Tuesday, September 6, 2011

Ustaz Asri Kenangan Rabbani


KANAN: Suasana pada majlis tahlil dan doa selamat yang diadakan khusus buat Allahyarham Ustaz Asri.


DIAM tak diam sudah 20 tahun usia kumpulan nasyid yang popular dengan lagu Pergi Tak Kembali, Rabbani yang dahulunya pernah menghangatkan industri nasyid tanah air bersama rakan seangkatan Raihan, Hijjaz dan Brothers.

Diam tak diam juga, dua tahun vokalis utamanya, Allahyarham Ustaz Mohamad Asri Ibrahim, 40, pergi menghadap Ilahi dan pada tanggal 13 Ramadan satu majlis tahlil memperingati pemergian arwah diadakan di Hotel Singgahsana, Kuala Lumpur.

"Arwah Ustaz Asri dahulunya seorang yang tidak mudah menyerah, malah arwah pernah berkata kalau kawan-kawan sanggup susah senang bersama maka kumpulan Rabbani akan tetap hidup," kata Azadan Abdul Aziz yang kini memegang jawatan Pengarah Komunikasi Korporat Rabbani Productions (M) Sdn. Bhd.

Malah, menjadi tradisi untuk kumpulan yang kini ditunjangi lapan orang ahli itu untuk mengadakan persembahan dan latihan di Hotel Singgahsana sejak kumpulan Rabbani yang dulunya dikenali Nada Murni belum berpecah.

"Kalau dulu Ustaz Asri akan amalkan meminum susu kambing suam dan daging kambing panggang untuk berbuka dan menghiburkan anak-anak yatim di hotel ini, kini amalan itu dipraktikkan oleh pihak hotel pula," ujarnya lagi.

Masih terngiang-ngiang azimat yang disemat bekas ketua kumpulan itu sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 13 Ogos 2009 akibat serangan jantung ketika raptai dalam sidang akhbar program Syahadah di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM), begitu jua hajat terakhir yang belum sempat dilunaskan arwah yakni mengerjakan haji.

"Syukur Alhamdulillah, pada tahun yang sama kehilangan arwah juga, kami jalankan upah haji, cukup terkesan apabila arwah juga tidak sempat membuat ukuran baju terakhir yang kami pakai hari ini," tambah Azadan menceritakan ritual luar biasa Ustaz Asri yang mendahulukan rakan-rakan lain sebelum kehilangannya.

Mengenang tentang Syawal dia pasti akan bersama Ustaz Asri yang sudah dianggapnya seperti abang kandung.

"Sayalah yang akan butangkan baju Melayu arwah setiap kali sebelum bermula persembahan dan pada hari raya kami akan pergi sembahyang raya bersama, makan sama-sama dan memenuhi undangan raya bersama apabila isteri dan anak-anak kami balik kampung pada hari raya pertama," tambahnya.

Rabbani Junior


AZADAN (berdiri dua dari kanan) dan Zulkifli (duduk, kanan) bersama anggota Rabbani yang kini masih bersemangat cekal bagi meneruskan hayat kumpulan nasyid yang sudah menjangkau usia 20 tahun penubuhannya.


Bukan niat untuk bersara tapi beransur memperlahankan aktiviti seni untuk berdakwah menerusi lagu nasyid, Rabbani kini dalam perancangan untuk melatih bakat-bakat baharu untuk menyambung pergerakan asal mereka.

"Mereka (Rabbani Junior) terdiri daripada anak-anak daripada anggota Rabbani yang ada bakat menyanyi dan boleh diketengahkan untuk menggantikan kami (Rabbani) kelak memandangkan usia kami yang sudah matang.

"Insya-Allah kami akan perlahan-lahan dan akan kurangkan aktiviti menyanyi sebaliknya menguruskan syarikat yang telah dibina Ustaz Asri," katanya yang kini dalam proses menyiapkan single pertama Rabbani Junior.

Rabbani Junior seolah-olah mengikut jejak langkah Rabbani apabila anak Ustaz Asri sendiri dilantik menjadi vokalis utama.

Maulaya

Rabbani yang pernah memenangi anugerah Album Nasyid Terbaik dan Vokal Berkumpulan Terbaik dalam Album ketika Anugerah Industri Muzik (AIM) 2001 itu juga kini dalam rangka proses menyudahkan pembikinan album ke-18 berjudul Maulaya.

"Tajuk asal album ini adalah Maulana dan semua lagu telah dirakam dan diedarkan di Kuwait, syukur Alhamdulillah kami mendapat respons yang baik daripada pendengar di sana.

"Kini kami sedang merekod semula muzik asal untuk susunan yang sedikit berbeza, album ini juga ada dua versi berbeza iaitu instrumental dan bervokal," kata ahli kumpulan nasyid yang kini punyai studio sendiri di Bandar Manjalara, Kepong.

Luah anggota kumpulan itu lagi, pihaknya kini masih mencari pelapis Rabbani yang masih belum ditemui hingga sekarang.

"Susah hendak mencari kumpulan baharu yang ada matlamat yang sama, selain berhibur kita juga ingin sampaikan dakwah," getusnya yang ditemui usai majlis tahlil dan doa selamat itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: