Monday, September 26, 2011

Menganggarkan kematangan tomato


Bukan mudah menilai tahap kemasakan buah tomato secara manual kerana ia bergantung kepada pemerhatian fizikal semata-mata.- Gambar hiasan


MESIN seumpama ini bukan baru dihasilkan tetapi mekanismenya mungkin berbeza.

Sebelum ini, sebuah mesin yang sama telah dihasilkan oleh sebuah universiti di utara tanah air yang menggunakan menggunakan kesan pergerakan elektron antara dua plat yang mengapit dua buah yang hendak diuji yang mana bacaannya diukur dalam unit voltage.

Namun bagi Universiti Malaysia Pahang (UMP), penyelidikan bagi membangunkan sistem seumpama itu wajar diteruskan memandangkan ia sangat berguna membantu pengusaha industri kecil dan sederhana atau setidak-tidaknya kepada penanam buah.

Apatah lagi teknologi tersebut dapat membantu industri buah-buahan berkembang dengan membantu kerja-kerja manual penggredan buah yang dilakukan secara manual.

Ketika ini, antara cabaran kerja-kerja penggredan buah ialah penilaian tahap kemasakan buah yang bersifat subjektif.

Ini kerana kerja-kerja menggredkannya dilakukan berdasarkan warna dan ini biasanya menimbulkan masalah tekanan, keletihan mendorong kepada pemilihan gred tidak tepat.

Perbezaan itu berlaku kerana pandangan manusia adalah terhad dalam membezakan warna.

Sebagai contoh warna hijau tulen (100 peratus), hijau cerah (90 peratus hijau) ada lah berbeza begitu juga merah cerah (60-90 peratus merah ) dan merah (100 peratus) .

Jelas bahawa persepsi manusia terhadap warna adalah subjektif dan pelbagai mengikut individu.

Warna tomato yang mungkin hijau tulen untuk individu tertentu tetapi berbeza dengan yang lain.

Ini menyebabkan ketidaktepatan dalam menilai warna tomato.

Mesin sedia ada tidak dimanfaatkan sepenuhnya di negara ini kerana terlalu mahal.

Sebab itu , sekumpulan penyelidik universiti terbabit menggerakkan satu usaha membangunkan mesin berkenaan dengan menggunakan teknik pemprosesan imej.

Kumpulan penyelidikan berkenaan bermula pada Januari 2009 dianggotai oleh Wan Mohd. Syayhrir Wan Husin, Chye Connsyn, Dr. Kamarul Hawari Ghazali, Chu Kai Chuan, Hazrul reza Mustafa, Mohd. Syafiq Bachok, Shuhairie Mohammad dan Kirahman Ab. Razak dari Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian.

Ketua kumpulan, Wan Mohd. Syayhrir Wan Husin berkata, penyelidikan dijalankan dengan menggunakan peruntukan kewangan daripada geran penyelidikan UMP dan satu prototaip telah berjaya disiapkan pada April tahun ini.

Beliau berkata, mesin yang kemudiannya dikenali sebagai Tomato Maturity Estimator (TME) mesin menganggar kemasakan buah tomato berfungsi untuk mengganggarkan kemasakan buah, sekali gus membantu mengendalikan kerja-kerja penggredan tomato berdasarkan warna.

''Penganggar Kematangan Tomato ini menggunakan teknik pemprosesan imej untuk menentukan kematangan tomato.

''Tomato yang berada di atas konveyor akan melalui kotak hitam bagi tujuan pemprosesan imej,''ujarnya.

Beliau berkata, sistem tersebut berfungsi dengan mengesan kehadiran tomato di dalam kotak hitam menggunakan satu penderia (sensor) yang berfungsi untuk menghantar isyarat kehadiran tomato kepada komputer.

Seterusnya komputer akan mengambil gambar tomato dan memproses menggunakan teknik pemprosesan imej.

Kaedahnya ialah menggunakan beberapa teknik pemprosesan imej termasuk perolehan imej, penambahbaikan mutu imej dan pengambilan imej.

Lima puluh data sampel tomato dikumpul semasa fasa pengambilan imej mengikut format RGB . Warna imej yang dikumpul telah dipertingkatkan kualitinya , terutama kepada penukaran kepada format warna L*a*b*

Pada fasa pengambilan gambar, cahaya merah hijau diekstrak dinilai . Nilai tersebut digunakan sebagai info menentukan peratusan kematangan buah tomato dan menganggarkan tarikh luputnya.

Melalui teknik pemprosesan imej itu, warna tomato akan diproses oleh komputer untuk menentukan kematangan tomato berdasarkan kepada standard Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA).

''Mesin ini unik kerana bukan sahaja dapat menganggar kematangan tomato tetapi ia juga dapat menentukan tarikh luput tomato,'' katanya.

Oleh kerana ia melibatkan banyak subsubstem, penghasilan mesin TME tersebut melibatkan kerjasama daripada pelbagai pihak untuk menghasilkan bahagian mekanikal, elektronik dan juga perisian TME.

Kajian latar belakang dan maklumat mengenai proses penggredan tomato diperoleh daripada Stesen Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Cameron Highlands dan syarikat Twin Diamond Plantation Sdn.Bhd. Bahagian mekanikal mesin TME ini dihasilkan oleh syarikat Easy Technology Industries Sdn. Bhd.

Pengantara muka elektronik bagi mesin ini pula dibuat oleh pensyarah dan juga pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrikal & Elektronik UMP manakala perisian bagi mesin TME ini pula dihasilkan oleh pensyarah dan pelajar Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian.

Menurut Wan Mohd. Syayhrir Wan Husin, matlamat akhir projek penyelidikan tersebut adalah untuk memperluaskan penggunaanya kepada kesemua jenis buah-buahan atau pun sayur-sayuran yang kematangannya dapat diukur berdasarkan kepada perubahan warna.

''Selain itu, matlamat akhir projek penyelidikan ini juga adalah untuk menghasilkan mesin yang dapat mengasingkan buah-buahan ataupun sayur-sayuran yang dicemari dengan bahan kimia yang merbahaya kepada manusia,'' kata beliau.

Dari segi komersial, mesin berkenaan bukan sahaja berpotensi dipasarkan ke pasaran tempatan tetapi juga antarabangsa.

Kos untuk menghasilkan prototaip TME ini bernilai kira-kira RM 25 000. Bagaimanapun kos bagi tujuan komersial bergantung kepada jenis konveyor dan peralatan pemprosesan imej yang digunakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: