Monday, September 26, 2011

Pameran 250 tahun Faber-Castell


PAMERAN 250 tahun Faber-Castell akan menjelajah ke beberapa buah negeri sehingga Februari depan.


TIDAK keterlaluan dikatakan setiap individu di Malaysia pernah atau sedang menggunakan jenama alat tulis Faber-Castell. Ternyata jangka hayat jenama itu mendominasi pasaran alat tulis di dunia membuatkan ia terus menjadi pilihan orang ramai untuk kegunaan anak-anak ataupun diri sendiri.

Produk-produk seperti pensel grafit hitam, pensil warna dan krayon Faber-Castell diakui selamat untuk kegunaan kanak-kanak.

Jenama yang berakar umbi dari Jerman itu merupakan perniagaan keluarga Faber yang ditubuhkan oleh pengasasnya, Kaspar Faber sejak 1761 lagi. Memasuki tahun 2011, Faber-Castell masih gah di pasaran dan masih diterajui pewaris Faber, Count Anton Wolfgang Von Faber-Castell.

Pengarah Urusan Faber-Castell Asia Pasifik, Dr. Toh Yan Peng memberitahu, keupayaan jenama itu untuk bertahan selama 250 tahun di bawah kendalian waris Faber adalah satu perkara membanggakan.

“Jarang sekali kita bertemu perniagaan keluarga yang mampu dijaga dengan baik oleh generasi akan datang, Faber-Castell kini telah berpindah tangan sebanyak lapan generasi dan semakin berkembang.

“Bermula dengan sederhana di Jerman, jenama ini kini menjadi pengeluar pensel kayu terkemuka di dunia. Hari ini juga kita telah mengeluarkan lebih 2 bilion pensel grafit hitam dan pensel warna untuk keluaran setiap tahun. Ini menunjukkan komitmen serta kreativiti syarikat ini sememangnya berada pada tahap yang tinggi,” ujarnya pada majlis sambutan ulang tahun ke-250 Faber-Castell di Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.


YAN PENG (kiri) bersama Duta Jerman ke Malaysia, Gruber pada pameran 250 Faber-Castell.


Bersempena dengan ulang tahun itu, Faber-Castell Malaysia turut mengadakan pameran khas produk-produk jenama itu untuk memberi peluang kepada orang ramai mengenali lebih terperinci sejarah jenama tersebut.

Lokasi pertama pameran itu ialah di Pavilion Kuala Lumpur yang berlangsung pada 14 hingga 18 September lalu. Ia telah pun dirasmikan oleh Duta Jerman ke Malaysia, Dr. Guenter Gruber.

Selepas Kuala Lumpur, pameran itu akan berpindah pula ke East Coast Mall, Kuantan bermula 14 hingga 16 Oktober, Queensbay Mall, Pulau Pinang pada 24 hingga 27 November sebelum berakhir di Sunway Pyramid, Selangor pada 16 hingga 21 Februari depan.

Orang ramai berpeluang menyaksikan pensel tertua di dunia yang dibuat pada abad ke-17 selain melihat sendiri pensel terkecil di dunia berukuran 17.5 milimiter (mm).

Dalam masa yang sama, pengunjung pameran juga akan diberi kesempatan melihat pensel paling mahal di dunia yang diperbuat daripada emas putih padu disempurnakan oleh tiga butang berlian halus berkualiti tinggi.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pameran, sila layari laman web www.faber-castell.com.my atau http://250.faber-castell.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: