Penulis sempat mencuba tarian lansaran yang popular di kalangan masyarakat Murut. (Yang mengikuti rombongan AirAsia dan Jabatan Pelancongan Negeri Sabah keTawau baru-baru ini.)
SEJUJURNYA Sabah mempunyai pelbagai keunikan dan keindahan menarik yang sukar ditandingi. Diversiti etnik menjadikan ia lebih unik dan istimewa.
Namun untuk mempelajari dan mengenali budaya masyarakat Sabah dengan lebih dekat tidak mampu dilakukan dalam tempoh masa yang singkat kerana setiap satu etnik mempunyai keistimewaannya tersendiri.
Bagaimanapun kesempatan melawat perkampungan Mari-Mari Culture telah memberikan pendedahan yang luas kepada pelancong untuk mengenali budaya dan masyarakat Negeri Di Bawah Bayu ini dengan lebih dekat.
Konsep yang digunakan oleh pihak pengurusan Mari-Mari Culture juga mudah kerana ia membangkitkan semula kehidupan masyarakat di Sabah pada zaman dahulu kala melalui lakonan oleh beberapa artis budaya.
Melalui lakonan ini pengunjung dapat memahami lebih dekat dan tidak bosan untuk mengetahui sejarah penduduk etnik Sabah selain mendengar penjelasan daripada pemandu pelancong.
Sebuah jambatan gantung disediakan untuk merentas ke dalam taman budaya.Terletak lebih kurang 30 minit perjalanan dari bandar Kota Kinabalu, Mari-Mari Culture yang juga dikenali sebagai kampung budaya itu sering menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara yang ingin mengenali lebih dekat budaya masyarakat Sabah.
Pemandu pelancong yang ramah dan fasih berbahasa Inggeris juga turut banyak membantu, terutamanya pelancong asing yang ingin menikmati penjelajahan di situ.
Ketibaan kami pada petang itu disambut baik dan mesra sekali oleh kakitangan bertugas.
Sedikit taklimat diberikan kepada pengunjung sebelum memulakan pengembaraan dan pesanan mengenai pantang larang yang tidak patut dilakukan sepanjang berada di dalam kawasan kampung budaya.
Ini kerana walaupun lawatan ke kampung budaya itu hanya lakonan semata-mata bagaimanapun mereka masih berpegang kuat pada adat dan pantang larang yang diamalkan sejak zaman nenek moyang dulu.
Terdapat lebih daripada lima jenis rumah panjang suku kaum Rungus, Dusun, Lundayeh, Bajau dan Murut yang setiap satunya mempunyai perbezaan mengikut cara hidup masing-masing.
Pembinaan rumah panjang itu juga adalah seperti asal dengan menggunakan kulit kayu pokok, buluh dengan atap rumbia yang menunjukkan sifat sebenar sesebuah rumah panjang ketika itu dan pengunjung boleh merasai situasi sebenar berada di dalam rumah panjang.
‘Bobohizan’ muncul dari hutan
Setelah selesai taklimat daripada petugas di kampung budaya, kami diarahkan berbaris sebelum memasuki kawasan itu. Salah seorang daripada kami dipilih ketua rombongan untuk bertemu dengan Ketua Kampung.
Salah seorang artis budaya di Mari-Mari Culture sedang membuat demonstrasi kepada para pengunjung. Saya cukup bertuah kerana telah dipilih oleh ahli rombongan untuk mengetuai kumpulan kami dan saya bertanggunjawab untuk memastikan semua ahli kumpulan tidak membuat perkara-perkara yang dilarang di samping memastikan mereka sentiasa bergerak di belakang saya.
Perkara pertama yang kami lalui semasa merentas perkampungan budaya tersebut adalah kejutan daripada ‘pendekar-pendekar’ yang dikenali sebagai ‘Bobohizan’ dari hutan. Kemunculan mereka adalah untuk memastikan pelawat yang datang bukan untuk menceroboh kawasan kampung dan menangkis roh-roh jahat.
Seorang wanita berpakaian hitam, bertongkat dan matanya ditutup berjalan-jalan di sekeliling kami sambil membaca mentera sebelum membenarkan kami berjumpa dengan Ketua Kampung yang seterusnya membenarkan kami masuk ke kawasan mereka.
Ketua Kampung seterusnya mengarahkan beberapa anak buahnya untuk mengikut kami meninjau kawasan kampung budaya selain pemandu pelancong yang sibuk memberikan penerangan mengenai situasi yang kami tempuhi.
Di situ kami dibawa melawat dan meninjau cara-cara penyediaan tuak, iaitu sejenis arak yang diperbuat daripada beras dan memberi peluang kepada pengunjung yang bukan beragama Islam untuk mencuba tuak yang dituang di dalam bekas buluh.
Di satu sudut pula kelihatan beberapa orang gadis sedang melakukan demonstrasi masakan ayam di dalam buluh yang menjadi makanan harian masyarakat di situ sehingga kini.
Tarian Lansaran uji stamina
Antara aktiviti yang menjadi kegemaran sepanjang berada di perkampungan budaya Mari-Mari Culture’ ialah melawat rumah panjang suku kaum Murut.
Dari luar sudah kedengaran riuh-rendah dari dalam rumah seolah-olah ada pesta besar sedang berlangsung.
Artis budaya di Mari-Mari Culture lengkap berpakaian tradisional untuk tatapan pengunjung. Rupa-rupanya beberapa orang pengunjung sedang cuba menarikan tarian Lansaran, satu tarian tradisional masyarakat itu. Pelbagai aksi menggelikan hati dapat dilihat pada malam itu.
Tarian ini bukan seperti tarian yang biasa dilihat.
Ia ditarikan di lantai khas berukuran kira-kira 81 kaki persegi yang dibina di tengah-tengah rumah panjang yang diperbuat menggunakan kayu bulat.
Kayu bulat dipasang berlapis-lapis secara khusus supaya boleh melantun seperti “spring”.
Tarian lansaran dilakukan oleh kumpulan penari lelaki dan perempuan dengan pakaian tradisional warna hitam dan hiasan manik-manik yang berwarna-warni.
Kaum lelaki memakai topi berbulu burung serta pakaian diperbuat daripada kulit kayu bercampur kain berwarna.
Penari tarian ini membuat bulatan sambil melonjak-lonjak di atas lantai lansaran dengan diringi oleh hentakan susunan kayu bulat di bahagian bawah lantai lansaran, sambil itu penari lelaki akan melonjak ke atas untuk mencapai “kinkilat” yang digantung di bahagian atas sambil bersorak tanda gagah.
Kemuncak tarian lansaran ialah berbalas-balas pantun tanda mengeratkan lagi tali silaturahim sesama mereka. Pada masa lalu tarian itu dipersembahkan bagi menyambut kepulangan para pahlawan yang telah mencapai kemenangan setelah bertarung di medan pertempuran.
Sesungguhnya peluang untuk mengembara di perkampungan Mari-Mari Culture memberi pengalaman dan pengetahuan yang berguna mengenai sejarah dan penduduk pelbagai etnik di Sabah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: