Sunday, September 25, 2011

Nafas baru lagu keroncong

HARMONI...gabungan alat muzik keroncong.
HARMONI...gabungan alat muzik keroncong.
ASYIK...mereka serius setiap kali berlatih.
ASYIK...mereka serius setiap kali berlatih.

BUNYI ‘crong’ daripada alat muzik ukulele cak dan cuk saling menyanggah diiringi bunyi petikan selo berselang dengan ‘double bass’ menyebabkan irama klasik keroncong cukup merdu didengar.

Tidak hairan nama besar seperti penyanyi Indonesia, Hetty Koes Endang dan seniman agung ­

P Ramlee selesa menyanyikan melodi klasik ini yang cukup sebati dengan rumpun Melayu di Malaysia.

Sebelum ini, perkembangan kumpulan pemuzik yang mendendangkan muzik itu dipelopori kaum lelaki sekali gus menenggelamkan kehadiran pemuzik berbakat di kalangan wanita.


Tidak mustahil muzik klasik yang dulu dipandang sepi oleh muda-mudi ini bakal menjadi siulan pemuda sebaik menyedari akan kemunculan kumpulan keroncong pemuziknya semua adalah wanita.


Inisiatif tenaga pengajar fakulti muzik Akademi Seni dan Budaya Kebangsaan Malaysia (Aswara) memberi nafas baru kepada muzik klasik ini dengan mengetengahkan bakat tujuh pelajar wanita daripada pusat pengajian berkenaan dilihat eksperimen berjaya.

Kumpulan dikenali dengan nama Puteri Aswara sudah memecah tradisi keroncong kerana berjaya menggondol anugerah kumpulan harapan dalam satu festival muzik keroncong di Johor Bahru, baru-baru ini.

Menurut pemain double bass Puteri Aswara, Hamizah Ali, 25, menjadi kumpulan sulung wanita mula mendendangkan irama keroncong ini menyebabkan dia bersama ahli lain dilihat sebagai pasukan yang sungguh unik dalam industri seni ini.

“Menjadi ahli kepada projek perintis dalam melahirkan kumpulan keroncong wanita pertama di Malaysia satu kebanggaan buat diri saya serta rakan.

“Kehadiran kami mendapat reaksi positif oleh penggiat dan penggemar seni muzik keroncong kerana ahli kumpulan kami semuanya wanita ternyata berbeza daripada kumpulan keroncong lain.

“Oleh kerana kami berbeza, kami menjadi perhatian dan tumpuan penggemar muzik keroncong,” katanya yang juga berperanan sebagai ketua kumpulan berkenaan.
Beralih kepada peranannya, gadis daripada Kuantan itu berkata dia adalah ‘nadi’ kepada kumpulan ini sebaik mula persembahan.

“Saya pemain double bass berperanan menentukan rentak (beat) dan ia bagaikan gendang dalam muzik keroncong ini. Disebabkan itu, double bass yang dimain tidak menggunakan teknik gesekan tetapi lebih kepada petikan pengganti kepada elemen perkusi (percussion) tiada dalam muzik keroncong persembahan kumpulan Puteri Aswara.

“Kesimpulannya saya akan menjadi panduan dalam memastikan pemuzik lain berada pada not yang betul,” katanya mewarisi bakat daripada neneknya, seniwati veteran, Raja Hamidah Raja Saat.

Sementara itu, Noraini Othman, 21, pula berkata irama klasik cukup popular di Johor ini bukan sebarang lagu dan menyanyikannya satu cabaran sungguh besar kerana bunyi ‘upbeat’ daripada cak dan ‘downbeat’ daripada cuk.

“Sewaktu pertama kali menya­nyikannya, serba tidak kena. Saya sukar menyampaikan lagu irama ini pada awalnya kerana keliru bahagian mana patut mulakan nyanyian.

“Mujur guru pembimbing, Kuntoro Edhi (Pak Edhi) menerangkan teknik dan cara menyanyikannya barulah saya memahaminya.

“Nasihat Pak Edhi paling saya ingat setiap kali melagukan lagu keroncong seperti keroncong Kuala Lumpur dendangan Allahyarham P Ramlee ialah setiap ‘patah irama’ haruslah betul.

“Uniknya, lagu keroncong dinyanyikan agak lewat sedikit daripada irama sebenar,” katanya sering membuat rujukan penyanyi keroncong dendangan Kumpulan Keroncong Yayasan Johor.

Manakala bagi Siti Raiha Md Abd Aziz, 19, meskipun biasa mempersembahkan keroncong kerana aktif dalam kumpulan Keroncong Seri Bayu dari Majlis Perbandaran Pasir Gudang, dia masih perlu berusaha memantapkan kemahiran bermain.

“Tidak semestinya saya berkecimpung dengan muzik ini seawal 10 tahun, saya tidak perlu berusaha sekuat ahli lain.

“Saya masih perlu berlatih bersama dengan kerap kerana ia memastikan saya berada pada momentum sesuai.

“Secara tidak langsung keserasian antara kami makin kuat dan alunan muzik dihasilkan lebih harmoni,” kata gadis dari Johor itu.

Gadis itu berkongsi saat manis sepanjang pembabitannya dalam seni muzik klasik keroncong iaitu berkesempatan membuat per­sembahan keroncong di hadapan Putera Mahkota Johor ketika itu DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Edhi yang dibawa khas daripada Yayasan Warisan Johor, berkata perkembangan seni keroncong di Malaysia biasanya tertumpu kepada klasik.

Ini mengakibatkan seni keroncong bukan pilihan anak muda sebagai muzikal hiburan berbanding Indonesia yang sudah ‘diasimilasikan’ dengan pelbagai melodi.

“Anak Malaysia mungkin lebih dekat dengan irama keroncong seandainya ada usaha ‘meng­komersialkan’ irama ini dengan campuran genre muzik lain menjadikan ia lebih segar. Contohnya, memperkembang­kan ia menerusi pelbagai genre keroncong de­ngan memasukkan elemen rock dinamakan keroncong ‘Jong Rock’ atau keroncong ‘Campursari’ iaitu gabungan alat muzik keroncong dan kugiran,” katanya.

Penyelaras kumpulan berkenaan, Mohd Khair Abd Latif, berkata usahanya bersama rakan ialah memartabatkan kembali muzik itu dengan pendekatan lebih drastik.

“Kami sebagai tenaga pengajar bukan saja mengajar tetapi sentiasa berusaha menghidupkan kembali muzik klasik ini di kala­ngan generasi muda.

“Ia bonus buat pelajar itu sendiri kerana dapat menajamkan skil bermain alat muzik di samping melihat peluang mereka untuk memasarkan diri mereka
sebagai penggiat seni itu sendiri,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: