Saturday, September 24, 2011

Seni terapi pertumbuhan


EDDY dan Jenny berbangga dengan hasil lukisan anaknya.


Bagi mereka, kecacatan bukan penghalang untuk mencapai apa yang diimpikan kerana segelintir daripada mereka telah membuktikan kecemerlangan dalam pelbagai bidang akademik mahupun kokurikulum.

Melihatkan kepentingan perkembangan pertumbuhan kanak-kanak down sindrom dan OKU di negara ini, Festival Muzik, Seni dan Gaya 2011 (MASiF 2011) yang berlangsung sempena sambutan Hari Malaysia baru-baru ini, telah menjangkaui sempadan dengan memberi peluang buat artis-artis autistik mempamerkan karya masing-masing.

Kecacatan bukan penghalang

Dalam pameran diberi nama Fusion of Passion' yang diadakan bermula 15 hingga 25 September 2011 di Galeri Petronas (KLCC) itu, S3 bertemu dengan salah seorang artis tersebut, Tan Seng Kit, 22.

Melihat keadaan fizikal beliau, Seng Kit kelihatan normal tetapi sebenarnya dia merupakan insan istimewa yang berbakat besar.

Dalam bidang seni, setiap karya yang dihasilkan mampu menyampaikan perasaan pelukis tersebut.

Begitu juga dengan karya Bird Watching yang dihasilkannya, menggunakan medium cat akrilik di atas kanvas.

Karya yang dihasilkan itu kelihatan menarik berdasarkan susun atur gambaran burung dan pemilihan warna yang terang.

Ibunya, Jenny Tan, 55, berkata, beliau menyedari bakat yang dimiliki anaknya sejak berusia tiga tahun.

"Orang istimewa seperti Seng Kit tidak suka bercakap, sebab itu mereka melukis untuk meluahkan perasaan mereka kerana tiada kebolehan untuk berkomunikasi.

"Selepas saya lihat yang dia berminat dengan aktiviti melukis, saya pun menyarankan Seng Kit untuk mengikuti kelas kesenian.

"Lama-kelamaan, dia semakin berbakat dan sering mendapat pujian daripada guru lukisan kerana potensi dia semakin memuaskan," jelasnya.

Katanya, golongan seperti anaknya itu perlu diberikan pendedahan agar mereka boleh berdikari.

"Saya berterima kasih kepada pihak penganjur MASiFv 2011 kerana memberi peluang kepada anak saya menonjolkan bakat yang dimilikinya.

"Selain itu, pada pendapat saya golongan seperti Seng Kit perlu diberi pendedahan seperti ini agar mereka lebih yakin dengan diri mereka sendiri," ujarnya.

Bermula awal tahun 2007, Seng Kit semakin serius dalam penghasilan karya-karya lukisan dalam kategori beliau.

Malah pada tahun yang sama, beliau banyak menyertai pertandingan melukis yang dianjurkan di dalam negara.

Sehingga kini, beliau telah menyertai hampir 20 pertandingan melukis dan pernah mendapat tempat ketiga dalam Pertandingan Seni Artlympic di Balai Seni Lukis Negara (BSLN).

Anak bongsu daripada tiga beradik itu kebiasaannya mengambil masa selama dua jam untuk menghasilkan sesebuah lukisan, bergantung kepada keinginan melukisnya.

Menurut bapanya, Eddy Tan, 65, ada kalanya Seng Kit boleh menghasilkan dua hingga tiga buah lukisan tetapi ada harinya dia tidak melukis langsung.

"Seng Kit suka melukis gambar burung kerana haiwan tersebut merupakan haiwan kegemarannya.

"Selain itu, dia juga suka melukis gambar-gambar bangunan bersejarah yang mempunyai tarikan reka bentuk yang unik," katanya.

Tambahnya, selepas pulang dari melancong bersama keluarga, Seng Kit akan menghabiskan masanya dengan melukis gambar-gambar berdasarkan apa yang dia lihat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: