
MENJADI tentera laut merupakan cita-cita wanita ini semasa kecil. “Ketika itu saya berusia enam tahun. Setiap kali orang bertanya saya mahu jadi apa bila besar nanti, saya pasti akan jawab tentera laut,” kenang Norlela Ismail, 35.
Laskar Kanan di Jabatan Perundangan dan Tatatertib, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Sri Sandakan di Sandakan, Sabah ini mempunyai sebab untuk memilih tentera laut dan bukan tentera udara atau darat.
“Uniform tentera laut yang berwarna putih itu kelihatan cantik dan kemas selain melambangkan nilai disiplin yang tinggi.
“Kapal perang pula sering menjadi simbol kedaulatan dan kebanggaan mana-mana negara,” ujar beliau.
Norlela mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab, Pahang sebelum diterima memasuki Kolej Tentera Laut KD Pelandok di Lumut, Perak.
Pendatang
“Sebaik sahaja menamatkan pengajian dan menyertai tentera laut, saya terus diarah melaporkan diri Woodlands, Singapura,” ujar beliau.
Satu-satunya wanita dalam enam adik-beradik, kerjaya lasak seperti tentera laut sememangnya menjadi kegemaran Norlela.
Beliau merupakan ahli kelab skuba KD Sri Sandakan serta mahir berkayak dan berakit.
Selama 16 tahun menjadi tentera laut, banyak pengalaman telah diraih Norlela.
Salah satu kenangan yang sukar dilupakan ialah peristiwa beliau belayar ke Pulau Langkawi pada tahun 2007.
Pada masa itu, beliau bertugas di KD Seri Manjung TLDM Lumut dan beliau diberi amanat menaiki kapal Mahsuri untuk membawa pelatih dari Lumut ke Pulau Langkawi.
“Perjalanan dari Lumut ke Langkawi itu mengambil masa selama empat hari,” kata beliau yang berpeluang melawat kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman di Pangkalan TLDM di Teluk Sepanggar, dekat Kota Kinabalu.
Norlela turut berkongsi pengalaman beliau ketika terlibat dalam proses penghantaran pulang pendatang asing tanpa Izin (PATI) Indonesia menggunakan kapal TLDM dari Lumut ke Indonesia beberapa tahun lalu.
“Saya dan beberapa anggota serta pegawai TLDM lain perlu menguruskan beratus-ratus orang pendatang Indonesia.
“Dalam perjalanan banyak kemungkinan boleh berlaku lebih-lebih lagi jika ada penumpang yang buat kecoh.
“Maklumlah sebahagian daripada penumpang itu sudah lama menetap di Malaysia. Malah, sebelum menaiki kapal lagi mereka sudah buat macam-macam kerenah,” ujar Norlela.
Menurut Norlela, beliau masih teringat wajah seorang wanita yang merayu supaya tidak dihantar pulang kerana kononnya dia terpaksa menanggung perbelanjaan anak-anaknya di negara seberang manakala pasportnya didakwa dicuri orang.
Namun, demi menegakkan undang-undang, kerenah seperti itu tidak dilayan oleh petugas seperti Norlela.
“Memang ramai yang enggan dihantar pulang dengan memberikan bermacam-macam alasan tetapi kami tidak terpedaya dengan lakonan mereka itu,” katanya.
Cerita Norlela lagi, tugas anggota wanita di atas kapal tiada bezanya berbanding pegawai atau anggota lelaki. Kedua-duanya berisiko dan memerlukan semangat yang tinggi.
![]() |
| MENJADI tentera laut dianggap Norlela sebagai kerjaya yang sukar dilepaskan. |
Disiplin
Menurutnya, memang ada wanita yang ditempat di atas kapal untuk satu tempoh tertentu namun tugas beliau lebih banyak bertumpu pada hal berkaitan disiplin dan undang-undang.
Banyak kes pelanggaran disiplin oleh anggota tentera laut yang pernah beliau kendalikan tetapi atas faktor kerahsiaan dan keselamatan, perkara itu tidak boleh didedahkan kepada umum.
Ibu kepada empat cahaya mata yang berumur di antara dua hingga 11 tahun ini boleh dikatakan bersemangat kental apatah lagi suaminya juga merupakan seorang anggota tentera laut.
“Suami saya berkhidmat di Kem Bagai Budi di Sabah sebagai Ketua Bahagian Tatatertib TLDM.
“Kerjaya kami yang sama membolehkan kami saling berkongsi pendapat serta berbincang mengenai perkara berkaitan tugas masing-masing,” kata beliau yang menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini di Sabah.
Tambah beliau, menyambut lebaran di tempat orang tidak menjejaskan semangatnya untuk terus berkhidmat.
“Saya sangat menyukai kerjaya ini dan ia sukar untuk dilepaskan begitu sahaja.
“Sesetengah orang memikirkan mahu menamatkan perkhidmatan lebih awal tetapi saya adalah sebaliknya,” kata Norlela.
Ujar beliau lagi, menjadi tentera laut bukan sekadar mengenai baju yang cantik dan bersih yang dipakai.
“Ia adalah tanggungjawab dan amanah buat negara kita tercinta yang tidak dapat dijual beli dengan wang ringgit,” katanya.

mcm sial..keje perempuan tak kemana sembang gebang je lebih
ReplyDelete