TUMPUAN...antara rumah yang bernilai lebih RM270,000 di Shah Alam.
SHAH ALAM: “Rumah di bandar raya ini mahal. Saya dan suami berhajat memiliki rumah baru di sini, tetapi apabila tinjau harganya kami tak mampu,” kata pekerja swasta, Ainul Fadzilah Mohd Mustafa.
Ainul Fadzilah, 27, yang dua tahun mendirikan rumah tangga mengakui jika tidak memikirkan masa depan, dia tidak membeli rumah di bandar raya ini.
Namun, dia percaya rumah aset penting dan pelaburan berbaloi.
“Lebih setahun saya mencari rumah di Shah Alam, kebanyakan rumah baru berharga RM400,000 dan ke atas manakala rumah mempunyai pemilik berharga RM300,000 ke bawah.
“Jika dibandingkan harga rumah di sini dengan kampung halaman saya di Gerik, Perak, sudah tentu jauh bezanya,” katanya.
Suaminya, Muhammad Faiz Mohamed Saaid, 27, tenaga pengajar muda di Universiti Malaya (UM) menyatakan mereka memiliki sebuah rumah dibeli daripada pemilik lain di Seksyen 9 berharga RM270, 000, tetapi ditambah kos pembaikan, kos tetap mencecah lebih RM300,000.
“Kepada mereka yang baru memulakan kerjaya dan ingin membeli rumah di sini, pendapatan sebulan memerlukan sekurang-kurangnya gaji bersih RM3,000.
“Tetapi, jika ditambah kos sara diri, bil air dan elektrik, gaji sebanyak itu pun berkemungkinan tidak mencukupi,” katanya.
Pendapat Muhammad Faiz turut dipersetujui isterinya dengan menyatakan setiap bulan mereka akan mengeluarkan hampir RM2,000 untuk membayar ansuran rumah.
Lain pula kisahnya bagi pekerja bahagian pemasaran di sebuah hotel di sini, Aina Mastura Mohamed Saaid, 23, berkata dia ingin menetap di Shah Alam dan merancang untuk membeli pangsapuri kerana harga rumah teres terlalu mahal.
“Saya merancang untuk memiliki rumah di usia muda, tetapi harga rumah terlalu tinggi di Shah Alam menyebabkan saya melupakan hasrat membeli rumah teres atau lot dengan mencari alternatif membeli pangsapuri,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Jualan dan Pemasaran, Syarikat Permodalan Kebangsaan Berhad (SPK Homes), Pik San, berkata bukan saja rumah di Shah Alam mengalami peningkatan dari segi harga, malah di kawasan membangun yang lain.
“Shah Alam kawasan membangun menyebabkan pemaju dan masyarakat ingin memiliki aset di kawasan ini.
“Jika dianalisis dari segi kawasan yang strategik dan menjadi pasaran tumpuan, pasti ada peningkatan nilai hartanah,” katanya ketika dihubungi.
Pik San juga percaya untuk membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah, kerajaan sudah mengambil pelbagai inisiatif.
“Selain daripada faktor kawasan strategik, kos pembinaan yang tinggi mempengaruhi harga sesebuah rumah dibina.
“Bahan pembinaan rumah yang meningkat di pasaran turut mengundang kepada peningkatan harga rumah,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: