Wednesday, September 21, 2011

Pusat R&D Sony di Bangi guna jurutera tempatan

CUBA SENDIRI...Mustapa (kanan)  menggunakan kaca mata 3D pada majlis pelancaran  Pusat R&D Sony  di Bangi, semalam.
CUBA SENDIRI...Mustapa (kanan) menggunakan kaca mata 3D pada majlis pelancaran Pusat R&D Sony di Bangi, semalam.

SONY EMCS (Malaysia) Sdn Bhd (SOEM) mengambil langkah inovatif dengan membuka pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi membantu proses pengeluaran yang lebih optimum pada masa depan.

Pengarah Urusannya, Noriaki Negishi berkata, usaha membuka pusat R&D itu dijangka dapat memaksimumkan kapasiti Sony dalam menghasilkan produk lebih berkualiti hasil garapan tenaga kerja tempatan.


“Pusat R&D ini adalah yang pertama seumpamanya untuk produk televisyen, audio dan video, malah kami yakin dengan wujudnya pusat ini bakal memberikan impak lebih baik kerana memudahkan proses penghasilan produk yang menggabungkan R&D dan pembuatan,” katanya selepas majlis pelancarannya di Bangi, semalam.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.


Menurutnya, produk yang dihasilkan di pusat R&D itu akan dipasarkan ke negara di Asia bersesuaian dengan kepakaran tenaga kerja seramai 700 orang dengan 500 daripadanya jurutera tempatan. “Kami akan mengembangkan aktiviti R&D dengan memantapkan kepakaran dari aspek kejuruteraan serta rekaan produk yang menepati kehendak penduduk Asia,” katanya.


Negishi berkata, pihaknya akan meluaskan pendidikan berkaitan R&D kepada rakyat Malaysia serta berusaha menghasilkan lebih ramai jurutera yang dapat mengetuai dan menjalankan kajian secara individu.

“Kami akan berusaha memantapkan tenaga jurutera tempatan dengan bantuan kakitangan dari Jepun supaya lebih ramai jurutera dapat menjalankan kajian sendiri dan yang lebih utama menghasilkan rekaan berpotensi untuk dipasarkan,” katanya.


“Tidak banyak kos diperlukan untuk membuka pusat R&D kerana ia tidak membabitkan pembelian jentera dan mesin sebaliknya hanya memerlukan idea serta kreativiti.

“Kami berharap pusat R&D ini dapat menghasilkan rekaan barangan elektrik yang lebih kreatif dan menepati kehendak pengguna khususnya di Asia,” katanya.


SOEM mempunyai empat kilang iaitu dua di Bangi, Selangor; Seberang Prai, Pulau Pinang dan Sungai Petani di Kedah.


Ia mencatatkan rekod jualan tahunan sebanyak RM14.3 bilion pada tahun kewangan yang berakhir 31 Mac 2011 yang merangkumi 3 peratus jumlah eksport bersih Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: