Saturday, May 19, 2012

Aksesori tudung ubah gaya

Aksesori berbentuk kipas pancar gaya berbeza.

APLIKASI aksesori pada tudung mampu mengubah rupa asal tudung yang dipakai. Tudung yang asalnya polos dan nampak tidak menarik boleh berubah menjadi eksklusif dengan aplikasi aksesori.

Sebenarnya adalah lebih mudah menggayakan dan menambah aksesori pada tudung. Tudung yang kosong tanpa perhiasan boleh ditambahkan dengan perhiasan yang diingini.

Banyak aksesori yang boleh menjadikan tudung tampak lebih bergaya. Kerongsang bertatah batu-batu permata, manik mutiara, cekak rambut berhias kristal atau pita batu permata boleh sahaja dijadikan aksesori tudung.

Jika hendak membeli tudung yang telah siap dijahit dengan batu-batu permata dan kristal ini sudah tentulah harganya mahal beratus-ratus ringgit. Bagaimanapun jika ditambah sendiri mengikut gaya masing-masing, perbelanjaan boleh dijimatkan.

Lagipun bagi anda yang kreatif boleh menzahirkan bakat anda dan ini menjadikan tudung tersebut eksklusif kerana hanya anda seorang sahaja yang memakai dan memilikinya.

Selain itu, perhiasan yang disemat pada tudung itu hanya sementara dan selepas itu anda boleh membukanya semula. Tudung tersebut boleh dipakai semula untuk ke acara lain seperti ke tempat kerja, bersiar-siar atau ke rumah saudara-mara.

Namun jangan pula memakai tudung yang dihias berlebihan itu ke pejabat atau ke tempat kerja kerana anda akan dilihat sebagai seorang yang tidak bijak berfesyen atau bergaya salah tempat.

Dalam memilih jenis tudung untuk dihias dengan aksesori, tudung syifon lebih sesuai kerana fabriknya yang lembut, nipis dan cantik lebih-lebih lagi jika hendak digayakan ke majlis-majlis.

Anda juga boleh menggayakan beberapa lapisan tudung syifon asalkan warna tudung-tudung tersebut senada dengan warna pakaian yang dipakai.

Apa pun sesuaikan tudung anda itu dengan majlis atau acara yang hendak dihadiri supaya anda nampak glamor dan menepati majlis yang dihadiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: