
IPOH - Pasukan Al-Farabi dari Sekolah Raja Perempuan Taayah (Serata) di sini mengungguli kategori Sekolah Menengah pertandingan Peperangan Minda sempena Ekspo Saintis Muda Perak di Pusat Dagangan Tekno Perak (PTTC) di sini semalam.
Pasukan tersebut yang dianggotai Nor Ameerah Nawi, Nur Syuhadah Shahirah Junaidi dan Afifah Hussain menampilkan projek Nutty-Notty yang merupakan set membuka dan menukar tayar kereta mudah alih.
Dengan kemenangan tersebut, ketiga-tiga pelajar tingkatan empat Serata itu meraih piala pusingan Piala Raja Dr. Nazrin Shah, trofi, wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan.
Ketua pasukan, Nor Ameerah Nawi, 16, berkata, Nutty-Notty yang berfungsi sebagai jek dan sepana yang mampu memudahkan proses membuka dan menukar sebiji tayar kenderaan bocor sepantas seminit sahaja.
Nor Ameerah pelajar aliran Sastera berkata, idea mencipta alatan tersebut tercetus daripada kesedaran kesukaran majoriti pemandu wanita melakukan kerja-kerja membuka dan menukar tayar kereta bersendirian.
"Kami mengaplikasi prinsip pascal yang dipelajari dalam subjek Sains dalam penciptaan Nutty-Notty ini. Alatan ini bukan sahaja agak ringan dan mudah dibawa malah berpotensi tinggi untuk dikomersialkan kerana harga jualannya di pasaran dianggarkan kurang RM50," katanya kepada Kosmo! semalam.
Terdahulu pasukan terbabit menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zakarshi pada majlis penutup Ekspo Saintis Muda Perak di pekarangan PTTC di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: