Tuesday, May 1, 2012

Adaptasi teknik dari Thai, China

URUT...selain mencari urat pada bahagian tubuh, juru urut akan memberi penerangan mengenai teknik urutan digunakan.
URUT...selain mencari urat pada bahagian tubuh, juru urut akan memberi penerangan mengenai teknik urutan digunakan.

DI PINTU masuk pusat terapi ini tertera perkataan Selamat Datang ke Maju Therapy Zone. Sebelum anda dibenarkan masuk, seorang gadis akan menulis butiran mengenai penyakit dan rawatan diperlukan. Selepas itu anda akan dibawa menemui tukang urut yang berada di dalam bilik disediakan.

Berbeza dengan kebanyakan pusat terapi dan urut yang menggunakan gadis jelita sebagai pakar terapi, pusat perkhidmatan urut milik Siti Hadijah Abu Bakar, 37, bersama rakan kongsi Hasidi Hassan ini menawarkan tukang urut yang bukan saja berpengalaman dalam bidang urutan tetapi kesemua mereka terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU). Daripada pemilik, penyambut tetamu, kerani dan enam tukang urut, kesemuanya menghadapi masalah cacat penglihatan.

  • Foto

    LELAKI...pelanggan lelaki mendapatkan khidmat urutan daripada tukang urut lelaki.

  • Foto

    TUKANG URUT...sebahagian tukang urut yang berkhidmat di Therapy Zone pulang ke rumah masing-masing selepas tamat waktu bekerja.

Bagi Hadijah, sebagai insan OKU dia memahami kesukaran golongan ini mendapat pekerjaan. Ini kerana masyarakat masih prejudis terhadap OKU sehingga sukar menerima mereka sebagai pekerja.

Dengan niat membantu golongan cacat penglihatan, Hadijah yang tidak dapat melihat sejak dilahirkan membuka Therapy Zone yang terletak di Maju Junction, Kuala Lumpur.


Pada mulanya Hadijah menghadapi kesukaran mendapat kepercayaan masyarakat lantaran pusat urut miliknya tidak mementingkan dekorasi menarik atau menyediakan pakar terapi wanita yang langsing, cantik dan menawan.


“Namun saya sering tekankan kepada pekerja supaya mengurut menggunakan ilmu dengan ikhlas. Lama-kelamaan daripada seorang pelanggan mereka menyebarkan mengenai keistimewaan pusat terapi ini kepada rakan dan keluarga. Ada pelanggan yang hampir dua tahun menjadi pelanggan setia kerana berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan,” katanya yang memperoleh sijil urutan badan di Akademi China Chongzheng dan menjalani latihan jangka panjang di akademi urutan di Guangzhao, China.

Menurut Hadijah, hampir 90 peratus pelanggan terdiri daripada mereka yang bermasalah. Ada yang datang memberitahu sakit tangan namun setelah dirawat ia berpunca daripada masalah tulang belakang. Jadi tukang urut akan memperbetulkan dulu masalah ini sebelum ke bahagian lain.

Menyedari hakikat setiap orang memerlukan teknik rawatan berbeza, Hadijah bersama rakan kongsinya Hasidi mengadaptasikan teknik urutan seperti urut Thai, tradisional dan teknik tuna yang berasal dari China. Aplikasi teknik akan dibuat dalam irama tertentu untuk mengembali dan menjaga keharmonian badan agar sentiasa seimbang.

“Rekondisi daripada urutan mampu membuatkan pesakit tidur lebih lena, kurang tekanan, wajah lebih berseri, cergas dan sentiasa ceria,” katanya.

Tambahnya, banyak manfaat diperoleh daripada rawatan terapi urut. Antaranya membantu untuk melancarkan peredaran darah, meningkatkan daya ketahanan badan, mengurangkan sakit kepala, masalah kencing manis, gout, darah tinggi, tulang belakang, saraf tersepit dan sakit sendi.

Di samping itu, rawatan ini juga mampu meningkatkan kecergasan, kadar metabolisme dan mengurangkan lenguh badan.

Selain mementingkan kualiti, setiap tukang urut dilatih dalam bidang urutan dan mempunyai pengalaman yang luas. Mereka juga sangat berdisiplin dan bekerja bermula jam 10 pagi hingga 8 malam setiap hari.

“Oleh kerana kebanyakan mereka berasal dari luar Kuala Lumpur jadi saya memberi cuti yang panjang pada satu-satu masa misalnya dua minggu bagi membolehkan mereka bertemu keluarga. Pada masa sama, saya tidak menghadapi masalah pekerja yang kerap bercuti,” katanya.

Bagi Hadijah, mengambil semua tukang urut cacat penglihatan membantu meningkatkan taraf hidup mereka. Jika sebelum ini mereka menjalankan urut sambilan dengan berkunjung ke pusat beli-belah atau pergi ke pejabat tetapi dengan memiliki kerjaya tetap, kehidupan golongan ini lebih terjamin dan mampu menyara keluarga.

Sebagai majikan yang turut tergolong dalam OKU, Hadijah mengakui dia lebih memahami perasaan orang cacat penglihatan serta mengetahui cara meningkatkan semangat mereka sekiranya ada yang tertekan atau menghadapi masalah.

OKU sama seperti orang lain mempunyai hati dan perasaan malah adakala mereka menjadi lebih sensitif dan memerlukan sokongan moral daripada orang sekeliling.

Ini kerana mereka sering dianggap sebagai golongan yang suka meminta-minta dan mengharapkan simpati orang ramai. Menerusi kemahiran mengurut yang diperoleh daripada latihan dan pengalaman, ia dapat membentuk jati diri supaya lebih berkeyakinan sekali gus membuktikan kepada masyarakat golongan ini turut menyumbang kepada ekonomi negara.

Akibat kurangnya keyakinan diri dan persepsi masyarakat, rata-rata golongan ini bergaul dengan mereka yang senasib saja. Sebagai majikan setakat ini Hadijah tidak mempunyai sebarang masalah dengan pekerja kerana golongan ini sama ada lelaki atau perempuan sangat komited dan bekerja dengan bersungguh-sungguh.

Bagi mereka, setiap kudrat dan tenaga harus disumbangkan dengan jujur dan ikhlas setimpal dengan ganjaran yang diterima.

Pusat urut milik Hadijah yang dibuka pada 2004 menyediakan dua bilik rawatan untuk lelaki dan wanita dengan dua katil disediakan. Oleh kerana ruang terhad, Hadijah menasihati pelanggan supaya membuat temu janji terlebih dulu bagi mengelak mereka menunggu lama.

“Kami amat mengutamakan keselesaan pelanggan ketika rawatan. Oleh itu, pelanggan dinasihatkan membuat temu janji sama ada secara dalam talian atau menelefon supaya tidak perlu menunggu lama,” katanya yang memberitahu kebanyakan pelanggan dari seluruh Malaysia termasuk Brunei, Dubai dan Singapura.

Tukang urut Kamariah Mat Rohim, 28, yang sudah empat tahun bekerja di Therapy Zone mengakui gembira kerana dapat menabur bakti kepada orang ramai. Dia yang berasal dari Terengganu sebelum ini bekerja di Pusat Latihan Temerloh, Pahang, kemudian diambil Hadijah dalam sesi temu duga yang diadakan di Pahang.

“Saya gembira bekerja di sini kerana memperoleh pendapatan tetap setiap bulan.
Dengan wang ini saya dapat membantu keluarga di kampung,” katanya yang cacat penglihatan sejak lahir.

Tambahnya, bertugas sebagai tukang urut buta dia hanya perlu menjalankan tugas dengan penuh ikhlas bagi meredakan kesakitan pelanggan.

“Keistimewaan golongan seperti kami, pelanggan tidak perlu merasa malu kerana kami tidak dapat melihat. Ada juga yang prejudis ketika kali pertama bertemu.
Namun selepas kesakitan mereka berkurangan, ada yang mengucapkan terima kasih dan datang lagi mendapatkan rawatan.

“Melihat pelanggan gembira memberi kepuasan kepada saya. Kami tidak ubah seperti doktor tidak bertauliah yang memberikan rawatan bagi menyembuhkan pesakit,” katanya yang menetap di Brickfields bersama kawan-kawan.

Muhd Azeman Abd Talib, 39, yang menjadi tukang urut sejak dua tahun lalu mengakui selesa bekerja di sini kerana memperoleh banyak pengalaman dan pendapatan tetap bergantung kepada jumlah komisen. Selain itu, persekitaran dan kawan-kawan sangat membantu memberikan rasa semangat serta keseronokan bekerja.

Dia yang sebelum ini menjadi tukang urut sambilan di Sungei Wang dan Brickfields memberitahu kelainan di pusat terapi ini adalah daripada segi rawatan.

“Setiap urutan tidak menggunakan minyak seperti yang pernah dilakukan sebelum ini. Hanya mencari bahagian yang sakit dan saya mengurut sehingga pelanggan selesa. Kepuasannya apabila pelanggan berpuas hati dengan teknik rawatan dan membuat temujanji seterusnya,” katanya yang tinggal di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Walaupun terpaksa berulang-alik dari rumah ke tempat kerja, itu tidak menjadi masalah kerana sudah biasa menaiki kenderaan awam.

Bagi pelanggan setia, Hairizan Hamzah sejak setahun lalu dia mendapatkan rawatan urut badan di pusat Therapy Zone, Maju Junction sekadar ingin mencuba.

Namun selepas kali pertama, dia berasa selesa dan secara berterusan menjalankan urut badan setiap bulan. Dia yang sebelum ini membuat urut badan secara tradisional mengakui walaupun diurut tukang urut buta namun perkhidmatan diberikan sangat berkualiti dan memuaskan.

“Saya memang ingin mencari tukang urut berpengalaman. Ini kerana mereka lebih mahir mengenai setiap inci tubuh dan mampu mengurangkan kelegaan selepas seharian bekerja di pejabat,” katanya.

Hasilnya dengan urutan setiap bulan, badan berasa lebih ringan, kurang sakit kepala dan lebih mudah bangun pagi. Malah ia sangat sesuai bagi wanita yang sering menghadapi masalah angin kerana ia mampu mengurangkannya.

“Sebelum ini saya selalu penat, sakit bahu dan belakang badan kerana duduk terlalu lama tetapi selepas menjalani sesi urutan selama beberapa bulan, lama-kelamaan masalah yang saya alami semakin berkurangan.

“Selain itu teknik urutan yang tidak menggunakan minyak memudahkan saya untuk bekerja semula. Mereka juga memberi penerangan mengenai setiap teknik digunakan serta masalah dihadapi pelanggan. Harga ditawarkan juga murah untuk satu jam hanya RM45 saja,” katanya yang turut membawa rakan-rakan bersama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: