Tuesday, September 13, 2011

'Raya Tak Jadi' : Razak Mohaiden Terkilan

A. Razak Mohaiden

KUALA LUMPUR: Pengarah filem terkenal, Prof Madya A. Razak Mohaiden terkilan apabila filem yang mempunyai tema atau konsep tertentu tidak diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak Syarat Wajib Tayang (SWT) seperti mana berlaku pada filem terbaru arahannya, "Raya Tak Jadi".

A. Razak berkata, penggiat filem memerlukan satu jaminan dalam menghasilkan filem yang mempunyai tema tertentu supaya ia dapat ditayangkan pada tarikh sepatutnya.

"Bagaimana kita hendak buat filem bertemakan Hari Merdeka, Hari Guru atau Hari Pahlawan jika ia tidak dapat ditayangkan pada tarikh ia sepatutnya ditayangkan. Jadi kita perlukan satu jaminan bagi menggalakkan lagi pengkarya menghasilkan filem berbentuk sedemikian," ujarnya.

A. Razak ditemui ketika majlis pratonton filem terbaru arahannya, "Raya Tak Jadi" di sini pada Isnin.

Beliau bagaimanapun akur dengan sistem penggiliran yang diamalkan oleh pihak SWT walaupun merasakan filem dengan tema tertentu perlu diberikan keutamaan.

A. Razak berkata, dia agak terkilan apabila filem terbarunya itu terpaksa ditayangkan pada 15 September ini walaupun mempunyai konsep dan bertemakan Hari Raya Aidilfitri.

"Saya memang menyasarkan filem ini untuk tayangan pada Hari Raya Pertama tahun ini dan filem berkenaan telah pun disiapkan pada tahun lalu.

"Tetapi mungkin disebabkan ia sedikit lambat dihantar ke Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) ia tidak dapat ditayangkan pada tarikh yang kita kehendaki walaupun rayuan telah dibuat," ujarnya.

Mengharapkan yang terbaik pada filem terbarunya itu, A. Razak memberitahu dia bagaimanapun akan terus menghasilkan filem yang mempunyai tema pada masa akan datang dalam mendukung saranan kerajaan yang mahukan lebih banyak filem yang mempunyai konsep tertentu dihasilkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: