak yang ditawarkan itu sesuai atau tidak untuk dijiwai.

“Alhamdulillah selepas Bicara Hati, rezeki kian bertambah. Usai penggambaran drama itu, saya membintangi siri Projek Pop yang kini masih bersiaran di 8TV setiap Ahad, dan drama Member Ku Hawa.

“Kini saya sedang berehat dan memenuhi masa terluang dengan menghadiri uji bakat. Ada juga yang bertanya kenapa saya tidak tunggu saja tawaran datang. Jawapan saya mudah saja, itu bukan cara saya. Untuk dapatkan kerja, saya tidak malu menghadiri uji bakat dan bertanya kepada kawan-kawan.

“Baru setahun saya menceburi bidang lakonan dan saya sedar ramai lagi yang lebih bagus daripada saya. Justeru itu lebih baik hadiri uji bakat kerana daripada situ, produksi boleh tahu kemampuan saya. Andai sesuai, mereka akan ambil saya berlakon dan kalau tidak, bermakna itu bukan rezeki saya.

“Tidak dinafikan, sebelum ini beberapa tawaran terpaksa saya tolak kerana watak klise. Selepas Bicara Hati, saya banyak dapat watak air mata. Bukan saya tidak suka tetapi saya mahu kelainan. Jika asyik sama, karier saya tidak akan berkembang. Saya berlakon bukan untuk cari duit semata-mata tetapi mahu terokai kemampuan diri dan berikan persembahan yang boleh saya banggakan di hari tua nanti,” kata dara kelahiran Johor Bahru ini.



Mahu dekati negara miskin

JAUH perjalanan luas pandangan. Kata pepatah ini ada benarnya kerana sepanjang tujuh tahun bertugas sebagai anak kapal pesawat komersial bermula 2003, membuka mata dan minda Cris terhadap banyak perkara terutama dalam memahami cara hidup dan budaya luar.

Boleh dikatakan semua benua sudah dikunjungi si cantik manis ini namun yang melekat di hatinya bukanlah negara maju sebaliknya negara miskin dan kurang membangun andai ingin bercuti.

“Saya suka memerhati perlakuan orang. Setiap kali ke luar negara, saya akan perhatikan cara hidup, budaya penduduk di situ serta bagaimana penerimaan mereka terhadap orang luar. Separuh negara mereka tak pedulikan pelancong dan ada juga yang sangat mengalu-alukan kehadiran orang luar.

“Saya kurang suka Eropah kerana orangnya kurang mesra dan kota-kota besarnya agak membosankan. Mungkin bagi mereka yang suka membeli-belah akan suka tetapi tidak saya. Kalau pun suka, hanyalah Greece kerana ada banyak kesan tinggalan sejarah dan misteri.

“Jika mahu bercuti, saya lebih suka ke Santorini Greece, Seyschelles, India, Nepal dan negara ketiga yang lain. Kalau ke negara kurang maju, kita boleh belajar macam-macam perkara dan jumpa barang-barang yang jarang ditemui di negara lain di mana harganya murah.

“Sejak kecil, saya sudah biasa ikut ibu berkunjung ke kawasan yang mundur untuk melihat budaya dan gaya hidup masyarakat di situ. Apabila melihat kesusahan mereka, kita akan rasa insaf dan lebih bersyukur. Banyak pengajaran yang saya perolehi menerusi kunjungan itu,” katanya yang sentiasa berpegang kuat dengan pepatah jangan selalu mendongak ke langit, sesekali pandang rumput di bumi.

Cris tidak ketinggalan berkongsi pengalamannya bercuti di Kemboja bersama keluarganya baru-baru ini. Banyak perkara dapat ­dipelajari menerusi pemerhatiannya terhadap taraf ekonomi dan cara hidup penduduk negara berkenaan yang dibelenggu kemiskinan. Hampir gugur air matanya melihat anak-anak kecil comot dan tidak terurus bermain sesama sendiri.

Sebelum bertolak ke negara itu dia mencari sebanyak mungkin maklumat mengenai aktiviti pelacuran kanak-kanak yang menjadi tumpuan masyarakat dunia. Tekadnya dia mahu melihat sendiri bagaimana senario itu namun hasrat itu tidak kesampaian berikutan tidak ada yang sanggup membawanya ke tempat berkenaan atas faktor keselamatan.

“Saya difahamkan Kemboja menjadi tumpuan ramai Mat Saleh yang obses dengan pelacur kanak-kanak. Saya tak dapat bayangkan bagaimana kehidupan kanak-kanak perempuan yang dilacurkan. Betapa malangnya hidup mereka, kerana tiada pilihan mereka terpaksa akur dengan keadaan itu.

“Menerusi pembacaan, saya terpanggil untuk melihat sendiri aktiviti yang saya kira sangat kejam itu. Tidak sewajarnya kanak-kanak dijadikan bahan pemuas nafsu tetapi di sana ia menjadi salah satu sumber ekonomi.

“Dari dulu saya memang sensitif perihal yang babitkan kanak-kanak. Ingat lagi, ketika berusia sembilan tahun, ibu bawa saya bercuti ke Bangkok. Di sana kami ke perkampungan orang asli dan melihat masyarakat di sana hidup dalam kedaifan. Untuk ke kampung itu kami kena naik sampan.

“Saya terfikir kalaulah ada orang sanggup datang mengajar terutama bahasa Inggeris untuk buka minda penduduk kampung itu pasti keadaan sedikit sebanyak akan berubah. Paling tidak pun nasib anak-anak mereka akan lebih terjamin
“Sejak itu saya berazam untuk membela nasib kanak-kanak. Saya mahu sertai kerja-kerja sosial dan mana-mana badan NGO yang menegakkan hak kanak-kanak. Jika ada peluang saya pasti tidak akan lepaskan,” kata ulat buku yang gemar memerap di rumah dan menghabiskan masa senggang dengan melukis ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: