Tuesday, September 20, 2011

Warga emas cuba hidupkan tradisi



SEKUMPULAN remaja kaum Cina sedang rancak bersembang di hadapan pentas opera Cina di tokong Sam Hock, Batu 12, Jalan Kapar, Klang. Mereka langsung tidak menghiraukan perjalanan cerita opera itu, sebaliknya memilih untuk berbual sesama mereka sambil bergelak ketawa.

Apabila didekati, semuanya ‘lari’ kerana segan memberi maklum balas walaupun belum tahu tujuan sebenar mereka didekati. Namun, seorang remaja lelaki selepas dinasihati bapanya, barulah berani membuka mulut.

“Saya jarang menonton opera Cina. Mungkin boleh dikatakan ini adalah kali pertama saya duduk paling lama di sini. Biasanya sekejap sahaja. Saya tidak berapa menyukai penyampaian opera ini,” ujar Tee Tun Hong, 15, yang pantas berundur dan mencari rakan-rakannya yang lain.

Opera Cina adalah salah satu cabang seni kebudayaan masyarakat Cina yang dikhuatiri perlahan-lahan dilupakan kaumnya sendiri gara-gara kurang elemen tarikan terhadap generasi muda.

Dialek Hokkien

Teater Cina tradisional atau opera Cina menggabungkan muzik, nyanyian, tarian dan kadangkala akrobatik. Persembahan itu dipercayai telah wujud di Tanah Melayu semasa pendudukan Inggeris sekitar kurun ke-16. Ia diilhamkan oleh peniaga dan pemastautin Cina sebagai satu bentuk hiburan pada waktu senggang.

Seorang remaja lelaki yang enggan dikenali memberitahu, persembahan opera disifatkan olehnya sebagai membosankan kerana mereka menggunakan dialek Hokkien.

“Kami hanya tahu dialek Kantonis atau Mandarin,” ujarnya ringkas lalu meninggalkan tempat itu.

Penceritaan opera Cina dalam dialek Hokkien dipercayai menyentuh kisah kegagahan para pahlawan dan golongan bangsawan. Kebanyakan kisah-kisah opera Cina diambil dari zaman Dinasti Song selatan. Antara cerita-cerita opera Cina yang popular ialah Tasik Biru dan Hang Zhou.

“Apa yang kami percaya ialah opera ini bermula sejak lebih 5,000 tahun yang lalu ketika pemerintahan Dinasti Tang. Ia merupakan salah satu bentuk hiburan yang disampaikan hampir pada setiap bulan mengikut festival-festival di tokong-tokong tertentu. Umumnya, ia meriah pada bulan Jun, Julai dan Ogos mengikut kalendar Lunar.


OPERA Cina bermula sejak Dinasti Tang ketika pemerintahan Maharaja Xuazong.


“Opera ini berasal dari wilayah Xiamen di China,” kata pengurus kumpulan opera Cina dari Batu Pahat, Johor, Ng Chui Sia, 64, yang sudi berkongsi cerita di sebalik kesibukannya menjayakan persembahan menggunakan patung boneka di Jalan Kastam, Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini.

Walaupun tidak dapat dipastikan kesahihan fakta itu, Xiamen dikenal pasti sebagai salah satu tempat popular bagi Opera Gezi iaitu sejenis persembahan opera teater.

Opera Cina itu dipercayai cukup popular pada Dinasti Tang sewaktu pemerintahan Maharaja Xuanzong (712-755) yang menemui kumpulan opera Pear Garden. Kumpulan tersebut hanya membuat persembahan untuk hiburan peribadi maharaja.

“Saya percaya, opera Cina berasal daripada persembahan menggunakan patung-patung dan kemudian ia berevolusi menjadi persembahan teater yang terdiri daripada pelakon-pelakon yang memakai solekan tebal,” kata Chui Sia.

Chui Sia memulakan perkhidmatan menyediakan patung dan pelakon untuk opera Cina sejak tahun 1970. Dengan pengalaman lebih 40 tahun, lelaki itu mengakui dia mendapat permintaan yang tinggi daripada pihak pengurusan tokong.

Namun, permintaan itu wujud kerana kumpulannya antara yang masih menawarkan perkhidmatan tersebut.

“Tujuan persembahan ialah untuk menghibur tuhan atau kami panggil Datuk. Ia bukan semata-mata untuk pengunjung tokong, tetapi orang ramai digalakkan menontonnya untuk merapatkan diri dengan elemen kebudayaan,” terangnya.

Teater makin malap

Pada hari tersebut, lima orang membuat persembahan opera boneka iaitu tiga orang penyanyi, seorang pemain dram dan seorang pemain kancing. Semuanya terdiri daripada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas.

“Mungkin selepas saya, tidak ada orang yang mahu meneruskan perkhidmatan ini. Mungkin saya menjadi orang terakhir bagi syarikat saya memandangkan anak-anak saya tidak berminat,“ keluh Chui Sia.

Lelaki yang jelas menampakkan garis-garis usia pada wajahnya itu mengakui, kumpulannya mendapat RM1,000 untuk setiap persembahan dengan kekerapan dua kali sehari. Lazimnya, mereka berada selama tiga hari di setiap lokasi persembahan. Permintaan membuat persembahan meningkat pada pertengahan tahun iaitu lebih 10 hari tempoh persembahan.

Pada malam Chui Sia ditemui, persembahan yang beliau lakukan itu adalah persembahan pada hari pertama dan ia akan diteruskan selama dua hari lagi. Jumlah penonton yang hadir untuk menyaksikan persembahannya pula tidak lebih daripada 30 orang.


PATUNG boneka turut digunakan pada seni opera Cina.


Opera teater Cina merupakan satu lagi cabang opera yang cukup popular di Malaysia. Dengan menyolek wajah menggunakan warna-warna yang terang dan tebal, pelakon-pelakon teater menunjukkan pelbagai kemahiran sepanjang persembahan.

Sim Siang Aoon sudah mencecah umur 46 tahun. Dia merupakan pelakon paling muda dalam persembahan opera malam itu. Sambil merias wajah dengan solekan tebal, Siang Aoon ramah bercerita tentang kisahnya meskipun suaranya tenggelam timbul dek kebingitan bunyi muzik.

Bertemu di tokong Sam Hock di Batu 12, Jalan Kapar, Klang, Siang Aoon merupakan isteri kepada Chui Sia, pemilik kumpulan teater boneka yang Kosmo! temui sebelumnya di Pelabuhan Klang.

“Kami semua berasal dari Batu Pahat, Johor. Saya sudah lama menyanyi untuk opera sejak tahun 1984 dan berlakon sejak lebih sedekad yang lalu,” kata Siang Aoon fasih berbahasa Melayu.

Beliau bersama 16 orang pelakon dan pemuzik, semua kelihatan sibuk dengan kerja masing-masing.

“Pelakon sahaja, kami ada 15 orang. Pemuzik dua orang. Dulu ada tiga, sekarang hanya dua,” katanya yang turut meluahkan rasa khuatir terhadap masa depan opera Cina di Malaysia.

Menerima lebih RM2,000 untuk satu hari persembahan, Siang Aoon memastikan pelakon-pelakonnya menepati kualiti persembahan.

“Saya sendiri mengambil masa satu jam untuk bersolek kerana saya tidak suka buat kerja cincai. Saya akan pastikan solekan ini dapat tahan lama. Jika persembahan pada waktu petang, solekannya kurang tebal, tetapi pada waktu malam, ia mesti lebih menonjol. Begitu juga dengan pakaian dan aksesori,” terangnya.

Siang Aoon memberitahu, kerana kekurangan pelakon, mereka terpaksa mengimport pelakon dari Taiwan dengan menawarkan gaji lumayan. Sebanyak RM350 perlu dibayar kepada pelakon jemputan itu berbanding pelakon tempatan yang hanya menerima RM80 untuk satu persembahan.

“Tauke tanggung makan dan pengangkutan. Hanya mekap, pakaian dan aksesori kami punya,” katanya.

Menurut Siang Aoon, pelakon Taiwan dibayar agak mahal kerana mereka lebih berkemahiran khususnya dari segi penampilan. Pakaian mereka juga lebih menarik berbanding pelakon tempatan.

“Baju pelakon Taiwan biasanya mahal, lebih kurang RM1,000 dan aksesori mereka juga lebih menarik. Walaupun ada ramai pelakon opera di Taiwan, kami hanya mengambil mereka yang umurnya lebih 40 tahun kerana faktor gaji,” jelasnya.

Seorang lagi pelakon opera wanita yang ditemui sedang sibuk memasang aksesori kepala berwarna merah, Sia Ah Bo, 53.

“Saya sudah 35 tahun berlakon. Dari dulu hingga sekarang sama sahaja. Terlibat dalam opera, kita perlu pantas. Pantas bersiap sedia supaya tidak ketinggalan melakonkan watak yang diberi,” kata Ah Bo yang memegang watak maharaja.

Rata-rata, persembahan teater opera Cina tidak mempunyai skrip. Mereka dipimpin oleh seorang guru mengenai jalan cerita dan watak setiap orang. Berlandaskan panduan itu, setiap orang berlakon dengan skrip masing-masing.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: