Thursday, September 8, 2011

Zakat penuhi impian Abu Samah


ABU SAMAH nASIR MEMBERI TUNJUK AJAR KEPADA PEKERJANYA.


KEHIJAUAN alam menemani pemanduan di sepanjang Jalan Gombak. Perkampungan Melayu mendominasi dengan di pinggirnya, terdapat banyak premis perniagaan. Ada yang membuka kedai dobi, kedai makan, bengkel kereta dan sebagainya.

Akhirnya, destinasi yang dicari ditemui. Seorang lelaki berusia akhir 50-an berkaca mata, senyum mesra menerima tamu. Beliau ialah Abu Samah Nasir, 56, yang akan berkongsi kisah kejayaannya setelah disantuni wang zakat pada kali ini.

"Dahulu saya bekerja sebagai tukang cat di sebuah syarikat multinasional yang membekalkan kereta mewah ke seluruh Malaysia. Saya memulakan karier bersama syarikat besar itu pada tahun 1975 lagi dan terus bertahan hampir 20 tahun lamanya.

"Sebagai kakitangan di sebuah syarikat besar, mereka amat mementingkan kualiti kerja. Saya pula mendapat manfaatnya, iaitu pengalaman dan kemahiran yang pastinya tidak senang diperolehi di tempat lain.

"Setelah berasa mantap, saya memohon untuk berhenti. Saya yakin, berkat pengalaman kerja yang diasah selama ini dan juga kemahiran yang dimiliki, saya mampu menjalankan perniagaan mengecat kereta sendiri.

"Setelah berhenti kerja, sekitar awal tahun 1990-an, saya membuka sebuah bengkel mengecat kereta di Melaka, iaitu negeri asal kelahiran saya," tambahnya.

Abu Samah menceritakan, pada awal perniagaannya berjalan baik dan mampu bertahan sehingga ke usia 10 tahun.

Namun, akhir 1990-an, kemeruduman ekonomi dunia turut memberi tempias kepada perniagaan berskala kecil sepertinya. Akibatnya, perniagaan yang dibina selama 10 tahun itu pun luluh juga.

Tahun 2001, Abu Samah mengambil keputusan berpindah ke Shah Alam. Alhamdulillah, rezeki keluarga nampaknya lebih baik di Selangor.

Beliau mendapat sebuah tempat dan kembali memulakan bengkel mengecat kereta. Namun, selepas bertahan selama empat tahun, tuan bengkel memberi notis agar beliau berpindah.

"Hakikatnya, memindahkan lokasi sesuatu perniagaan bukanlah semudah berpindah rumah. Bukan senang mencari lokasi dan membuka tapak baru yang sesuai.

"Lalu, sebagai gantinya saya cuba menjalankan perniagaan sebagai sub-kontrak, iaitu menjalankan kerja mengecat kereta di bengkel mengecat kereta yang rata-rata pemiliknya adalah kenalan saya. Sebagai imbalan, keuntungan dibahagikan 50:50.

"Rupa-rupanya, tidak mudah menjalankan kerja mengecat secara sub-kontrak. Selama kira-kira enam bulan, kehidupan saya sekeluarga kian parah. Dengan pendapatan yang tidak besar dan tidak tetap, saya tidak mampu menyediakan perbelanjaan yang cukup buat anak-anak. Dapat sedikit duit, saya dahulukan sewa rumah, bayar bil air atau elektrik. Akhirnya, duit simpanan habis, pendapatan pun kempis.

"Selalu juga anak-anak ke sekolah dengan perut kosong. Bahkan kami anak-beranak selalu menjamah roti sebagai ganti nasi. Maklumlah, bila makan nasi kena ada lauknya. Pengalaman inilah yang amat menjerakan saya, sehingga akhirnya isteri saya mencadangkan kami memohon bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS)," jelasnya.

Abu Samah leka berkongsi kisah jatuh bangunnya dalam perniagaan. Namun, hingga kini, beliau bahagia membina keluarga bersama Rafidah Md. Ali, 46, dan dianugerah tujuh anak.

Dua anaknya, iaitu anak pertama dan kedua, sedang melanjutkan pendidikan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Politeknik Shah Alam.

Menurut Abu Samah lagi, bantuan zakat yang mula diperolehi sekitar tahun 2004 sebenarnya amat memberi erti kepada dirinya sekeluarga. Masakan tidak, LZS memberi bantuan pendidikan, sara hidup dan pelbagai bantuan lagi kepada mereka sekeluarga.

"Apa yang paling penting, anak-anak saya dapat menumpukan perhatian dengan lebih baik dalam pendidikan. LZS benar-benar membantu kami dalam hal ini," katanya.

Sungguh pun telah menjadi asnaf di LZS, Abu Samah tidak tega menyerahkan nasibnya begitu sahaja. Baginya, pengalaman dan kemahirannya mengecat tidak wajar dipersiakan begitu sahaja. Beliau akhirnya berjaya memperolehi pekerjaan di sebuah bengkel mengecat kereta.

Tidak berapa lama kemudian, rezeki datang bergolek apabila tauke tempat kerjanya mahu memindahkan lokasi perniagaannya dan bengkel sedia ada itu ditawarkan kepadanya.

"Saya suka tempat ini, ia berada di pinggir jalan besar dan diapit pula oleh bengkel membaiki kenderaan dan juga bengkel mengetuk badan kereta.

"Semua ini adalah nilai tambah yang boleh menyokong perniagaan mengecat milik saya. Sewanya juga agak berpatutan. Maka, mulai tahun 2006, saya menjalankan perniagaan mengecat kenderaan kembali," ujar beliau penuh semangat.

LZS melihat potensi yang dimiliki oleh Abu Samah, dan ia perlu disokong bahkan diketengahkan. Lalu, Abu Samah dianjurkan agar memohon bantuan modal perniagaan. Kemudiannya, LZS meluluskan bantuan mengembangkan perniagaan sebanyak RM5,000.

"Alhamdulillah, dengan modal itulah saya membeli peralatan tambahan dan membaiki apa-apa yang perlu. Namun, jika diikutkan masih banyak yang saya perlukan. Bengkel ini masih amat serba kekurangan.

"Saya mengimpikan jika memiliki modal RM50,000, maka saya akan membina sebuah bengkel yang lebih baik dan juga membeli sebuah oven mengecat. Baharulah saya mampu menarik keyakinan pelanggan dan memenuhi permintaan mereka.

"Oleh itu, buat masa ini, saya hanya menerima pelanggan yang walk in sahaja. Sesuailah dengan kapasiti tenaga kerja yang terbatas, begitu juga dengan peralatan yang terhad. Saya hanya dibantu seorang pekerja dan saya juga masih memerlukan banyak penambahbaikan dalam perniagaan ini," ujarnya lagi.

Bersempena kedatangan Syawal yang mulia ini, Abu Samah tidak lupa mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pembayar zakat, khususnya di Selangor.

"Saya berdoa, semoga rezeki mereka kian bertambah, mendapat barakah dan dipanjangkan usia mereka oleh Allah. Jika boleh, doakan juga kejayaan saya. Ingin sekali rasanya menjadi seorang pembayar zakat, yang menghulurkan tangannya membantu orang lain pula," kata Abu Samah penuh harapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: