Tuesday, September 27, 2011

Simbolik 1Malaysia


Ahli kumpulan Alleycats yang berbilang kaum (dari kiri) Boy, Jimmie, Glen, Mike, Din, Darsha dan David.


EMPAT puluh tiga tahun berkecimpung dalam industri muzik tempatan, Alleycats kini boleh diangkat antara legenda kumpulan pemuzik tanah air yang terbaik pernah wujud di negara ini.

Bukan sahaja lagu dan irama yang dipersembahkan Alleycats, malah keanggotaan kumpulan tersebut yang dibarisi oleh masyarakat berbilang kaum turut menjadikan mereka kelihatan unik di mata peminat mereka.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, Alleycats adalah simbolik perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang senantiasa melaungkan semangat perpaduan 1Malaysia.

Diketuai oleh Datuk David Arumugam, 61, selaku vokalis utama, kumpulan ini turut dianggotai oleh Glen Salay, Mike, Boy, Jimmy dan Din sebagai tulang belakang yang sentiasa menyokong antara satu sama lain.

Mewakili anggota kumpulannya, David yang ditemui sejurus tamatnya persembahan terakhir Konsert Sampaikan Salam Alleycats pada 18 September lalu, dia sempat memberikan komennya mengenai jiwa 1Malaysia yang terdapat dalam kumpulan itu.

Kata David, ketika mula-mula mahu menubuhkan Alleycats 43 tahun lalu, dia tidak pernah terfikir bahawa keahlian anggota kumpulannya menjadi isu untuk dibicarakan.

"Ketika itu, apa yang saya dan adik saya, mendiang Loga fikirkan adalah untuk mewujudkan sebuah kumpulan pemuzik.

"Status bangsa dan anutan agama bukanlah kriteria yang ditetapkan. Tiada niat pun untuk mewujudkan sebuah kumpulan yang ada pelbagai masyarakat majmuk di dalamnya.

"Cuma, apabila semua kuota pemuzik sudah dipenuhi, barulah kami sedar bahawa ahli kumpulan Alleycats ini terdiri daripada pelbagai latar belakang, agama dan bangsa." katanya kepada Hits.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: