Saturday, May 19, 2012

Adunan warna kontra

Koleksi moden bYSI untuk santai bersama rakan.

DUNIA fesyen hari ini sememangnya tidak pernah lekang dengan idea-idea menarik dan segar daripada pereka-pereka fesyen tempatan mahupun antarabangsa.

Rekaan yang ditampilkan pereka-pereka fesyen ini sudah pasti seiring dengan pelbagai tema ataupun musim yang 'menjengah' negara masing-masing.

Pelbagai warna turut ditampilkan dalam usaha menceriakan lagi fesyen yang ditampilkan.

Ada satu ketika, pemakaian warna kontra dilihat tidak begitu sesuai malah sesiapa sahaja yang menggayakan pasti akan kelihatan pelik.

Tetapi hari ini, gabungan warna-warna kontra bukan sahaja dilihat menarik malah ia turut mengembalikan nostalgia era 50-an dan juga 60-an.

Terbaru koleksi musim bunga/panas dari bYSI yang diilhamkan daripada fesyen golongan atasan menampilkan koleksi moden.

Yang pasti, setiap koleksi yang ditampilkan bYSI tidak pernah ketinggalan menampilkan unsur-unsur kemewahan.

Malah kesemua koleksi yang diperagakan amat sesuai digayakan setiap wanita tanpa mengira usia dan apa jua majlis yang dihadiri.

Selain menggabungkan warna-warna seperti pastel, jingga, kuning dan biru firus (turquoise), fesyen kali ini turut menampilkan rekaan seperti jaket pendek beserta seluar paras lutut.

Menariknya, kebanyakan rekaan yang ditampilkan pastinya menyerlahkan lagi corak klasiknya.

Sementara itu, untuk koleksi 60-an, bYSI banyak bermain dengan warna-warna terang selain menggabungkan gaya klasik.

Masih mengekalkan ciri-ciri kewanitaannya, koleksi kali ini dilihat lebih ringkas tetapi moden dan tidak was-was lagi, gabungan warna-warna kontra dilihat lebih sesuai dan serasi untuk era ini.

Secara jujur, koleksi-koleksi yang ditampilkan kali ini kelihatan lebih segar dengan gabungan warna-warna terang dan kontra selain mengembalikan nostalgia fesyen zaman dahulu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: