|
KUALA LUMPUR – Tarikh akhir pendaftaran semula bagi semua kenderaan perdagangan hanya tinggal tiga hari sahaja lagi iaitu pada 30 September, namun masih terdapat 160,000 daripada 360,000 kenderaan seumpama itu belum lagi didaftar semula.
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, sejak proses pendaftaran dibuat enam bulan lepas, hanya 60 peratus sahaja syarikat kenderaan perdagangan mendaftar semula kenderaan masing-masing.
“Daripada 91,000 buah syarikat kenderaan perdagangan hanya 60 peratus atau sebanyak 54,600 syarikat sudah mendaftar dan baki 36,400 buah syarikat masih belum mendaftar.
“Selepas tamat sahaja tempoh ini, kita akan dapat gambaran sebenar syarikat mana yang halal atau beroperasi secara haram,” ujarnya pada sidang akhbar selepas menyaksikan memorandum persefahaman di antara Touch n’ Go Sdn. Bhd. (TNGSB) dan Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) di sini semalam.
Perjanjian ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif TNGSB, Abdul Karim Md. Lassim dan Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd. Nor.
Kerjasama tersebut membolehkan orang ramai termasuk pelancong asing yang menggunakan perkhidmatan koc ekspres ERL ke KLIA membayar tambang dengan menggunakan kad Touch n’ Go.
Syed Hamid meminta pemilik kenderaan supaya tidak terpengaruh dengan sebarang spekulasi dan khabar angin yang mendakwa proses pendaftaran terlalu sukar dilakukan.
“Jangan dengar cerita orang, kalau tidak tahu kakitangan SPAD akan bantu untuk isi borang malah kalau tiada akaun bank atau cukai pendapatan juga tiada masalah dan ada ruangan khusus untuk kategori ini.
“Sebenarnya kita bukan mahu membuat permohonan baharu tetapi kita cuma mahu buat pendaftaran semula untuk kemas kini pangkalan data kita. Saya dapati banyak spekulasi khabar angin yang tidak menggambarkan keadaan sebenar,” ujar beliau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: