Monday, May 21, 2012

Adelaide lokasi ideal mencari ketenangan

TAMAN Tema Dreamworld juga merupakan antara tarikan menarik untuk dikunjungi pelancong.

Begitu juga dengan Adelaide (bandar raya utama di selatan Australia) yang menawarkan gaya hidup yang lebih tenang berbanding dengan bandar lain yang terdapat di negara tersebut.

Biarpun Adelaide dikatakan sebagai bandar terpencil, namun segalanya boleh didapati di lokasi ini. Malah ia turut disenaraikan sebagai salah satu destinasi percutian paling ideal buat mereka yang menyukai suasana damai dalam satu persekitaran berkonsepkan alam semula jadi.

Tanpa infrastruktur yang rumit, langkah Adelaide bergerak lebih perlahan jika dibandingkan dengan bandar Sydney, Melbourne, Brisbane dan Perth.

Bagaimanapun sebagai bandar kelima terbesar di Australia, Adelaide masih menjadi pilihan utama pengunjung dan pengembara dari seluruh dunia yang mahu lari dari kesibukan kota.

Jika anda mengunjungi Australia, gambarannya pasti mengujakan tetapi kunjungan anda tentu tidak lengkap tanpa berkunjung ke Adelaide.

Sebagai negara yang terkenal dengan jolokan nama sebagai bandar penuh festival, Adelaide turut menawarkan pengalaman percutian terbaik sebaik sahaja memasuki kota raya tersebut.

Daripada tarikan makanan dan minuman yang enak, galeri seni, pusat membeli-belah dan lokasi pelancongan menarik, S3 menyenaraikan antara lokasi paling terkenal di Adelaide.

Antaranya adalah Adelaide Central Market yang merupakan pasar raya tertua di Australia dengan menawarkan 250 pelbagai jenis kedai termasuk kedai makanan, galeri seni dan barangan cenderahati di bawah satu bumbung.

SALAH seorang penjaja menunjukkan buah tomato segar yang boleh didapati di Eumundi Markets yang terletak di Sunshine Coast.

Di North Terrace Cultural Boulevard pula, pengunjung berpeluang mengunjungi muzium artifak Orang Asli Australia yang paling komprehensif dari segi bilangan koleksinya.

Sambil bersiar-siar di kawasan bandar Adelaide, pengunjung pastinya berasa seronok jika berpeluang mencuba pelbagai jenis hidangan yang enak.

Mana tidaknya, di sepanjang jalan pengunjung pasti akan terhidu bau makanan yang menyelerakan seperti di Rundle Street, Gouger Street, Hutt Street dan O'Connell Street.

Buat mereka yang suka membeli-belah, bolehlah berkunjung ke Rundle Mall yang dibina lengkap dengan lebih 600 buah kedai, Harbour Town Outlet Shopping Centre dan pusat membeli-belah Tea Tree Plaza serta Marion.

Bagi mereka yang mengunjungi Adelaide bersama keluarga, jangan ketinggalan untuk mengunjungi Zoo Adelaide.

Di sana, pelawat berkesempatan untuk melihat panda bernama Wang Wang dan Funi yang merupakan satu-satunya panda yang tinggal dalam garisan hemisfera selatan.

Zoo Adelaide juga dijadikan rumah kepada lebih daripada 1,300 spesies mamalia comel, reptilia dan pelbagai spesies ikan tempatan.

Selain itu, jika ke Glenelg, pengunjung berpeluang berenang bersama dolfin di Taman Tema Beach House.

Kunjungan anda tidak lengkap tanpa singgah di gedung coklat, Chocolates Haigh yang merupakan ikon paling terkenal di Australia.

Bagi mereka yang berpeluang ke sana, jangan lupa membeli beberapa coklat seperti Menz Fru Chocs dan Frog Cakes sebagai buah tangan.

Di Adelaide juga, terdapat sebuah lagi lokasi menarik untuk dikunjungi kerana di Hahndorf pengunjung akan melihat kelainan.

SUPERMAN Escape merupakan roller coaster tertinggi yang terdapat di Australia.

Hahndorf turut dikenali sebagai bandar Jerman oleh para pelancong dari seluruh dunia kerana reka bentuk kawasan tersebut kelihatan seakan-akan berada di negara Jerman.

Di sana, pengunjung boleh menjamu selera dengan juadah masakan Jerman, melawat kedai-kedai runcit, cenderamata, kesenian dan kraf tempatan yang dihasilkan oleh orang tempatan.

Kebun buah-buahan juga merupakan antara lokasi menarik untuk dikunjungi, lebih-lebih lagi apabila musim buah tiba.

Kebiasaannya, musim buah di Beerenberg Strawberry Farm bermula pada bulan Oktober hingga April, Forest Range Cherries pada bulan Disember hingga Januari dan The Olde Apple Shed pada bulan Februari hingga Oktober.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Adelaide, Australia, sila lawati laman www.australia.com dan www.southaustralia.com atau hubungi +65-6333 1885.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: