TERDAPAT beberapa isu berlainan yang mungkin dihadapi oleh sesetengah ibu bapa mengenai pemakanan anak-anak mereka. Sesetengahnya disenaraikan di bawah:
Si manja yang mengambil terlalu sedikit jenis makanan.
Jika si manja anda hanya mengambil beberapa jenis makanan terpilih dan sentiasa enggan mengambil makanan yang mempunyai rasa, tekstur, bau, suhu dan rupa tertentu, anak anda mungkin termasuk dalam kategori ini. Mungkin si manja anda hanya gemar makanan berwarna putih, seperti nasi, roti, mihun dan susu. Sesetengah kanak-kanak mungkin hanya mahu mengambil makanan seperti nuget ayam, ayam goreng dan mi ayam, dan enggan menyentuh makanan lain.
Kanak-kanak ini mungkin menunjukkan tanda-tanda kegentaran jika diminta makan makanan yang tidak disukai. Ini mungkin berpunca daripada pengalaman masa lalu, seperti tercekik, tersedak atau muntah sewaktu baru mencuba makanan pejal. Malah, ramai ibu bapa menyedari keadaan ini apabila mereka memberi makanan berketul kecil atau berlainan tekstur kepada anak kecil mereka. Kanak-kanak akan tersedak, meludah keluar makanan atau muntah apabila diberi makanan tertentu yang tidak disukai.
Si manja yang jarang tampak lapar.
Adakah si manja anda sentiasa berlari-lari, ingin tahu tentang semua perkara, dan tidak hendak duduk diam apabila makan? Jika beginilah sifatnya, bermakna si manja anda mungkin jatuh di bawah kategori ini. Anda pasti menyangka bahawa kanak-kanak yang sebegini aktif tentu kuat makan, kerana mereka sepatutnya rasa lebih lapar daripada kanak-kanak lain yang sebaya dengannya. Bagaimanapun, anda mungkin terkejut bila mendapati kanak-kanak yang aktif biasanya tidak suka duduk diam di meja makan dan makan dengan betul.
Kanak-kanak ini lebih berkemungkinan menunjukkan selera makan yang kecil, merasa kenyang selepas makan hanya 2 atau 3 suap, dan perhatian mereka mudah terpesong daripada makanan. Mereka lebih berminat untuk bermain dan berbual dengan ibu bapa, adik-beradik atau kawan-kawan daripada duduk makan di meja makan untuk menghabiskan makanan dalam pinggan mereka.
Si manja yang takut makan.
Dalam sesetengah kes, si manja kelihatan takut untuk makan, dan menentang kuat sebarang percubaan untuk memujuk mereka supaya makan. Anak-anak kecil yang rasa takut dan enggan makan akan menangis, menggeliat, menolak makanan atau enggan membuka mulut setiap kali anda cuba menyuapkannya. Malah, ada yang mula menangis apabila melihat botol susu, mangkuk atau sudu, kerusi makan atau barangan lain yang ada kaitan dengan makanan dan waktu makan.
Ada kemungkinan si manja anda menunjukkan perasaan takut untuk makan disebabkan trauma atau pengalaman masa lalu yang menakutkan, termasuk tercekik, tersedak atau muntah. Mungkin juga si manja pernah merasa trauma apabila tiub dimasukkan melalui mulut dan tekak sewaktu menjalani rawatan perubatan. Kanak-kanak yang diberi makan melalui tiub untuk tempoh yang lama (disebabkan masalah perubatan) selalunya kurang berselera dan tidak berpengalaman makan secara normal. Kanak-kanak ini selalunya tidak mahu makan.
Adakah anda patut merasa bimbang?
Kebanyakan anak kecil memang cerewet makan. Selepas makan hanya 2-3 suap, atau hanya makan nuget ayam yang digemari, mereka enggan mengambil makanan lain. Gelagat ini sudah pasti menyebabkan ibu bapa risau akan kesihatan dan pemakanan anak-anak mereka. Bagaimanapun, kebanyakan kanak-kanak akan berubah selepas melalui peringkat ini dan ramai yang membesar dengan baik tanpa menghadapi masalah makan apabila mereka lebih besar.
Fasa ini di mana si manja sukar dipujuk untuk makan mungkin merupakan zaman paling mencabar dalam hidup anda, tetapi sebenarnya ia merupakan masa yang sesuai untuk mendidik si manja memulakan tabiat makan yang baik. Beberapa peraturan di bawah boleh membantu si manja memupuk tabiat makan yang baik!
Tarik minat si manja dengan masakan sendiri.
Biarkan si manja anda membuat popiahnya sendiri. Sediakan semua bahan, tetapi beri peluang kepada si manja pilih bahan untuk intinya. Ini membolehkan si manja mencuba makanan baru yang mungkin tampak menarik dan membuka seleranya. Anda juga boleh membuat snek yang tampak menarik dan menyeronokkan, seperti sandwich berbentuk bintang atau buah-buahan dicucuk pada batang lidi dengan sos cecah untuk membuka seleranya dan membuat si manja lebih berminat terhadap jenis makanan yang berlainan.
Sentiasa berikan makanan baru.
Jika si manja anda takut untuk mencuba makanan baru, atau keberatan untuk makan apa yang ada dalam pinggannya, jangan putus asa! Ingatlah, bila si manja anda kata “tak nak”, tidak semestinya dia bermaksud “tak nak”; si manja mungkin masih kenyang dan belum mahu makan lagi. Mungkin dia bermaksud “bukan sekarang” dan lebih bersedia untuk mencubanya kemudian. Kajian menunjukkan bahawa sesetengah ibubapa perlu mencuba sehingga 15 kali sebelum seorang anak kecil menerima makanan baru. Cerewet makan mungkin juga bermakna tunjuk kuasa, “Saya tak mahu makan apa yang ibu mahu saya makan!”.
Makan bersama-sama
Ini bukan sahaja merupakan cara yang baik untuk mengasuh si manja mengamalkan tabiat makan yang baik, tetapi juga cara untuk mengelakkan gangguan yang boleh mengalihkan perhatiannya seperti televisyen dan permainan video. Anda juga boleh menikmati “makanan baru” di depan si manja yang cerewet makan, tanpa menghulurkan makanan kepadanya. Apabila anda makan, beritahu si manja bahawa makanan itu sememangnya sedap. Lama-kelamaan, si manja akan faham bahawa dia tidak dipaksa makan dan mungkin tertarik atau berminat untuk mencubanya.
Jangan ikut semua kemahuan si manja
Anda mungkin sanggup untuk menyediakan sajian kegemaran si manja, tetapi ini akan menyukarkan anda menyediakan hidangan untuk seisi keluarga. Anda tidak perlu memasak kesemua yang digemari oleh si manja, sebaliknya, cuba masukkan dalam menu sesuatu yang digemari si manja dalam sajian untuk seisi keluarga.
Dengar apa yang si manja tidak cakap.
Ada kalanya, si manja anda mungkin tidak mahu makan kerana dia rasa kenyang. Dengan mendesak si manja supaya terus makan, anda mungkin menimbulkan masalah makan pada masa hadapan, kerana anak anda mungkin membesar tanpa menyedari bila dia rasa lapar dan bila dia rasa kenyang. Ini seterusnya boleh menyebabkan pengambilan makanan secara berlebihan dan berat badan berlebihan. Justeru, pujuk anak anda supaya makan pada waktu makan atau mengambil snek pada waktu yang sewajarnya, tetapi jangan paksa jika si manja enggan berbuat demikian.
Prinsip dan peraturan di atas akan membantu si manja anda mencuba dan menerima pelbagai jenis makanan secara beransur-ansur. Sungguhpun jumlah dan jenis makanan yang diambil oleh si manja mungkin masih kurang jika dibandingkan dengan kanak-kanak lain, kesemua ini merupakan sebahagian daripada proses membesar. Ingatlah, jangan sama sekali memaksa atau mendesak si manja makan sesuatu yang tidak diingini; kebanyakan kanak-kanak akan meninggalkan fasa cerewet makan dan boleh makan pelbagai jenis makanan apabila dewasa.
l PENULIS ialah pakar pemakanan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: