|
|
JIKA ada di kalangan kita memilih Kota Bharu sebagai destinasi percutian atau menjadikan bandar itu sebagai tempat persinggahan untuk beberapa hari, pasti kita mahu menginap di sebuah hotel yang selesa pada kadar harga berpatutan.
Memang banyak hotel mahupun resort yang boleh dipilih di ibu negeri Cik Siti Wan Kembang ini, tetapi pengalaman menginap di Hotel Grand Riverview (GRV) yang terletak di Jalan Post Office Lama, Kota Bharu, Kelantan pasti menjadikan percutian anda lebih bermakna.
Selepas melalui proses pengubahsuaian secara berperingkat, GRV tampil dengan wajah baru. Dengan segala-galanya baru, hotel ini menawarkan konsep moden dan santai kepada setiap pengunjung yang mahukan keselesaan, kedamaian dan suasana yang jauh daripada hiruk-pikuk kesibukan kota.
Bagi pengunjung yang mahukan aktiviti malam mereka dilingkari dengan suasana santai dan alunan muzik secara live, bolehlah meluangkan masa sambil menghirup kopi atau pelbagai jenis koktel yang disediakan di ruang istirehat yang kini dijenamakan semula dengan nama The View.
GRV merupakan satu-satunya hotel di negeri ini yang menawarkan persembahan live band kepada pengunjungnya melalui dendangan lagu oleh kumpulan atau artis tahun 1980-an.
Pengarah Urusan GRV, Vincent Chua berkata, ia merupakan antara perubahan paling ketara di hotel tersebut dan idea itu timbul berdasarkan permintaan pengunjung sendiri yang mahukan satu senario malam menghiburkan tetapi tidak melanggar peraturan.
“Sebelum ini, kami dapat komen bahawa percutian di Kelantan agak membosankan, lebih-lebih lagi rungutan daripada pelancong asing. Jadi, kami fikir muzik mampu menarik perhatian.
“Sungguhpun mereka (pelancong) bebas berhibur, namun kami tidak menjual alkohol, selain semua penyanyi adalah lelaki. Sasaran utama kami adalah golongan korporat. Sebab itulah, kami memilih penyanyi yang mampu membawa lagu-lagu sekitar tahun 1980-an,” katanya ketika ditemui S2.
Vincent berkata, penjenamaan baru yang dilakukan di GRV ini adalah fasa pertama membabitkan kos RM380,000 dan bagi proses menaiktaraf keseluruhan, ia dijangka menelan belanja RM5 juta.
Salah satu tempat yang turut mendapat sentuhan baru adalah Kafe D’ Brasserie dan Chao Yuan Restaurant yang sebelum ini masing-masing dikenali sebagai Rivera Coffee House dan Chinese Restaurant.
Daripada gaya klasik dan tradisional, kira-kira 80 peratus hiasan dalaman Kafe D’ Brasserie yang mampu menempatkan seramai 150 orang sekali gus menampilkan konsep moden dan santai melalui penambahan perabot baru dengan susunan barang yang lebih menarik.
Menu yang disediakan kepada pengunjung juga amat istimewa kerana terdapat beberapa hidangan barat, misalnya stik daging yang mendapat sentuhan masakan tradisional Melayu iaitu menggunakan sos rendang.
Lebih menarik, bermula 20 September ini, GRV memperkenalkan bufet antarabangsa pada waktu makan tengah hari dan makan malam. Ia bakal menyaksikan beberapa hidangan masakan Cina dan Barat menjadi pilihan yang mana mereka hanya perlu membelanjakan RM28 untuk menikmati hidangan tengah hari dan RM48.80 untuk makan malam.
“Hidangan utama di hotel ini masih lagi masakan tradisional terutamanya gulai ayam yang amat popular tetapi bermula 20 September nanti, kami juga akan menyajikan hidangan antarabangsa.
“Saya boleh jamin harga yang ditawarkan ini amat berpatutan dan pelanggan akan berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan,” jelas beliau.
Bagi perkhidmatan asas, GRV menyediakan sebanyak 312 bilik pelbagai jenis di hotel setinggi 11 tingkat itu untuk pilihan pengunjung pada harga bermula RM288.
Lokasi GRV sendiri yang terletak di pusat bandar yang hanya 10 minit dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) dan berhampiran Istana Balai Besar, Pasar Siti Khatijah serta beberapa pusat perniagaan lain pasti menjadikan ia pilihan strategik pengunjung yang mahu berjalan-jalan di sekitar Kota Bharu.
“Untuk pengetahuan pengunjung, harga bilik yang ditawarkan turut melibatkan pengangkutan percuma ke LTSIP dan di hotel sendiri kami menyediakan perkhidmatan melayari Internet menggunakan wifi tanpa apa-apa bayaran.
“Tujuan kami adalah untuk kepuasan pelanggan di mana kami mengutamakan keselesaan mereka sepanjang menginap di sini,” tambahnya.
Sementara itu, bagi mana-mana pihak yang mahu menyewa dewan untuk aktiviti syarikat, terdapat sembilan buah dewan di hotel tersebut yang mampu memuatkan sehingga 1,500 orang pada satu masa.
GRV mula bertapak di Kota Bharu pada 1996 dengan menawarkan 100 bilik dan dikenali sebagai Diamond Puteri Hotel sebelum bertukar pemilik yang seterusnya menukar nama hotel tersebut pada 2003 kepada Grand Riverview Hotel.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: