Saturday, September 10, 2011

Nostalgia trem Hong Kong


RAMAI orang menganggap trem ini sebagai aset pelancongan.


IA bergoncang, bergegar dan terbuai-buai ketika bergerak di atas jalan raya di antara kereta-kereta hebat dan bangunan pencakar langit di sekelilingnya.

Ternyata, trem telah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat di Hong Kong sejak seabad lalu.

Dikenali sebagai ding-ding kerana bunyi yang dihasilkan locengnya, trem ikonik dua tingkat yang digemari para pelancong kini diraikan dalam satu pameran yang diadakan di bandar raya itu.

Bagaimanapun, bagi ribuan penggunanya di Hong Kong, ia tetap dianggap sebagai pengangkutan utama setiap hari.

Seorang pekerja pejabat, Eric Lee berkata, trem mempunyai tempat istimewa dalam hatinya. Tidak hairanlah, dia lebih selesa menggunakan trem berbanding pengangkutan awam lain yang menawarkan perkhidmatan pantas dan selesa, misalnya sistem keretapi bawah tanah.

Berhenti menangis

Kata lelaki berusia 26 tahun itu, dia sering menangis ketika dia masih kecil.

“Ibu membawa saya ke perhentian trem. Sebaik sahaja mendengar bunyi ‘ding ding’ saya akan berhenti menangis. Saya tidak boleh jelaskan kenapa, tetapi ia merupakan satu kenangan yang sukar dilupakan,” ujarnya yang turut mempamerkan koleksi ciptaannya untuk sebuah pameran trem di Hong Kong.

Eric telah mencipta tempat merehatkan pergelangan tangan berbentuk trem bagi papan kunci komputer, menerbitkan buku bergambar trem dan mengubah suai trem menjadi kedai kopi sebagai sebahagian daripada 300 item yang dipamerkan dalam pameran yang berlangsung di Victoria Peak, iaitu sebuah lokasi tarikan pelancongan yang menghadap bandar dan pelabuhan bandar raya itu.

Bagaimanapun, tidak semua penduduk Hong Kong bergantung kepada sistem pengangkutan berusia 107 tahun yang dibina ketika era kolonial British itu.

Terus popular

Namun, dengan kadar HK$2.30 (RM0.90) untuk satu perjalanan meliputi 118 perhentian sepanjang trek sejauh 30 kilometer, trem itu terus popular.

Selain tambang yang murah, imbauan nostalgia pasti menyapa tatkala dihembus angin kota dingin daripada tingkap yang terbuka. Adakalanya, ia juga mampu menyebabkan para penumpang menggigil kesejukan.

“Ia telah menjadi sebahagian daripada Hong Kong dan warisan kam. Saya tidak dapat bayangkan apa akan jadi di pulau ini tanpa kehadiran trem,” kata seorang penggubal undang-undang tempatan, Pan Pey Chyou.

Bagi pelancong British, Rupert Shield, 38, dia mendapati pengangkutan yang diberikan berbaloi dengan harga yang ditawarkan, kecuali ketiadaan penghawa dingin.

“Keadaannya agak panas dan sesak, namun anda pasti dapat melihat pemandangan yang menarik dari dek atas.


Pemandangan landskap kota yang menarik dapat dilihat dari dek atas trem.


“Saya terkejut kerana ia masih digunakan orang ramai selain daripada pelancong asing,” katanya.

Di beberapa bandar raya di sekitar Eropah dan Amerika Utara, trem tidak lagi wujud sejak pertengahan abad ke-20 apabila ramai yang mengkritik sistem itu terlalu usang dan terdedah kepada kelewatan.

Bagaimanapun hari ini, di sesetengah bandar raya seperti Paris dan Auckland pendekatan berbeza telah dilaksanakan. Pentadbir kota tersebut giat memulih, meningkat dan memperluaskan sistem trem berkuasa elektrik sedia ada dalam usaha memulihara alam sekitar dan warisan berkenaan.

Syarikat utiliti gergasi Perancis, Veolia, yang mengambil alih pengurusan pengangkutan trem di Hong Kong pada 2009 sebelum menjadi pemilik mutlaknya pada 2010 telah menaik taraf sistem pengangkutan tersebut.

Lebih banyak tempat duduk yang selesa disediakan bagi memastikan warisan bersejarah itu terus relevan.

“Tiada siapa berani menyatakan ia akan kekal selama-lamanya. Namun, secara peribadi saya berpendapat sistem ini akan terus bertahan untuk tempoh jangka masa panjang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: