Monday, May 21, 2012

Anyeong-haseyo Korea!

TANGGAL 29 April hingga 4 Mei 2012 merupakan detik bersejarah buat penulis. Lebih manis, pemergian ke negara yang popular dengan artis-artis K-Pop seperti Super Junior dan Wonder Girls umpama 'pakej' hadiah ulangtahun kelahiran yang disambut pada dua hari sebelumnya.

Atas 'tiket' Ekspo 2012 Yeosu, penulis bersama lima rakan dari organisasi lain diterbangkan khas oleh Korean Air untuk menjayakan Media Trip Familiarization anjuran Korea Tourism Organization (KTO) sebagai sebahagian usaha mempromosi Tahun Melawat Korea 2010-2012.

Jadual lawatan sangat padat. Biarpun kepenatan kerana terpaksa berpindah-randah dari satu hotel ke satu hotel, namun ia berbaloi dengan pengalaman yang diperoleh. Jika trip sendiri, belum tentu mampu hendak ke destinasi yang diatur KTO termasuk bermalam di hotel lima bintang!

Suncheon, Boseong panorama

KAMI turut dibawa ke Teluk Suncheon atau Suncheonman iaitu wilayah dataran paya pasang surut di selatan bandar Suncheon. Suncheonman yang memiliki keluasan 35 kilometer persegi adalah dataran paya Korea pertama didaftarkan sebagai Dataran Rawa No. 1594 pada 20 Januari 2006. Suncheonman atau dikenali Suncheon Bay salah satu tempat perlindungan ekologi dan alam semula jadi terpenting di Korea. Ia dikelilingi oleh Wilayah Goheung di sebelah barat dan Wilayah Yeosu di sebelah timur menjadikannya kelihatan seperti sebuah danau yang besar.

Menaiki feri, penulis terpukau dengan pandangan indah dataran pasang surut yang terbentang sepanjang pesisir.

Lebih menakjubkan ia dikelilingi pulau-pulau kecil, gunung dan pelbagai tumbuhan liar. Pelbagai spesies burung menjadikan Suncheonman sebagai habitat termasuk burung-burung hijrah seperti kuntul, camar, bangau berjambul dan bangau putih. Digelar sebagai Taman Bumi, Suncheon Bay bakal mengadakan Garden Expo 2013 selama enam bulan bermula 20 April depan.

Kembara seterusnya ke Boseong yang terletak di pesisir selatan mengakhiri kembara Wilayah Jeolla Selatan. Boseong terkenal dengan produk dan ladang teh yang terdapat di Mundeok, Dangcheon, Bongnae, kota Boseong serta pinggiran Gunung Gwi di Deungnyang.

Boseong dawon yang terletak di selatan kota Boseong pula merupakan ladang teh terbesar di Korea Selatan, iaitu mencapai keseluruhan kawasan 600 hektar dan menghasilkan sekitar 70 tan daun teh setiap tahun. Walaupun terpaksa 'merangkak' naik bukit, namun ia sangat berbaloi. Hilang lelah kami setelah melihat pemandangan indah ladang teh ini! Jika ada rezeki 'terpijak', antara impian penulis membawa ibu ke tempat ini pada suatu masa nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: