Sasaran mereka sudah tentunya ganjaran lumayan yang keseluruhannya bernilai lebih RM300,000 termasuk sebuah kereta, pakej perkahwinan lengkap, barang kemas, barang elektrik, set sofa, rawatan spa dan pakej bulan madu.
Apa yang pasti pemilihan dilakukan dengan teliti agar hanya pasangan yang benar-benar layak memperoleh hadiah yang cukup lumayan itu.
Peraduan Gerbang Cinta Musim Ke-3 menyaksikan penyertaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai penaja utama bersama Dios Astana Bridal (busana dan cenderamata), Mastar Catering (jamuan), Kampung Pengantin (lokasi), Precious Moments (pelamin), D Sayang Entertainment (sistem bunyi dan fotografi) dan Afidah Khamis Makeup & Stuff (jurusolek).
Turut menaja Sri Sutra Travel (pakej bulan madu), CJ Print (kad perkahwinan), Suri Permai Spa (rawatan spa) dan Utusan Online.
1. BAGI pasangan yang kedua-duanya berasal dari Melaka ini, cerita perkenalan mereka sungguh unik.
Ini kerana perhubungan mereka telah dieratkan oleh resipi kek batik yang menurut Anis Sabrina Azman, 24, yang dibuat oleh Samsul Kahirul Samsuddin, 25, itu cukup sedap.
Menurut Anis, yang sememangnya seorang penggemar kek batik, kejadian tersebut berlaku pada hari raya pertama pada tahun 2010.
Sebaik sahaja menjamah kek batik yang dihidangkan, dia terus bertanyakan kepada emak Samsul resipi kek tersebut kerana rasanya yang sedap dan sedikit lain.
“Bermula daripada situlah saya sering berbual dengan Samsul kerana resipi kek batik itu saya peroleh daripada dia.
“Mungkin secara kebetulan, Samsul juga gemar makan kek batik. Malah dia sanggup belajar cara-cara membuatnya dan setiap kali raya, Samsul akan membuatnya sendiri," ujarnya.
Bercerita lanjut tentang hubungan mereka, Samsul mencelah, mereka sepakat untuk mengenali hati budi masing-masing terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan mengikat tali pertunangan pada 18 Februari lalu.
Yang pasti pasangan ini terpaut antara satu sama lain disebabkan kejujuran dan juga keserasian dalam perhubungan mereka.
2. WALAUPUN terpaksa menanti hampir tujuh bulan untuk mendapatkan persetujuan menjalin hubungan dengan serius, sedikit pun tidak mematahkan semangat Mohd. Firdaus Mohd. Fauzi, 27.
Selain hati sudah terpaut, anak kelahiran Kubang Kerian, Kelantan, ini tidak dapat menafikan keinginan untuk mengenali dengan lebih rapat wanita yang bernama Nor Syafiqah Mohmed, 25.
Bagi Mohd. Firdaus, Nor Syafiqah memiliki ciri-ciri wanita idamannya.
Kerana itu juga dia tidak putus asa untuk memikat hati gadis kelahiran Batu Pahat, Johor itu.
Menurut Mohd. Firdaus, untuk memiliki sekeping hati kepunyaan Nor Syafiqah bukanlah mudah kerana ‘permohonan’ pertama untuk menjalinkan hubungan dengan lebih serius telah ditolak begitu sahaja.
Maka tidak hairanlah apabila dia sanggup menunggu sehingga enam tahun untuk mengikat tali pertunangan.
“Selain pemalu, Nur Syafiqah juga merupakan seorang wanita yang bukan mudah untuk didekati.
“Ini dapat dilihat melalui balasan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima, semua jawapannya ringkas sahaja.
“Yang pasti, saya tetap meneruskan keinginan untuk mencuba nasib walaupun tidak semudah yang disangkakan," katanya.
Bagi Nor Syafiqah pula, hatinya terbuka untuk menerima Mohd. Firdaus apabila melihat sisi lelaki itu berbeza jika dibandingkan dengan lelaki lain yang pernah dikenali.
Katanya, kejujuran yang ditunjukkan dalam perhubungan meyakinkan dirinya untuk menerima lamaran Mohd. Firdaus.
3. “KAMI memang dikenali sebagai pasangan sahabat yang akrab tetapi ketika itu hati saya belum terbuka untuk menerima salam persahabatan yang lebih serius daripada Zaidi," ulas Kapten Zazalina Ghazali, 26, ketika ditanya bagaimana perhubungannya bersama Lt. Mohd. Zaidi Mohd. Bishan, 26, bermula.
Menurut Zazalina, dia dan Zaidi saling mengenali sejak mereka sama-sama menyambung pelajaran di Akademi Tentera Malaysia (ATMA), Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, hubungan persahabatan mereka hanya kekal sebagai sahabat hinggalah kali keempat Zaidi ‘melamarnya’.
“Walaupun kami berkawan baik, tidak pernah sekalipun menyangka Zaidi ada menyimpan perasaan pada saya.
“Selepas tiga tahun menjalin persahabatan, Zaidi memberanikan diri buat kali keempat ‘melamar’ saya dan akhirnya atas restu keluarga, kami bertunang pada 4 Februari lalu.
“Sifatnya yang tidak mudah putus asa, memahami, berdikari dan cukup setia terutama ketika bersahabat menguatkan lagi kasih-sayang saya padanya," kata Zazalina lagi.
Bagi Zaidi, sifat tanggungjawab yang ada dalam diri Zazalina terhadap diri sendiri dan dirinya membuatkan dia jatuh cinta dan berusaha mendapatkannya.
4. “APA yang boleh dikatakan, saya sememangnya jatuh cinta pandang pertama sebaik sahaja melihat Wani," kata Amir Hashim (tentera), 26, menyingkap cerita awal perkenalan dengan tunangnya, Norsyazwani Md. Johari, (pelajar), 25.
Menyambung cerita, Amir yang berasal dari Muar, Johor berkata, walaupun sebelum ini belajar di sekolah yang sama, mereka berdua tidak pernah bertegur sapa dan hanya sekadar mengenali Wani adalah adik kepada rakan karibnya.
Bagaimanapun, tanpa diduga, perjumpaan semula pada tahun 2008 telah membuka ruang untuk dirinya mengenali dengan lebih dekat siapa Norsyazwani.
Jelas Amir, walaupun Norsyazwani dilihat seperti merpati yang kelihatan jinak tetapi hakikatnya dia merupakan seorang wanita yang begitu berhati-hati untuk menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki.
“Norsyazwani bukanlah wanita yang mudah didekati malah dia tidak terus memberikan persetujuan untuk menjalinkan perhubungan yang lebih serius.
“Walaupun begitu, ia sedikit tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan usaha malah ia membuatkan saya lebih bersemangat," tambahnya.
Ketika diajukan soalan kenapa terlalu susah untuk memberikan persetujuan, Norsyazwani berkata, dia harus berhati-hati agar tidak tersalah pilih pasangan hidup.
Pada masa yang sama, dia juga harus menilai sejauh mana kejujuran serta kesungguhan Amir dalam usaha menambat hatinya.
5. PERKENALAN sebagai rakan sekolah sejak di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kemudian disusuli dengan rakan setugas di sebuah kolej swasta di ibu negara akhirnya menyatukan Anwar Abdullah, 26, dan Noor Amiera Alias, 24, dalam ikatan pertunangan.
Bagi pasangan ini, walaupun mereka sudah mengenali antara satu sama lain dalam tempoh yang agak lama, percaya atau tidak mereka tidak pernah menyimpan perasaan sehinggalah usikan rakan-rakan menjadikan ia kenyataan.
Baik Noor Amiera mahupun Anwar, perasaan sayang antara mereka wujud secara semula jadi tanpa mengetahui waktu sebenar ia berputik.
Bercerita lanjut, Noor Amiera berkata, perasaan sayang yang wujud meyakinkan dirinya dan Anwar untuk menjalin hubungan serius sejak dua tahun lalu sebelum mengambil keputusan bertunang pada Januari lalu.
“Persahabatan menjadi lebih akrab sejak kami bekerja di bawah satu bumbung dan kami juga boleh diibaratkan seperti belangkas kerana apa jua yang dilakukan pasti bersama hinggalah kawan-kawan sekerja yang lain mengusik.
“Awalnya saya sendiri tidak pasti bilakah perasaan sayang wujud. Namun memandangkan kami pasangan yang boleh ‘ngam’ dalam apa jua yang dilakukan, akhirnya kami mengambil keputusan untuk bersatu.
“Sudah pasti saya menerimanya sepenuh hati dan seadanya. Dalam masa sama saya tahu dia boleh menjadi suami yang baik," ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar menjelaskan apa yang berlaku sebenarnya merapatkan lagi hubungan mereka dan secara tidak langsung mereka semakin mengenali hati budi masing-masing.
6. ANAK kelahiran Kedah ini tidak menyangka pertemuan mereka sewaktu belajar melahirkan perasaan suka antara satu sama lain.
Khairul Zulhimi Abu Bakar, 26, telah mengikat tali pertunangan bersama Raudhah Ismail, 25, pada 4 Februari lalu,
Sama-sama menyertai ko-kurikulum kursus Brass Band pada tahun pertama sewaktu belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dulu, menjadi detik permulaan perkenalan mereka.
Menurut Zulhimi yang sekarang berniaga sendiri, salah satu program dalam kursus tersebut membabitkan kerja berkumpulan dan dari situ mereka bertukar nombor telefon.
“Bermula di situlah saya mula berSMS dengan dia untuk cuba berkenalan. Tetapi hampa kerana mesej saya tidak berbalas. Akan tetapi, kehampaan itu hanya dalam dua tiga hari saja, perasaan saya kembali berbunga apabila dia membalas SMS saya.
“Rupa-rupanya dia kehabisan kredit untuk membalas mesej saya. Saya ingat dia memang tak nak berkenalan dengan saya," jelas anak ke lima dari tujuh adik beradik itu.
Bagi Raudhah yang berasal dari Muar, Johor, mereka jarang keluar bersama di saat perkenalan tetapi hubungan tetap erat kerana sifat saling bantu-membantu sewaktu susah dan senang.
“Sewaktu belajar Zulhimi yang banyak membantu saya, walaupun kami berlainan kursus di universiti, kami sentiasa bersama membantu mengulang kaji pelajaran saat menjelang hari peperiksaan.
“Masih ingat lagi hadiah pertama hari lahir saya, Zulhimi berikan patung ‘totoru’ yang sememangnya saya sangat suka.
“Dia seorang yang memahami apa yang saya rasa. Tempoh perkenalan kami selama empat tahun ini telah mematangkan diri masing-masing," katanya.
Ditanya mengenai penyertaan dalam Peraduan Gerbang Cinta, mereka berkata, ia disarankan oleh ibu bapa Raudhah.
Mereka juga berharap dengan menyertai peraduan ini memberikan kenangan manis bersama dalam menempuh alam perkahwinan akan datang.
7. TERASA diri disayangi apabila saat terlantar di hospital dalam kesakitan mendapat kunjungan daripada individu yang tidak disangka-sangka sehingga membuatkan hati terpaut kasih.
Itu yang diceritakan Mohd. Afizal Aziz, 25, ketika ditanya bila pertama kali jatuh hati pada tunangnya, Noraini Abdul Karim, 25.
Berbeza pula bagi Noraini yang menganggap pertemuan itu sekadar lawatan biasa seorang rakan apatah lagi waktu itu dia sedang mengenali jejaka lain.
“Sebenarnya emak yang menyuruh dan ditemani seorang teman saya pergi melawat Afizal di hospital kerana menghidap demam denggi.
“Waktu itu saya masih tidak mempunyai apa-apa perasaan pada dia. Tak sangka pula dia ada hati pada saya," ujar Noraini sambil tersenyum.
Sejak kunjungan di hospital hubungan mula terjalin dan mendapat restu kedua-dua keluarga yang sememangnya sejak dari awal hidup berjiran.
Selain berjiran, pasangan ini merupakan rakan sepermainan dan pernah belajar di sekolah yang sama.
“Di sekolah dulu saya selalu mengusiknya. Tidak sangka pula sekarang kami sudah bertunang dan akan melangkah ke alam perkahwinan," kata Mohd. Afizal yang bertunang pada 20 November lalu.
Ditanya keistimewaan Mohd. Afizal yang memikat hati, Noraini berkata, jejaka tersebut pandai mengambil hati selain bertanggungjawab dalam apa jua tindakan yang dilakukan.
“Selain itu, dia selalu memberi kejutan. Sebenarnya, dia juga yang mengesyorkan untuk masuk Peraduan Gerbang Cinta ini," ujarnya.
Biarpun menyedari saingan sengit, pasangan ini tetap menaruh harapan untuk meraih kemenangan sekali gus dapat merealisasikan impian perkahwinan mereka.
“Terpilih sebagai 10 finalis pun sudah dianggap bernasib baik tetapi. Insya-Allah kalau ada rezeki tak ke mana ," kata Mohd. Afizal.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: