Monday, September 26, 2011

Pertandingan video asah kemahiran, kreativiti


Abd. Ghafar Mahmud (tengah) dan Chris Tomachi bergambar bersama pelajar-pelajar dan guru pembimbing dari SDAR yang menjuarai pertandingan Panasonic Kid Witness News (KWN) Peringkat Kebangsaan 2011 di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.


Aktiviti luar bilik darjah dapat membina tahap keyakinan yang tinggi, kreativiti dan semangat bersaing di kalangan pelajar, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud.

Menurut beliau, pengalaman hands-on mampu memberikan pelajar peluang untuk mengenal pasti minat, kebolehan, kreativiti dan kemahiran dalam diri yang akan membantu mereka pada masa hadapan.

"Para pelajar yang terlibat dalam program ini akan mendapat manfaat selain menambah pembelajaran baru serta pengalaman berguna melalui aktiviti yang dijalankan," katanya pada majlis penyampaian hadiah pertandingan Panasonic Kid Witness News (KWN) Peringkat Kebangsaan 2011 di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Abd. Ghafar berkata, KWN diwujudkan sebagai pemacu untuk menggalakkan para pelajar membina kemahiran berkomunikasi yang sangat bernilai melalui integrasi teknologi video dan elektronik dalam proses pembelajaran.

Dalam program ini, jelas beliau, tiada batas umur sama ada dari sekolah menengah mahupun sekolah rendah kerana semua pelajar bersaing sesama sendiri untuk menyampaikan maklumat bermanfaat melalui hasil video mereka.

Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) dari Seremban, Negeri Sembilan muncul juara menewaskan 11 sekolah lain di peringkat akhir melalui video bertajuk "The Factory Chicken".

Secara keseluruhan, 37 penyertaan diterima dari seluruh negara yang melibatkan rakaman video selama lima minit berdasarkan tema ekologi dan komunikasi.

Sekolah-sekolah lain yang berjaya ke peringkat akhir ialah SMK Bukit Mewah, Seremban; SMK King George V, Seremban; Penang Chinese Girl's High School, Pulau Pinang; SMK Sri Kukup, Pontian; SMK Dato' Bentara Luar, Batu Pahat; Sekolah Menengah La Salle, Kota Kinabalu; SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu; SMK Seri Panching, Kuantan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Dua, Labuan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan Panasonic Malaysia Sdn. Bhd., Chris Tomachi berkata, KWN adalah sebuah program pendidikan global yang ditunjuk ajar secara hands-on dan direka untuk pelajar sekolah rendah dan menengah dalam usaha untuk menyampaikan informasi pendidikan melalui video.

"Gaya pembelajaran baru luar bilik darjah ini mampu memberi peluang kepada para pelajar untuk menjadi lebih peka dalam memaparkan sesuatu isu melalui penyelidikan dan diterjemahkan melalui penghasilan video," jelasnya.

Secara tidak langsung, katanya, peserta dapat mendalami ilmu perfileman dan penyiaran dengan menyampaikan maklumat kepada orang ramai seperti apa yang dilihat oleh mereka sendiri.

Sehingga kini, lebih daripada 3,500 pelajar sekolah dari 500 buah sekolah di seluruh negara telah menyertai pertandingan ini sejak ia mula diperkenalkan pada 2005.

"Video-video ini dinilai oleh panel hakim yang merupakan pakar dalam bidang pembikinan filem, pendidikan dan kewartawanan dalam menentukan gelaran juara," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: