Thursday, September 1, 2011

Rindu Aidilfirti anak Palestin


ANTARA juadah tradisi Arab dan Palestin yang dihidangkan semasa majlis iftar.


WARGA Palestin yang berada di negara ini sama ada bekerja atau menuntut ilmu dilihat mudah menyesuaikan diri bersama masyarakat majmuk Malaysia. Sebagai orang Islam, mereka juga berkongsi banyak persamaan dengan ummah di sini.

Oleh itu bagi kira-kira 1,000 anggota masyarakat Palestin di Malaysia, yang kebanyakannya penuntut dan berkhidmat dalam jurusan akademik, berpuasa semasa Ramadan dan meraikan 1 Syawal tidak menjadi masalah kepada mereka.

Muslim Abu-Umar, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia, berkongsi cerita bahawa mereka juga mempunyai bazar Ramadan yang menjual pelbagai jenis juadah dan keperluan lain bagi Syawal di Palestin.

“Seperti di Palestin, kami mempunyai pilihan juadah yang banyak dan kami suka dengan juadah-juadah yang terdapat di bazar Ramadan di Malaysia,” katanya.

Rakyat Palestin juga lazim berbuka puasa secara berkumpulan. Sebab itulah, keakraban dengan rakan-rakan di Malaysia sewaktu iftar membuatkan mereka berasa selesa walaupun berada di negara asing.

Muslim memberitahu, selain Aidilfitri, rakyat Palestin juga menyambut Hari Raya Aidiladha dengan lebih meriah.

“Dalam kedua-dua perayaan itu, kami tiada ketupat dan rendang seperti di Malaysia tetapi menghidangkan juadah tradisi sendiri seperti mahashi,” katanya.

Mahashi adalah hidangan roti yang berintikan sayur-sayuran seperti terung, labu kecil, kentang dan lobak merah dan dedaun seperti daun anggur serta kubis.

Ia memerlukan masa dan kesabaran untuk disediakan dan lazimnya disediakan sehari lebih awal sebelum dimasak dan dihidangkan dalam acara makan besar.

“Kami juga mengunjungi sabahat handai dan keluarga semasa sambutan. Tetapi, tidak banyak rumah terbuka seperti di sini. Di Malaysia, kami warga Palestin akan menganjurkan majlis rumah terbuka pertubuhan kebudayaan ini semasa 1 Syawal,” ujarnya.

Begitupun merindui kampung halamannya, Muslim menyedari hakikat dan takdirnya. Dia tidak dapat pulang ke tanah air sempena Syawal ini berikutan keadaan yang tidak menentu di Palestin.

Pulang ke tanah air

Bagi Saad Adeeb, 26, walaupun berada jauh daripada keluarganya, dia mempunyai rakan-rakan Palestin di sini dan rakyat Malaysia yang mesra untuk menemaninya.

“Saya mempunyai ramai rakan Melayu yang menjemput saya ke rumah-rumah terbuka mereka sempena Aidilfitri,” katanya yang menggemari nasi goreng ayam.

Saad juga menyatakan kekagumannya selepas melawat beberapa negeri seperti Pahang, Kedah, Kelantan dan Johor yang menyebabkannya lebih tertarik kepada negara ini.

Walaupun perbezaan budaya wujud antara warga Malaysia dan Palestin, Saad menunjukkan bahawa persaudaraan menerusi Islam telah membantunya mengatasi jurang itu.

Sebagai penuntut dalam bidang komunikasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, Saad tiba di Malaysia pada tahun 2006 dan sejak itu dia belum pernah pulang ke Palestin.

“Saya mahu pulang, tetapi ia bukan mudah kerana larangan perjalanan yang dikenakan oleh pihak Israel. Tugas saya di sini adalah belajar dengan gigih demi masa depan keluarga dan maruah negara saya,” katanya.

Terkenang abang

Arafat Shabana, 27, seorang penuntut kejuruteraan di IIUM pula berharap dapat bersua semula dengan abangnya yang meringkok di penjara Israel selama lebih 20 tahun kerana dikatakan berjuang bagi Palestin.

“Saya sangat merinduinya. Dia dipenjarakan sejak saya berusia tujuh tahun,” kata Arafat.

Arafat yang kematian ayahnya lapan tahun lalu percaya bahawa abangnya tidak bersalah dan berharap dia segera dibebaskan dan seterusnya bersatu semula dengan keluarga.

Apabila beliau menjejakkan kaki di Malaysia buat pertama kali empat tahun lepas, Arafat mengakui berasa seperti orang asing. Namun, perlahan-lahan dia dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di negara baharu.

Setiap Ramadan, Arafat berdoa kepada Allah agar abangnya dibebaskan, dan semua warga Palestin dan ummah di seluruh dunia dapat hidup aman serta harmoni.

Sementara itu, bagi Hassan Imran, 20, sepucuk surat tawaran daripada UIAM untuk pengajian ijazah berkembar sains politik dan ekonomi pada 2009 telah membawa beliau ke Malaysia.

UIAM mempunyai masyarakat penuntut Palestin yang aktif memainkan peranan dalam menyebarkan kisah kesengsaraan yang diharungi masyarakat Palestin akibat kekejaman regim Israel.

Hassan yang menyukai nasi goreng kampung dan nasi goreng kunyit berharap untuk belajar setinggi yang mungkin dan kembali ke tanah airnya dengan segulung ijazah.

Bagi seorang penuntut lain, Yassar Al-Shareef, 17, keinginan untuk belajar bahasa Inggeris di Elite Language Centre di Kuala Lumpur telah membawanya ke Malaysia dua bulan lalu.

“Saya mahu belajar bahasa Inggeris di sini kerana Malaysia adalah negara Islam yang membuka pintu dengan ikhlas kepada kami,” ujarnya.

Walaupun ini kali pertama dia berada jauh dari tanah air, namun azam yang kuat dan sokongan daripada keluarganya menjadi azimat untuk menamatkan pengajiannya.

Beliau mengakui amat merindui keluarganya di kampung halaman. Pada masa yang sama, Yassar berbangga berpeluang belajar di Malaysia yang maju dan kaya dengan kepelbagaian budaya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: