|
DI sebalik kemunculan pasar raya berhawa dingin seperti Tesco dan Giant, bandar raya Kuala Lumpur masih memiliki beberapa pasar basah tradisional seperti Pasar Pudu dan Pasar Keramat.
Namun, hanya ada satu pasar yang dianggap sebagai dapur Kuala Lumpur kerana kepelbagaian barangan dan sejarahnya iaitu Pasar Chow Kit. Penjaja, pengusaha restoran, suri rumah, orang biasa mahupun individu bergelar Tan Sri dan kerabat diraja pernah singgah di pasar ini.
‘Ha meh tengok ikan bang’, ‘Ayam… ayammm…’, ‘Haa kak, sayur kak….’, dan ‘ya bos… buah bos…’. Hingar-bingar dan riuh-rendah suara peniaga untuk menarik pelanggan itu adalah sesuatu yang unik di sini.
Suasana di lorong sempit Jalan Raja Alang dan Jalan Raja Bot sekitar pukul 6 petang pula lebih menarik.
Berpuluh-puluh lori tiga tan bergilir-gilir memasuki kedua-dua lorong berkenaan untuk memunggah dan menurunkan barangan segar seperti daging dan sayur-sayuran.
“Tepi tepi, sayur sayur sayur,” teriak beberapa pekerja yang menolak laju troli yang digunakan untuk menghantar barangan segar tadi kepada peniaga sayur kampung.
Pasar Chow Kit dikatakan menawarkan pilihan sayur kampung yang paling lengkap di bandar raya ini.
Sebutkan saja nama daun turi, daun selon, serai, pandan, ubi kayu, daun limau dan ulam-ulaman, semuanya ada di sini dan ia segar-segar. Ubi kentang kecil Indonesia dan petai dari kawasan pedalaman Thailand turut boleh ditemui.
Bekas lombong
Pasar Chow Kit yang didirikan di atas tanah bekas lombong ini dibahagikan kepada beberapa segmen iaitu bahagian basah yang menjual ikan, ayam dan daging, buah-buahan, sayur kampung, makanan dan pakaian.
Terdapat kira-kira 1,400 peniaga di sini, sebahagian besar adalah peniaga turun-temurun yang mencari rezeki di tapak niaga yang sama sejak sebelum merdeka lagi.
Salah seorang peniaga lama di situ ialah Soieb Yusof, 64. “Saya mengikut ibu bapa saya menjual daun turi dan ubi kayu sejak pasar ini dibina pada 56 tahun lalu,” kenang beliau yang pada masa itu baru berumur lapan tahun.
Menurut Soieb, peniaga dulu-dulu sekadar menyusun beberapa keping papan di atas tanah dan melapiknya dengan surat khabar lama sebelum meletakkan barang-barang di atasnya.
“Kami duduk di bawah dan menjual ikan, sayur dan buah-buahan. Pada masa itu peniaga terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India.
“Tetapi sekarang anak peniaga India khususnya tidak mewarisi perniagaan ibu bapa mereka,” katanya.
Pasar Chow Kit mencapai kemuncak populariti pada tahun 1970-an dengan pelanggan datang dari negeri sejauh Perak dan Negeri Sembilan. Ada juga yang datang dari Pulau Pinang, imbau Soieb.
Pada pendapat beliau, keistimewaan pasar berkenaan terletak pada kepelbagaian barangan basah dan kering yang dijual. Malah, tambah beliau, ada barang yang sukar dilihat di tempat lain tetapi boleh diperoleh di sini.
“40 tahun lalu semua barangan sangat murah. Bayangkan segelas teh, kopi serta roti canai hanya berharga 15 sen hingga 30 sen.
Murah
“Kita dengan mudah boleh melihat kelibat pekerja mamak menjerit sambil membawa gelas-gelas yang diisi kopi dan teh serta bungkusan roti canai yang siap diisi dengan lauk kari ikan. Ia sungguh sedap.
“Selain itu, sayur-sayuran tidak ditimbang sebaliknya dijual 10 sen seikat, ikan 50 sen selonggok manakala daging RM2.40 sekilogram.
“Waktu itu suasana pasar sangat meriah. Kami sesama peniaga saling bersaing menawarkan sayur, ikan dan daging sampaikan ada peniaga yang membaling ikan dan sayur antara satu sama lain kerana tidak berpuas hati.
“Namun, insiden seperti itu tidak berlarutan. Mereka akan kembali berniaga seperti biasa keesokan harinya kerana sedar di sinilah sumber rezeki mereka,” cerita Soieb sambil menambah, pada tahun 1970-an juga, lantai pasar diratakan dengan simen konkrit manakala meja niaga turut disediakan.
Seorang peniaga sayur-sayuran, Abdul Majid Ahmad, 61, menyebut konsert penyanyi Sudirman sebagai detik yang paling diingatinya sepanjang berniaga di situ.
|
|
Sudirman yang polular dengan lagu Chow Kit Road mengadakan konsert percuma itu pada 15 April 1986. Konsert jalanan itu berjaya menarik kehadiran 100,000 penonton.
“Jalan Chow Kit termasuk pasar ini pada era Sudirman merupakan gelanggang marhaen. Chow Kit menjadi simbol orang-orang kerdil yang juga peminat Sudirman,” kata beliau.
Majid juga tidak dapat melupakan peristiwa gerai beliau dikunjungi Tan Sri P. Ramlee.
“Saya seperti biasa menyusun sayur-sayuran di gerai apabila tiba-tiba P. Ramlee datang berdiri di hadapan saya diiringi dua pengawal peribadinya. Dia membeli daun turi dan ulam-ulaman.
“Seniman itu tersenyum lebar sambil bertanya khabar dan beredar dari situ selepas membeli barang yang dikehendaki,” ujarnya.
Lebih tua daripada negara Malaysia, Pasar Chow Kit seperti juga Kuala Lumpur telah melalui masa gemilang dan suram. Semasa dibuka pada tahun 1955 oleh Sultan Selangor, pasar itu dan kawasan sekitarnya merupakan pusat beli-belah dan hiburan utama di ibu negara.
Empat puluh tahun kemudian ia terkenal kerana aktiviti liarnya berbanding fungsinya sebagai sebuah pasar basah.
Jika anda berada di tengah-tengah Pasar Chow Kit, berlaga bahu dengan warga asing terutamanya rakyat Indonesia merupakan perkara biasa. Lagu-lagu dangdut yang berkumandang dari kedai kaset adakalanya membuatkan pengunjung berasa berjalan di kota Jakarta.
Suatu ketika Chow Kit khususnya Lorong Haji Taib dicemari dengan kehadiran ramai penagih dadah. Pelacur dan pondan pula terang-terangan tawar-menawar dengan pelanggan.
“Kami tidak lagi menikmati bisnes seperti zaman ibu saya pada tahun 1970-an dan 1980-an sejak warga asing menjaja di sini. Barang yang sentiasa habis dijual setiap hari kini terpaksa disimpan dalam peti ais kerana pelanggan kurang.
“Ini ditambah dengan keadaan pasar yang tiada sebarang penambahbaikan sehingga sekarang, namun kami menerima khabar berita bahawa pasar ini akan dimodenkan seperti Pasar Seni.
“Kami mengalu-alukannya cuma mahu ia bermanfaat kepada peniaga tempatan, bukannya warga asing,” kata peniaga ikan, Tung Chee Meng, 30.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: