Saturday, September 10, 2011

Ramona bukan gadis liar



“Saya juga manusia biasa yang pernah buat kesilapan. Jadi, saya juga tidak lupa untuk berubah dan belajar dari kesilapan,” kata Ramona, tatkala diajukan tentang gambar sosialnya yang tersebar di laman sesawang.

Menurut Ramona atau nama sebenarnya Ros Ramona Qadira, 21, dia tidak mahu bersikap hipokrit dan mengakui, itu adalah gambarnya ketika bersosial bersama rakan-rakannya pada tahun 2006.

“Gambar tu dah lama, masa saya belum jadi selebriti lagi. Saya sama sekali tidak menyangka, gambar saya bersama beberapa bekas rakan itu, disebarkan. Saya juga tidak menolak kemungkinan bahawa ia perbuatan individu yang dikenali.

“Untuk makluman juga, akaun laman MySpace dan beberapa lagi milik saya yang terdapat gambar-gambar tersebut sebenarnya sudah lama saya buang.

“Selepas saya terjun ke dalam industri seni, saya nekad untuk berubah dan semua aktiviti yang dilakukan sebelum ini sudah dihentikan. Hanya keluarga saya yang mengetahui kebenaran kata-kata saya ini,” ujar Ramona dalam nada sedih.

Menurutnya, walaupun sering bersosial dengan rakan-rakan, dia tahu akan batas-batasannya dan tidak pernah terlibat dengan najis dadah seperti yang dituduh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

“Saya benar-benar bingung sekarang. Siapa pula yang sanggup simpan gambar saya itu untuk sekian lamanya, dan mengapa baru sekarang orang itu mahu sebarkannya. Adakah mahu menjatuhkan karier saya?

“Tetapi perkara itu setakat ini tidak menjejaskan karier saya. Malah baru-baru ini saya masih mendapat tawaran berlakon drama. Cuma ada yang saya tolak sebab mahu tumpu pada pengajian di Kolej Segi.

“Walau apa pun, saya mohon ampun dan maaf kepada peminat dan ahli keluarga terhadap gambar sosial saya bersama rakan itu. Berilah saya peluang untuk berubah,” katanya yang sebelum ini pernah dituduh terlibat dengan hubungan sejenis.

Tidak cukup dengan itu, sebagai artis yang baru meningkat naik, Ramona juga pernah dikatakan sombong dan 'besar kepala'. Bagaimanapun gadis jelita ini tidak pernah putus asa untuk meneruskan karier seninya. Bagi Ramona, gosip dan kontroversi itu adalah lumrah bergelar selebriti, malah dia tidak pernah gentar untuk mengharunginya. Namun jauh di sudut hatinya, tidak mahu terus diselubungi kontroversi murahan itu dan tidak mahu dilabel sebagai 'gadis liar'.

“Terserahlah sekiranya ada pihak yang akan membenci diri saya. Tiada hak juga untuk memaksa siapa pun supaya sukakan saya.

“Malah, saya juga bersedia berhadapan dengan persoalan berkenaan perkara ini, apabila berada di khalayak ramai. Saya tidak goyah dengan kejadian ini kerana keluarga memberi sokongan penuh,” kata Ramona yang pernah membintangi filem Nana Tanjung, tidak lama dulu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: