MEREKA pernah merasai saat jatuh bangun bersama dalam memperjuangkan muzik yang begitu asing iaitu rock alternatif pada 1994. Ketika itu, Ahmad Izham Omar bergelar pengasas dan juga Pengarah Pengurusan syarikat rakaman Positive Tone. Manakala Radhi bergelar penyanyi dan Qi sebagai pemain dram kumpulan Old Automatic Garbage (OAG) yang kemudiannya ditukar kepada Orang Asia Genius.
Pelbagai masalah peribadi dan dalaman yang berlaku memaksa mereka membawa haluan hidup masing-masing selepas itu. Bagaimanapun, siapa sangka selepas 18 tahun, gandingan ini bertemu semula untuk satu projek khas dalam penerbitan drama Friday I’m In Love yang bersiaran menerusi TV9 bermula 19 April lalu.
Meskipun dalam situasi berbeza dengan Ahmad Izham Omar kini bergelar Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Qi yang kini sukses sebagai pengacara dan pelakon serta Radhi masih kekal dalam kerjaya lamanya, status ini sedikitpun tidak membataskan kemesraan mereka yang berputik sekian lama.
Bahkan suasana di studio Balai Berita tidak sunyi dengan celoteh mereka bertiga yang kembali menguak jendela kenangan lalu. Sesekali pecah berderai ketawa mereka apabila dihidangkan dengan lawak selamba daripada Radhi. Ternyata, banyak perkara yang dikongsikan mereka mengenai pembabitan dalam siri drama 13 episod ini.
Friday I’m In Love diterajui oleh Qi sebagai Awang dan turut menampilkan pelakon lain iaitu Nellydia Senrose, Ryzal Jaafar, Aiman Mentor, Zoey Rahman dan Bella Dally yang membawakan watak sebagai teman Awang. Drama sarat dengan nilai persahabatan, kasih sayang dan kekeluargaan ini diilhamkan oleh Ahmad Izham sendiri. Manakala Radhi pula bertindak selaku penyanyi lagu tema.
“Saya sedang mendengar lagu Friday I’m In Love nyanyian The Cure dan terfikir untuk buat satu cerita berkisarkan seseorang yang sering jatuh cinta pada hari Jumaat dan berakhir pada Khamis berikutnya. Impian ini dapat direalisasikan sebaik bertemu dengan penulis skrip Sofia J Rhyland.
“Sebenarnya idea ini sudah tersimpan sejak tiga tahun lalu dan menerusi perbincangan dengan Sofia, kami bangunkan cerita ini mengikut situasi sekarang. Saya sendiri tak fikir dan sangka Qi dipilih untuk bawa watak ini kerana segala-galanya diserahkan kepada unit produksi.
Begitu juga dengan pemilihan Radhi sebagai pencipta dan penyanyi lagu tema drama ini.
“Saya terkejut apabila Jai (Jalena Rejab, penerbit) maklumkan perkara ini dan anggap ia sesuatu yang sangat menarik. Saya masih ingat kami bersama perah keringat memasarkan album pertama berjudul Old Automatic Garbage dan tiba-tiba album ini meletup. Inilah yang menyebabkan Positive Tone (PT) boleh terbitkan album artis lain.
“Tanpa mereka berdua, tiadalah saya pada kedudukan sekarang dan mungkin masih bermain muzik di hotel. Disebabkan PT popular, TV3 menawarkan saya bekerja di 8TV kerana mereka nak buat konsep begini. Itu cerita 18 tahun lalu dan tak sangka kami akan bergandingan lagi dalam Friday I’m In Love.
“Saya percaya pada bakat Radhi menghasilkan lagu tema drama ini. Melodi yang dihasilkannya dari dulu sampai sekarang sangat dahsyat. Gabungan kami pasti mampu menghasilkan sesuatu yang menarik menerusi drama ini. Sehingga kini saya begitu terhutang budi dengan OAG yang membawa imej PT. Kini saya kembali bersama mereka dan saya teruja dengan apa yang dilalui,” kata Ahmad Izham.
Qi juga teruja dapat kembali bergabung dengan Ahmad Izham dan Radhi. Dia yang sengaja memilih nama Awang untuk watak utama, mengakui gembira dipertemukan semula menerusi Friday I’m In Love.
“Saya mahu kelainan kerana apa salahnya nama Awang tetapi hidup dalam situasi masyarakat sekarang. Ini drama yang kedua selepas Blogger Boy dan tentunya pengalaman sangat berbeza. Konsep cerita ini menarik dan lain daripada biasa. Ia banyak berkisarkan kepada persahabatan. Awang memang malang kerana sering putus cinta tapi hebatnya dia tak kenal putus asa.
“Kawan-kawan juga sering menyokong tindakannya. Disebabkan cerita ini, kami jadi rapat dan sering berhubung biarpun penggambaran sudah tamat. Begitu juga dengan pengarah yang sering bagi tunjuk ajar dan boleh menerima pendapat kami. Inilah yang membuatkan semua pihak yang terbabit dapat menjalankan kerja dengan baik.
“Sebenarnya saya tak tahu drama ini diilhamkan oleh Ahmad Izham. Saya tahu Radhi masih aktif bermain muzik dan menghubungi dia supaya buat lagu tema. Dia tanya saya apa konsep ceritanya dan saya jelaskan serba sedikit. Dia berimaginasi sendiri dan tak sangka lagunya kena dan mewakili konsep drama ini. Saya sangat terharu dengan kerjasama semula kami. Apatah lagi kami memang ada perancangan nak buat reunion,” katanya.
Radhi menjelaskan Qi menghubunginya awal Januari lalu menyatakan hasrat memintanya mencipta lagu. Dia hanya mengambil masa singkat untuk menghasilkan lagu berjudul Friday I’m In Love ini.
“Saya sudah biasa dengan Qi dan tahu apa yang dimahukan. Masa yang diambil untuk merakam lagu ini hanya tiga hari. Saya fokus apabila bekerja dalam menepati deadline. Saya mahu lagu yang sempurna tapi OAG sebenarnya sudah ada trademark sendiri. Selepas lima tahun tanpa lagu, inilah buah tangan terbaru saya buat peminat. Konsepnya saya ambil daripada album pertama OAG.
“Alhamdulillah tanpa disangka saya dapat kembali bekerjasama dengan Qi. Begitu juga Ahmad Izham yang banyak bagi peluang pada saya walaupun saya kerap mengecewakannya dulu. Maklumlah sebelum ini saya dipengaruhi oleh perkara negatif. Kalau diikutkan banyak lagi projek tahun 1990-an yang belum ditunjuk kepada peminat. Mungkin kami akan bincang menghasilkannya dalam bentuk filem bebas pula,” katanya yang kelihatan agak berisi sekarang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: