Sunday, May 6, 2012

Berkelana di South Island

PANORAMA INDAH...pemandangan Lake Tekapo pada waktu petang.
PANORAMA INDAH...pemandangan Lake Tekapo pada waktu petang.

JAUH perjalanan luas pandangan, sememangnya ada benarnya kata bijak pandai dengan mengambil kira pengalaman memandu sejauh 2,140 kilometer (km) menjelajah South Island di New Zealand.

Tempoh lapan hari berkelana di pulau ke-12 terbesar dunia itu sungguh bermakna buat penulis bersama tiga lagi rakan Yid, Maz dan Nana kerana kami tidak menggunakan khidmat pemandu pelancong atau teksi.

  • Foto

    KENANGAN...penulis bersama rakan selepas rangka lawatan mengelilingi Milford Sound.

  • Foto

    TERNAKAN...kambing biri-biri meragut di tepi jalan menuju Queenstown dari Te Anau.

  • Foto

    REHAT MATA...Lake Waihola di Te Anau pada waktu senja.

  • Foto

    LOKASI FILEM...permukaan tanah berbonggol di Elephant Rocks, Duntroon.

  • Foto

    PERINGATAN WIRA...Sir Edmund Hillary Alpine Centre di Mount Cook.

  • Foto

    NANTI...orang ramai menunggu bot di Jeti Milford Sound.

Sebaik menjejakkan kaki di Christchurch dari Kuala Lumpur pada jam 11 malam, kami bermalam di rumah teman baik, Minnie yang bekerja di negara kiwi itu sebelum memulakan perjalanan mengelilingi South Island keesokannya.

Terlebih dulu, kami membeli barangan keperluan makanan untuk dimasak sepanjang perjalanan. Kami juga membeli peta dan merancang perjalanan sebelum memulakan penjelajahan.


Perjalanan dengan kereta dari Christchurch bermula pada tengah hari ke Tasik Tekapo sejauh 271km mengambil masa tiga setengah jam.


Sepanjang perjalanan, mata terpesona dengan panorama indah kawasan berbukit-bukau dengan ladang biri-biri di sebelah kiri dan kanan jalan.

Kebetulan, waktu itu baru memasuki musim luruh, menyebabkan rumput dan tumbuhan-tumbuhan berwarna kuning-kekuningan. Sangat indah!

Apabila ada kesempatan, kami pasti berhenti untuk mengambil gambar sebagai kenangan, apatah lagi air sungai dan tasiknya hijau kebiruan, malah sungguh jernih.

Ini menyebabkan perjalanan yang sepatutnya mengambil masa tiga jam setengah bertambah sejam lagi kerana kami kerap berhenti.

Walaupun tiba di Tasik Tekapo pada lewat petang, kami sempat menikmati keindahannya panorama sekitarnya dalam suhu yang dingin, terutama lewat malam.

Keesokan paginya, kami bersiap untuk bertolak ke Mount Cook yang akan melalui Tasik Pukaki. Sebelum meninggalkan Tasik Tekapo, kami singgah sebentar di Church of Good Sheperd, iaitu sebuah gereja yang menjadi simbol sejarah di situ.

Sepanjang perjalanan ke Mount Cook, hujan renyai-renyai menyebabkan kami perlu lebih berhati-hati ketika memandu. Ketika tiba, hujan masih tidak reda, menyebabkan rancangan kami untuk mendaki sebahagian gunung itu terpaksa dibatalkan.

Bagaimanapun, kami sempat singgah di Galeri Sir Edmund Hillary, iaitu orang New Zealand pertama sampai ke puncak Gunung Everest. Di galeri itu dipamerkan foto, kereta dan video mengenai kejayaan pendaki terulung itu.

Perjalanan kemudian diteruskan ke Dunedin melalui Twizel yang juga dikenali sebagai ‘bandar pokok’ sebelum ke Duntroon untuk melawat Vanished World Elephant Rocks yang menjadi lokasi penggambaran filem Narnia. Batu-batu di situ kelihatan seperti berbentuk gajah dan ada banyak biri-biri meragut rumput.

Selepas setengah jam di Duntroon, kami meneruskan perjalanan ke Pantai Koekohe untuk melihat Moeraki Boulders. Di sini, batu-batan di tepi laut adalah besar serta berbentuk bulat dan licin.

Batu-batan ini sebenarnya mengalami proses luluhawa dan hakisan menjadikannya berbentuk sebegitu tetapi bagi penduduk peribumi, ia dianggap suci.

Hujan renyai menyebabkan kami tidak dapat memandu laju sehingga tiba di Dunedin jam 6.30 petang. Kami menginap di Central Backpackers yang terletak di Moray Place. Ia tidak jauh dari Octagon. Di Dunedin, terletaknya University Of Otago yang juga universiti tertua di New Zealand dan menawarkan kursus berkaitan sains, psikologi, pengurusan perniagaan dan banyak lagi.

Waktu malam di Dunedin sunyi dan banyak kedai tutup seawal jam 8 malam. Ini menyebabkan kami pulang ke tempat penginapan pada jam 10 malam.

Pagi keesokannya, kami memulakan perjalanan ke Lorong Paling Curam Di Dunia (World’s Steepest Street) yang terletak di Baldwin Street. Setiap tahun diadakan pertandingan berlari di lorong sangat curam ini.

Kami kemudian bertolak ke Cadbury’s World di Cumberland Street sebelum mengunjungi kilang coklat Cadbury dan melihat proses penghasilannya sebelum ke stesen kereta api Taieri Gorge di Anzac Avenue. Stesen ini menghubungkan Dunedin dengan MiddleMarch, Palmerston atau Pukerangi.

Jam 1 tengah hari, kami memulakan perjalanan ke Te Anau yang terletak 289.6km dari Dunedin dan sempat singgah di Tasik Waihola untuk bergambar.

Sebaik tiba di Te Anau pada jam 5 petang, kami mendaftar masuk ke tempat penginapan di Tom Plato Street selepas berjalan-jalan sekitar pekan itu dan membeli cenderahati untuk keluarga.

Keesokannya, perjalanan diteruskan ke Milford Sound yang memakan masa dua jam serta melalui gunung-ganang dan tasik. Disebabkan bertolak awal pagi, kabus masih tebal dan cuaca mencecah 0 darjah Celsius sepanjang perjalanan. Dalam perjalanan itu juga, ada sebuah terowong curam dinamakan Homer Tunnel, menyebabkan pemanduan perlu berhati-hati dan cekap. Walaupun jalan raya curam dan berbukit, pemandangannya yang indah menyebabkan perjalanan ke bandar ini berbaloi.

Kami tiba di jeti Milford Sound jam 9.30 pagi dan terus membeli tiket bot mengelilingi pekan itu. Bot memulakan perjalanan jam 9.55 pagi dan mengambil masa dua jam untuk mengelilingi Harrison Cove, Mitre Peak, Stirling Falls, Dale Point, Anita Bay dan St Anne Point.

Kami juga diberi peluang melalui sempadan Laut Tasman yang berombak tinggi dan dalam. Di situ kami sempat melihat anjing laut duduk berehat dari jarak dekat.

Selepas tamat perjalanan ke Milford Sound, kami berpatah balik ke Te Anau untuk mengisi minyak kereta dan meneruskan perjalanan ke Queenstown. Perjalanan ke bandar ini mengambil masa dua jam 15 minit.

Sepanjang perjalanan, kami melalui tepi Tasik Wakatipu yang sangat luas dan cantik. Jalan raya ke bandar itu juga di lereng gunung dan memerlukan tumpuan dan kecekapan memandu.

Kami tiba di Queenstown lewat petang tetapi sempat berjalan sekitar bandar itu untuk membeli membeli ole-ole di DF Souvenir. Harga cenderahati di sini berpatutan berbanding kedai lain.

Selama dua hari di Queenstown, kami berpeluang bersiar-siar di sekitar bandar itu dan mengunjungi Glenorchy serta menaiki skyline gondola yang tiketnya berharga NZ$25 seorang.

Sepatutnya kami menaiki kapal pesiaran mengelilingi Tasik Wakatipu tetapi terlepas waktu perjalanannya yang hanya mempunyai tiga trip sehari. Seharian di situ, kami berehat di sekitar tasik sambil memberi makan itik dan burung jinak.

Rancangan asal ialah untuk ke Frenz Josef tapi dibatalkan kerana faktor masa dan terus bergerak ke Christchurch. Disebabkan perjalanan dari Queenstown ke Christchurch memakan masa lima jam, kami mengambil keputusan berhenti rehat di Methven kerana tidak mahu memandu pada waktu malam. Jalan raya di sini gelap dan tiada lampu jalan.

Kami singgah di sebuah pekan kecil, Cromwell untuk melawat ladang buah-buahan seperti ceri, anggur dan strawberi. Rancangan asal ingin memetik buah-buahan tetapi musimnya sudah tamat. Kami cuma dapat membeli jem dan buah-buahan yang dipetik dan diawet.

Waktu malam kami di situ diisi dengan sesi berbual dengan seorang pekerja di tempat penginapan bernama Aaron yang berasal dari United Kingdom tetapi sudah lima tahun bekerja

di New Zealand. Kami meninggalkan Matheven pada jam 10 pagi dan meneruskan perjalanan ke Christchurch sebelum pulang ke tanah air bersama pelbagai kenangan yang sukar dilupakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: