Sunday, September 18, 2011

Kawal,rekod penjualan asid

pix_middle
pix_topright

MANGSA menekup muka, meraung kesakitan dan serta-merta kulitnya berubah seperti melecur apabila terkena cecair berkenaan. Situasi yang berlaku sudah tentu menyebabkan panik dan kebingungan. Dia mungkin berlari mencari air untuk membasuh wajah yang terasa perit seperti terbakar mahupun berlari tidak tentu arah untuk mendapatkan pertolongan.

Begitulah azab simbahan asid yang kini seakan-akan menjadi trend untuk melepaskan rasa marah mahupun tidak puas hati terhadap sesuatu pihak.

Kes paling hangat dan mendapat liputan meluas ialah pada 2005 apabila bekas askar, Tuan Azman Tuan Ludin, 38, dari Tanah Merah, Kelantan menyatakan keinginannya berkahwin lagi tetapi mendapat tentangan isterinya. Akibat pertengkaran, si isteri menyimbah asid ke wajah Tuan Azman yang menyebabkan kecacatan kekal.

Daripada kes yang dianggap terpencil, ia menjadi isu yang menggemparkan masyarakat. Sehingga pertengahan tahun ini, 23 kejadian simbah asid di sekitar ibu negara dilakukan lelaki bermotosikal tanpa diketahui motif sebenar.


Kes itu mencetuskan kebimbangan di kalangan wanita kerana individu terbabit yang menyimbah asid secara rambang mensasarkan wanita sebagai mangsa.


Selepas kes berkenaan, lebih banyak kes dilaporkan berlaku di seluruh negara tetapi membabitkan dua pihak iaitu pelaku dan mangsa mengenali antara satu sama lain atas pelbagai sebab seperti membalas dendam, cemburu mahupun tidak puas hati.

Jika dulu, kemarahan dilepaskan dengan memukul mangsa sama ada menggunakan senjata atau objek keras, kini kaedah digunakan jauh berbeza iaitu dengan cecair.

Rentetan kes simbah asid yang semakin meningkat, ramai pihak mula membuka mata mencari jalan menangani masalah itu. Bahan yang sepatutnya bermanfaat kepada manusia disalahgunakan sebagai alat membinasa dan membuatkan orang lain sengsara.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain mencadangkan kerajaan mengkaji semula undang-undang penjualan asid, akta dan bentuk hukuman terhadap pesalah.

Menurutnya, setiap urus niaga asid perlu direkodkan iaitu pembeli menyertakan nombor kad pengenalan dan alamat kediaman atau premisnya dan dia harus bertanggungjawab memastikan bahan cecair itu tidak disalahgunakan pihak lain.

“Asid bahan yang digunakan banyak pihak, terutama di kilang, proses pembuatan, sektor perladangan mahupun sebagai bahan mencuci kekotoran. Bahan ini tidak sepatutnya disalahgunakan sebagai alat membalas dendam, mencedera, mencacat dan membutakan orang lain.

“Oleh itu, pembeli harus bertanggungjawab di atas setiap pembelian dilakukan dengan menyimpannya di tempat selamat dan sukar diceroboh orang lain,” katanya.

Beliau berkata, kos rawatan untuk memulihkan kulit melecur akibat simbahan asid adalah tinggi, manakala hukuman dikenakan terhadap pesalah terlalu rendah dan tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan.

Mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan, pesalah boleh dikenakan maksimum tiga tahun penjara atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh mencadangkan hukuman sebat dikenakan kepada pesalah yang melakukan jenayah ini.

Katanya, kerajaan juga perlu memperbaiki mekanisme penjualan asid supaya ia dikawal, direkod dan didaftarkan segala transaksi mengenainya.

“Biro Aduan juga menerima lonjakan kes yang tinggi dan saya sifatkan sangat membimbangkan,” katanya.

Mengapa asid kini dijadikan alat untuk membalas dendam mahupun meluahkan emosi?
Pakar psikologi, Dr Muhamad Jantan berkata, cara bertindak itu dipilih untuk melepaskan rasa marah kerana ingin melihat kesan nyata padah perbuatannya.

Menurutnya, melalui berita dipaparkan, pelaku mendapat ilham menggunakan kaedah sama. Caranya mudah dan kesannya dapat dilihat dengan cepat. Sebanyak 23 kes simbah asid yang berlaku di ibu negara, baru-baru ini menunjukkan jiwa pelakunya tertekan dan tindakan itu dilakukan untuk melihat kesan perbuatannya biarpun bukan pada orang yang dituju.

Langkah mencegah trend tidak sihat membalas dendam dengan menyimbah asid ialah mencari punca iaitu masalah psikologi. Apabila sesuatu masalah berkembang tanpa dibantu, ia akan menjadi lebih besar.

“Kita perlu membantu orang yang bermasalah pada peringkat awal kerana pada tahap yang tidak boleh dibendung, ia boleh menjadi masalah skizofrenia.

“Ia mungkin berpunca daripada sikap keluarga yang tidak mengambil tahu mengenai diri pelaku. Asalnya, pelaku berasa dirinya tidak diperlukan, sunyi atau tidak diiktiraf oleh orang lain.

“Sampai satu peringkat, dia hilang pertimbangan akal yang waras dan meledak dalam bentuk yang tidak boleh dijangka seperti menyimbah asid kepada individu lain,” katanya.

Sehubungan itu, stres perlu ditangani dengan baik. Orang terdekat yang mengesan tingkah laku luar biasa seseorang perlu membantunya menangani tekanan.

“Penyerang mengambil tindakan sebegitu untuk mendapatkan perhatian. Disebabkan tahu tindakan itu boleh mendapat perhatian ramai pihak, seseorang itu turut mengambil pendekatan sama,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar dalam kenyataannya sebelum ini berkata, mustahil pihak berkuasa boleh mengharamkan penggunaan cecair berkenaan kerana ia bahan yang digunakan setiap hari oleh pelbagai pihak.

“Asid digunakan untuk kegunaan harian dan mustahil kita hendak mengharamkannya. Bahan ini sama seperti bahan lain yang jika disalah guna boleh memudaratkan
seperti gam dan serbuk lada.

“Namun bagi cecair atau asid yang benar-benar bahaya, memang ada peruntukan undang-undang untuk mengawal pengedaran dan penggunaannya, cuma asid yang digunakan seharian ini mustahil untuk diharamkan,” katanya.

Penganalisis jenayah, Mohd Kamal Affendi Hashim berkata, tidak dapat dinafikan, tindakan menyimbah asid menjadi ikutan selepas kes yang berlaku mendapat liputan meluas media massa.

Menurutnya, asid kini menjadi ‘senjata’ untuk seseorang melunaskan perasaan marah, dendam mahupun cemburu.

Ditanya sama ada wajar kajian mengenai hukuman lebih berat terhadap pesalah, Mohd Kamal berkata, langkah itu mungkin amaran yang tidak berkesan kerana mereka yang ingin melakukannya tidak memikirkan kesan akibat perbuatan mereka.

Sebagai contoh, katanya, hukuman gantung sampai mati dikenakan terhadap pengedar dadah tetapi masih ramai tidak gentar melakukannya biarpun tahu akibat daripada tindakan mereka.

Katanya, penjualan asid di kedai dan pasar raya perlu dikawal kerana ciri yang hampir sama menjadikan ia satu masalah kerana sering disalahgunakan.

“Dalam satu sudut, kita perlu mencari kaedah bagaimana membantu mangsa simbahan asid menjalani pemulihan dan menjalani kehidupan selepas melalui detik hitam itu.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) harus meluaskan konteks jangkauan mereka dengan membimbing mangsa yang mempunyai kecacatan kekal meneruskan kehidupan.
Ini kerana, kebanyakan mangsa malu berdepan masyarakat kerana mereka dianggap pelik dan menakutkan.

“Kaunseling komuniti harus dilakukan bagi mendidik masyarakat supaya tidak menyisihkan mangsa simbah asid. Mereka perlukan sokongan masyarakat supaya dapat mengikis rasa malu dengan keadaan dialami,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: