NAJIB melancarkan logo baru Maybank sambil diperhatikan Megat Zainuddin (kiri) dan Wahid di ibu negara, semalam.
MALAYAN Banking Bhd (Maybank), bank terbesar negara dari segi jumlah aset, semalam melancarkan logo korporatnya yang baru menggantikan logo yang sudah digunakan sejak 1993 bagi memacu misi untuk Menginsankan Perkhidmatan Kewangan di Seluruh Asia.
Logo itu melambangkan bank yang lebih agresif, dinamik dan berwajah kontemporari dengan perkembangan semasa serta sejajar dengan wawasan menjadi peneraju perkhidmatan kewangan serantau.
Perdana Menteri berkata, beliau gembira dengan keupayaan Maybank mencatat prestasi cemerlang tahun ini dan tahun lalu.
Katanya, Maybank bukan saja berupaya mengekalkan status sebagai syarikat paling bernilai di Malaysia dengan pasaran modal RM65 bilion, tetapi turut memperoleh keuntungan selepas cukai sebanyak RM4.5 bilion tahun ini iaitu peningkatan 16 peratus daripada tahun sebelumnya.
Paling membanggakan prestasi Maybank menghasilkan dividen yang diberi kepada unit amanah diurus Permodalan Nasional Bhd mencapai RM4.4 bilion hingga memberi kesan kepada pemilik unit amanah saham di seluruh negara.
Bagi pihak rakyat Malaysia dan kerajaan, saya mengucapkan tahniah kepada Lembaga Pengarah pengurusan dan kakitangan Maybank atas kejayaan amat cemerlang yang dicapai, katanya ketika berucap pada majlis pelancaran logo baru Maybank sempena majlis sambutan hari raya bank itu semalam.
Perdana Menteri berkata, semua institusi kewangan di negara ini disarankan menyokong pelbagai inisiatif yang dilakukan kerajaan untuk membangunkan negara ke peringkat lebih tinggi.
Mengulas logo berkenaan, beliau menyifatkan pertukaran logo MAYBANK berbeza daripada syarikat lain kerana kebiasaannya ia dilakukan syarikat bermasalah dengan berharap ia dapat mengubah nasib syarikat berkenaan.
Maybank berbeza kerana perubahan logo dilakukan untuk disesuaikan dengan kejayaannya di seluruh Asia, katanya.
Sementara itu, mengulas perniagaan Maybank di luar negara, Abdul Wahid berkata, permohonan lesen perbankan di Laos dijangka diluluskan tahun depan dan akan membuka cawangan pertamanya di negara itu pada tahun sama.
Maybank juga berharap dapat berkembang di Thailand dengan menjalankan perbankan runcit, katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: