Tuesday, May 8, 2012

Cari penawar penyakit

pix_middle
SOKONG...Tai (kanan) bersama Chong.
SOKONG...Tai (kanan) bersama Chong.

BEKERJA dalam bidang yang dikuasai kaum lelaki sememangnya bukan mudah selain mencabar ketahanan diri seorang wanita, apalagi sekiranya tuntutan kerja berkenaan tidak mengira masa dan memerlukan perhatian melebihi 12 jam sehari termasuk hari minggu.

Begitu juga halnya dengan kumpulan saintis wanita yang bergelumang dalam dunia penyelidikan yang menuntut masa bekerja panjang hingga terpaksa mengorbankan waktu bersama keluarga, sanak-saudara dan sahabat rapat.

Namun golongan wanita yang kuat semangat serta tidak mahu menyerah kalah dalam memperjuangkan sesuatu yang mereka percaya itu, perlu dipuji kerana mengikut perkiraan, hanya tiga peratus daripada jumlah saintis di seluruh dunia adalah wanita.

Saintis wanita, Dr Lim Kue Peng, 36, berkata dunia penyelidikan adalah bidang yang sangat sibuk dan mengambil alih hampir keseluruhan masanya hingga tiada masa baginya untuk membuat perkara lain, terutama aktiviti riadah seperti kebanyakan orang.


Beliau berkata, keluarga ada kalanya berasa pelik melihatnya bekerja begitu kuat dan kurang memahami masa kerjanya yang tidak menentu hingga ada yang menyuarakan perasaan itu kepadanya.


“Keluarga tidak faham mengapa saya mahu menghabiskan masa sehingga malam atau sepanjang hari minggu dengan duduk di makmal sehinggakan saya tiada masa untuk perkara lain seperti berjumpa rakan atau bercuti bersama-sama keluarga.

“Tugas menyelidik bukan mudah dan menuntut komitmen yang tinggi sehingga saya sendiri seperti tidak mempedulikan perkara lain dan memberi tumpuan penuh kepada mencari rawatan untuk pesakit.

“Dalam kerjaya ini, sokongan dari rakan sekerja amat penting bagi memberi semangat untuk terus mencari penawar kepada penyakit,” katanya.

Menurutnya, kecenderungannya dalam dunia penyelidikan perubatan bercambah kerana mahu membantu pesakit yang sangat memerlukan rawatan terbaik bagi menyembuhkan penyakit yang dihidapi mereka.

Katanya, sejak 10 tahun lalu, beliau menghabiskan banyak masa dalam makmal dengan menjalankan kajian bagi mencari penawar dalam bentuk vaksin yang boleh mencegah dan merawat kanser mulut (oral).

Beliau yang bertugas di Cancer Research Initiatives Foundation (Carif), berkata kanser mulut biasa berlaku di kalangan rakyat negara ini tetapi malangnya ia tidak mendapat banyak pendedahan.

“Dengan penemuan vaksin ini, diharap pesakit akan mempunyai kadar penyembuhan lebih tinggi seterusnya nyawa mereka mampu diselamatkan tanpa perlu menjalani pembedahan besar.

“Sekiranya pembedahan dijalankan bagi membuang kanser mulut, sebahagian wajah akan terbabit dan ia mencacatkan mereka sehingga terpaksa pula menjalani pembedahan kosmetik untuk memperbetulkan wajah.

“Keadaan ini sangat menyedihkan dan saya tidak mahu ia berlaku kepada mereka,” katanya yang juga penerima anugerah Unesco-Loreal National Fellowships dari Loreal Malaysia.

Lim berkata, berikutan kajian yang dijalankan bagi setiap pesakit boleh mengambil masa sehingga hampir sebulan bagi setiap kes, beliau sanggup bersengkang mata atau menghabiskan sepanjang hari dalam makmal pada hari minggu semata-mata mahu mendapat keputusan lebih cepat.

Katanya, pesakit terutama yang sudah kronik tidak mempunyai banyak masa dan beliau bimbang pesakit tidak sempat dirawat, menyebabkannya komited menjalankan kajian dengan giat bagi membantu mereka.

“Saya sentiasa mahu menjalankan kajian secepat mungkin untuk menyelamatkan nyawa mereka. Bila saya lihat wajah mereka yang sedang kesakitan, saya berasa amat sedih,” katanya.

Menurutnya, kajiannya kini sudah di tahap terakhir dan beliau kini dalam proses berbincang dengan pakar onkologi di beberapa hospital bagi menjalankan ujian klinikal penemuan perubatan yang dijalankannya terhadap pesakit kanser mulut.

Katanya, vaksin yang dihasilkan melalui kajiannya mampu membantu ‘melatih’ sel imun untuk mengesan dan mengenal pasti sel kanser seterusnya menghapuskannya.

Sementara itu, saintis di Bahagian Pembedahan Ortopedik Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Chong Pan Pan, berkata memulakan kajiannya pada 2007, beliau memberi tumpuan mencari penyelesaian lebih mudah kepada pengambilan sel saraf tunjang bagi memperbaiki bahagian tubuh yang rosak.

Chong berkata, jika sebelum ini, sel saraf tunjang diambil dari uri bayi atau melalui pembedahan di bahagian tulang belakang tetapi melalui kajiannya, sel berkenaan boleh diperoleh dari setitik darah di jari.

Katanya, mengambil sedikit darah melalui tusukan jarum kecil di jari bukan saja tidak menyakitkan, malah ia memudahkan serta mengurangkan kesakitan yang terpaksa ditanggung pesakit sekiranya menjalani pembedahan untuk mengambil sum-sum tulang.

“Sel ini diambil dari tubuh pesakit itu sendiri, kemudian ia diproses di makmal untuk memperbanyakkan bilangan sel saraf tunjang itu sebelum dimasukkan kembali ke bahagian rosak di tubuh pesakit untuk proses penyembuhan.

“Ia lebih selamat, ringkas, tidak agresif dan lebih memudahkan rawatan serta mempercepatkan tempoh rawatan pemulihan pesakit,” katanya.

Chong yang juga penerima anugerah Unesco-Loreal National Fellowships 2010 dari Loreal Malaysia, berkata sel berkenaan boleh digunakan bagi memperbaiki mana-mana bahagian tubuh pesakit yang rosak atau cedera.

Katanya, idea menjalankan kajian itu timbul selepas mengadakan perbincangan bersama penyelianya di UM, memandangkan pengambilan sel saraf tunjang ketika ini amat menyakitkan serta membebankan pesakit apabila perlu menjalani pembedahan sum-sum tulang.

Sementara itu, Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Loreal Malaysia, Tai Ai Leen, berkata syarikat itu menyokong percambahan saintis wanita di seluruh dunia apabila menyediakan sejumlah dana hasil daripada jualannya di seluruh dunia untuk membantu golongan saintis wanita yang mahu menjalankan sebarang kajian.

Katanya, di Malaysia sendiri sejak tujuh tahun lalu, Loreal memperuntukkan RM60,000 masing-masing kepada tiga saintis wanita setiap tahun sebagai bantuan kewangan kepada mereka untuk merealisasikan cita-cita menjalankan kajian saintifik.

“Kita mahu beri peluang kepada saintis wanita mencapai impian menjalankan kajian mereka selain menggalakkan penambahan saintis wanita memandangkan ketika ini hanya ada sekitar tiga peratus saja saintis wanita di dunia.

“Selain beri bantuan kewangan, kita juga dengan kerjasama Unesco mengiktiraf kejayaan mereka dalam bidang kajian saintifik melalui program ‘For Women in Science’,” katanya.

Antara pengiktirafan itu adalah International Special Fellowship ‘...in the footsteps of Marie Curie’, Unesco-Loreal International Fellowships, Loreal-Unesco Laureates dan Unesco-Loreal National Fellowships.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: