Thursday, October 6, 2011

Iqram setia menanti cinta Fouziah


Kisah cinta tidak pasti antara Iqram Dinzly dan Fouziah Gous.


KISAH percintaan mereka sering kali menimbulkan tanda tanya di kalangan peminat mahupun media massa.

Bagaimanapun, bagi kedua-dua pelakon ini, mereka tidak pernah berniat untuk berahsia atau menyembunyikan perasaan mereka daripada diketahui umum.

Iqram Dinzly mengakui pernah menyimpan perasaan terhadap rakan baiknya, Fouziah Gous.

Walaupun perasaannya tidak disambut, namun Iqram tidak pula menyimpan rasa dendam malahan terus berharap agar mereka akan disatukan suatu hari nanti. Itu pun jika benar jodohnya adalah dengan Fouziah.

"Saya akui pernah menyimpan perasaan terhadap Fouziah namun ia tidak lebih daripada perasaan saya terhadap dia.

"Fouziah ada alasannya sendiri untuk tidak meneruskan hubungan kami. Cuma saya masih setia menunggu perasaan saya ini dibalas," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan hari lahirnya yang ke-30 di PNB Darby Park, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Iqram, walaupun cintanya tidak disambut, dia tetap setia menunggu dan berharap agar gadis idamannya itu akan tampil memberikan keputusan yang berpihak kepadanya.

"Saya rela menunggu dia membuat keputusan suatu hari nanti dan andai kata benarlah kami tiada jodoh, saya minta biarlah dia bertemu jodoh terlebih dahulu.

"Kalau itulah yang terjadi, saya tetap bersyukur kerana mempunyai seorang rakan wanita yang sehebat dia," kata Iqram dalam nada penuh pengharapan.

Makna angka 30

Dengan genap 30 tahun Iqram memberitahu, dia mahu berubah untuk menjadi seorang insan yang lebih jujur dengan kehidupan.

"Terlalu banyak persoalan yang bermain di fikiran saya sebelum ini.

"Alhamdulillah, apabila menjangkau umur 30, barulah saya berjaya meleraikan semua persoalan dengan jawapan yang saya cari selama ini, " katanya dengan maksud tersirat.

Enggan memberitahu apakah jawapan yang ditemuinya, Iqram berkata, apa yang penting dia kini mahu menjadi individu yang lebih baik dari masa lalu.

"Cukuplah jika saya katakan bahawa jawapan yang saya temui ini mampu menjawab segala kekurangan yang saya cari selama ini.

"Jadi, berada di dunia ini selama 30 tahun jelas memberitahu saya bahawa masih banyak yang saya ketinggalan," kias Iqram.

Jika ramai lelaki sebayanya berlumba-lumba membina sebuah keluarga, Iqram pula masih mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap kariernya.

Ini kerana, kata pelakon Cinta Medik itu lagi, sebelum mendirikan masjid, dia perlu melengkapkan dirinya untuk bergelar ketua keluarga.

"Sebagai manusia biasa, sudah tentu saya juga ada keinginan ke arah itu (berkahwin), tetapi buat masa sekarang, biarlah saya tumpukan perhatian kepada kerjaya saya.

"Dalam bidang lakonan, ia bukan suatu yang statik tetapi persaingan daripada pelakon-pelakon lain amat hebat.

"Saya tidak boleh berada di satu tahap sahaja.

"Bukan mahu menidakkan rasa cinta namun saya pasti ia akan hadir jika kita ikhlas menunggunya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: