Friday, September 9, 2011

Mohd. Firdaus anak negeri pertama ke Oxford


AHMAD Said (tengah) beramah mesra dengan pelajar cemerlang dari kiri, Lau Jia Cheng, Mohd. Firdaus Samsudin @ Mustapha, Khairina Abdullah dan Esther Ng Feng Ying pada majlis meraikan pelajar Terengganu ke luar negara dan penyampaian wang pendahuluan diri di kediaman Menteri Besar, Seri Iman, semalam.


KUALA TERENGGANU 8 Sept. - Mohd. Firdaus Samsudin @ Mustapha, 23, melakar sejarah sebagai anak negeri pertama yang bakal melanjutkan pengajian ke Universiti Oxford di United Kingdom tahun depan.

Anak kedua daripada empat beradik yang berasal dari Kampung Kemat, Hulu Terengganu itu akan mengikuti pengajian peringkat sarjana selama dua tahun dalam jurusan biokimia.

Beliau yang pernah merangkul anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) peringkat Kebangsaan 2005 itu baru memperoleh ijazah kelas pertama dalam bidang bioteknologi di Imperial College London selama tiga tahun.

Mohd. Firdaus, anak kepada pesara kerajaan itu dijadual memulakan pengajian di sebuah universiti paling berprestij di dunia pada Oktober ini.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud itu berkata, dia akan lebih komited meneruskan pengajian di sana cita-citanya menjadi seorang saintis.

"Saya dan keluarga bersyukur pada Tuhan dan berterima kasih kepada kerajaan khususnya Yayasan Terengganu (YT) yang menyediakan bantuan pinjaman," katanya.

Mohd Firdaus menyatakan demikian ketika ditemui pada majlis meraikan para pelajar Terengganu ke luar negara dan penyampaian wang pendahuluan diri di Kediaman Menteri Besar di Seri Iman di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 96 pelajar diraikan dengan sebahagian besarnya bakal menyambung pengajian ke Rusia manakala selebihnya di United Kingdom dan Jordan.

Setiap pelajar menerima wang pendahuluan diri tajaan YT berjumlah RM35,000 yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Selain Mohd. Firdaus, tiga lagi anak watan Terengganu yang merupakan bekas cemerlang peringkat A-Level di Kolej Yayasan UEM di Lembah Beringin turut cemerlang dan bakal meneruskan pengajian ke United Kingdom.

Mereka ialah Lau Jia Cheng, 20, yang akan mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam jurusan ekonomi di University of Cambridge diikuti Khairina Abdullah, 20, di London School of Economics.

Manakala Esther Ng Feng Ying, 20, akan menyambung pengajian peringkat ijazah dalam bidang pergigian di King's College London.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: