Sunday, September 4, 2011

Merentas Euroasia


Panorama indah kawasan luar bandar yang terdapat di sepanjang perjalanan.


PENAT menempuhi perjalanan selama dua hari ketika menaiki keretapi Trans-Siberia seakan lenyap sebaik melihat keindahan panorama alam semulajadi yang tidak dapat dilihat melalui tiket penerbangan kelas pertama.

Sesuai dengan popularitinya, perjalanan dari zon tengah ke zon barat amat membosankan pada mulanya. Tetapi lama kelamaan keadaan itu berganti dengan perasaan teruja setelah melihat keunikan landasan, pemandangan indah serta flora dan fauna yang terdapat di sepanjang perjalanan.

Sambil mata menikmati keindahan alam semula jadi, perjalanan yang dilalui oleh penulis Julai lalu lebih panjang daripada melalui perjalanan bersejarah merentasi Tembok Besar China dan America 66.

Ini kerana landasan Trans-Siberia yang dinaiki menempuhi perjalanan sejauh 2,821 kilometer merentasi Siberia ke pusat bandar Moscow.

Tidak dinafikan perkhidmatan kapal terbang lebih menjimatkan masa perjalanan. Tetapi pengembaraan menggunakan jalan darat dengan menaiki keretapi lebih santai dan sesuai buat mereka yang takutkan ketinggian.

Kelainan yang dirasai bukan setakat pemandangan kawasan bandar dan pendalaman yang terdapat di sepanjang perjalanan, malah ia lebih menjimatkan dari segi kewangan.

Selain itu, perjalanan keretapi terpanjang didunia yang keseluruhan sejauh 9,600 kilometer dari Asia ke Eropah itu melintasi tujuh zon waktu.

Tetapi penulis hanya berpeluang untuk merasai sebahagian daripada perjalanan tersebut.

Kemuncak yang dapat dirasakan ialah ketika melihat keindahan alam yang mengagumkan termasuk tapak Warisan Dunia UNESCO, Tasik Baikal yang merupakan tasik air tawar tertua dan paling dalam di dunia.

Selain itu kesempatan mengenali kehidupan masyarakat yang terdapat di sepanjang wilayah-wilayah yang dilalui yang mendapat jolokan Euroasia amat mengagumkan.

Sebelum ke sana, ada terdengar aduan kurang enak daripada beberapa kenalan mengenai keadaan di wilayah-wilayah berkenaan.

Ada yang mengatakan rakyat di sana tidak begitu mesra dengan orang asing. Tetapi berdasarkan pengalaman selama lapan hari, persepsi terhadap tahap keselamatan negara tersebut berubah. Lebih-lebih lagi selepas selamat pulang ke Malaysia.

Malah selepas berkenalan dengan beberapa orang tempatan, didapati mereka mudah bercampur. Mereka akan menganggap pelancong asing seperti keluarga dan anda akan tersentuh dengan kemurahan hati mereka.

Cuma dari segi komunikasi mungkin agak sukar kerana kebanyakan daripada mereka tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik.

Ada pula yang hanya menggunakan bahasa tempatan dengan bangganya berbanding rakyat Malaysia yang lebih berbangga berbahasa Inggeris daripada menggunakan bahasa sendiri.

Setibanya di Lapangan Terbang Tolmachevo, di Novosibirsk , penulis menaiki teksi ke pusat bandar yang dibina sekitar 1893.

Antara monumen bersejarah yang terdapat di sana seperti jambatan landasan keretapi Trans-Siberia yang menghubungkan perjalanan di atas Sungai Ob yang dikenali sebagai sungai ketujuh terpanjang di dunia selepas Sungai Nil, Amazon, Yangtze, Mississippi, Yenisei dan Sungai Kuning.

Secara tidak langsung, landasan tersebut yang siap dibina pada musim bunga, 1897 itu menjadi penempatan baru hab pengangkutan serantau yang menghubungkan benua Eropah dan Asia.

Antara tempat menarik untuk dikunjungi ialah kawasan Pergunungan Altay, Tasik Teletskoye dan Gunung Byelukha.

Di kawasan bandar rayanya pula, Lenin Street menjadi pilihan untuk bersiar-siar.

Peluang mengunjungi rumah musim panas yang dibina di kawasan pendalaman Novosibirsk tidak dilepaskan dengan menaiki keretapi Novosibirsk Metro, yang dibuka sejak 1985.

Menyusuri perjalanan di bumi Siberia amat mempersonakan kerana sepanjang perjalanan ia menyajikan pemandangan pohon-pohon menghijau dan reka bentuk bangunan lama yang wujud sejak 100 tahun lalu.

Di sana waktu siangnya lebih panjang dari waktu malam. Walaupun jam sudah menunjukkan pukul 10 malam, keadaan di luar seperti waktu senja.

Perjalanan dari stesen keretapi utama, Glavnij yang terletak di tengah bandar Novosibirsk ke Gerebchovo yang mengambil masa selama dua jam pula akan melintasi hampir 20 stesen keretapi di pekan kecil.

Di Gerebchovom penulis mengunjungi rumah milik seorang penduduk tempatan, Natalia Terekhova yang terletak 10 minit berjalan kaki dari stesen keretapi.

Keadaan cuaca sejuk yang menyamankan begitu terasa. Lebih-lebih lagi ketika menghirup udara segar di kawasan perumahan yang hanya digunakan ketika musim panas itu.

Kebanyakan rumah yang dibina menggunakan pokok pain yang boleh didapati di sekitar kawasan mereka .

Keadaan rumah di kawasan luar bandar Rusia tidak banyak bezanya dengan yang terdapat di Malaysia.

Persamaan paling ketara yang boleh dilihat ialah dari segi kedudukan tandas yang terletak di luar rumah seumpama rumah yang terdapat di kawasan perkampungan di Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: