Monday, September 12, 2011

JRCC pantau kawasan ancaman pengganas

Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman

JIKA melihat pada pulau terpencil di perairan Semporna, Sabah ini pasti tidak disangka ia menjadi antara 33 penempatan strategik bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan Operasi Pencegahan Serangan Pengganas (Op Pasir).

Maka tidak hairanlah terdapat sekumpulan pasukan tentera bersenjata di satu kawasan pada kedudukan lebih tinggi di pulau yang dinamakan Danawan ini sebagai markas operasi mereka.

Hanya berkeluasan 0.63 kilometer persegi yang dihuni oleh sebahagian besarnya adalah masyarakat tanpa negara, Pulau Danawan dilihat sekadar biasa-biasa sahaja.

Apakah relevannya menempatkan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) di pulau ini sedangkan Pulau Siamil yang berjiran sejauh 1.6 kilometer pun tidak berpenghuni?

Namun keterangan oleh Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman jelas mencerminkan kesiapsiagaan ATM dalam memelihara dan melindungi keselamatan negara daripada pelbagai ancaman.

“Pulau Danawan hanya sebahagian daripadanya. Banyak pulau dan perairan di Sabah telah disusun strategi bagi memantapkan Op Pasir.

“Penempatan tentera di bawah ATB2 ini ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti lokasi strategik, kawasan berisiko tinggi dari ancaman atau anasir luar dan kawasan serta penempatan berkepentingan yang harus dilindungi,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.

Pada masa ini, unit-unit di bawah ATB2 menduduki dan menguasai kawasan seluas 1,577 kilometer meliputi 33 penempatan strategik iaitu 22 penempatan di 20 pulau dan 11 penempatan di pesisiran pantai.

Satu hikmah

Dr Ahmad Zahid (kanan) dan Ahmad Kamarulzaman (tengah) dalam lawatan ke Pulau Danawan, baru-baru ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam lawatan beliau bersama pengarang kanan media ke kawasan operasi Op Pasir baru-baru ini menegaskan bahawa benteng pertahanan negara itu tidak mengizinkan Malaysia dicerobohi apatah lagi diancam secara luaran atau dalaman walau hanya seinci.

Justeru, Pusat Kawalan dan Sistem Pengawasan (JRCC) Op Pasir bertindak menguasai keselamatan maritim berpandukan konsep situational awareness dengan mengesan sebarang aktiviti atau pergerakan yang mencurigakan di perairan Pantai Timur Sabah dan mengambil tindakan sewajarnya.

Bersedia dengan senjata bagi memelihara dan melindungi keselamatan di penempatan strategik Op Pasir.

Operator radar itu bukan sahaja mampu mengesan dan merakamkan ‘penceroboh’ atau ‘penjenayah’ bahkan tindakan turut diambil untuk menyiasat, memeriksa dan jika perlu memberkas mereka.

JRCC yang beroperasi di satu lokasi rahsia memantau aktiviti keseluruhan Op Pasir melalui System Consultancy Services (SCS) dan pesawat tanpa pemandu (UAV).

Semua maklumat yang diperoleh melalui radar atau video secara langsung dipancarkan terus ke JRCC juga menjadi Pangkalan Operasi Hadapan Op Pasir.

Dalam pelaksanaan tersebut, penggunaan projek sistem komunikasi bersepadu seluruh negara Rangkaian Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) dioptimumkan.

Ia turut dibangunkan untuk agensi keselamatan, penguatkuasaan dan kecemasan yang berkongsi prasarana tetapi masih mengekalkan autonomi setiap agensi.

Dr Ahmad Zahid (kanan) dan Ahmad Kamarulzaman (kiri) sedang mengecat balai raya yang merupakan sebahagian daripada Program Jiwa Murni.

GIRN adalah sistem komunikasi utama bagi membolehkan inter-operasi antara semua agensi keselamatan yang beroperasi di Pantai Timur Sabah seperti ATM, Polis Marin, Pasukan Gerak Am dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Dalam pada itu, Ahmad Kamarulzaman berkata, insiden penculikan di Pulau Sipadan dan Pulau Pandanan melibatkan kumpulan militan Abu Sayaf yang berlaku 11 tahun dahulu dijadikan sebagai satu hikmah serta peringatan bahawa keselamatan negara tidak seharusnya diperlekehkan.

“Kami sentiasa mengggerakkan Op Pasir secara berterusan dalam menjaga keamanan negara dan operasi ini telah mengembalikan keyakinan masyarakat berhubung isu keselamatan.

“Kesannya, kedatangan pelancong asing ke Sabah semakin meningkat manakala insiden penculikan tidak berlaku lagi di Pantai Timur Sabah,” katanya.

Tambahnya lagi, kadar jenayah kecil seperti rompakan dan kecurian enjin bot juga berkurangan dengan kerjasama ATB2 dan masyarakat setempat.

Markas ATB2 merupakan sebahagian daripada Markas Angkatan Bersama (Mk AB) iaitu perintah peringkat operasi yang bertanggungjawab merancang dan melaksanakan semua operasi bersama, operasi yang berkemungkinan menjadi bersama, operasi gabungan, operasi bersepadu serta multinasional seperti keamanan di bawah piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Ditubuhkan pada 16 Julai 2007, Mk AB melaksanakan tugas berdasarkan konsep bersama bersifat tiga khidmat (tri-service) bagi memastikan fungsinya lebih berkesan dalam membantu Panglima ATM terutama aspek pemerintahan dan pengawalan operasi di peringkat tertinggi ATM.

Op Pasir hanya sebahagian operasi Mk AB di dalam negara namun markas itu sudah bertindak ke luar negara menerusi misi PBB seperti di Sudan, Afghanistan, Timor Leste dan Lebanon.

Lebih efektif

Ahmad Kamarulzaman berkata, Mk AB akan terus memantapkan operasi agar tindakan secara menyeluruh lebih cekap dan kesannya lebih efektif.

“Aset-aset ATM akan ditambah lagi dari semasa ke semasa tertakluk kepada kemampuan kerajaan bagi meningkatkan keupayaan rondaan dan pengawasan di perairan maritim Sabah Timur khasnya penggunaan bot-bot pemintas.

“Selain itu, kami akan mengoptimumkan teknologi bagi operasi maritim berdasarkan sistem radar lebih bersepadu dan meningkatkan keupayaan pengawasan sepanjang masa.

Bot Rover antara aset ATM dalam Op Pasir.

“Usaha secara berterusan bersama dengan agensi-agensi maritim seperti APMM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dimantapkan,” katanya.

Menurut beliau, peranan ATM semakin dihargai oleh rakyat dan masyarakat perlu membantu menjadi ‘telinga’ dan ‘mata’ dalam memberi maklumat bagi meningkatkan lagi keberkesanan operasi.

“Kad kecemasan mesra turut diperkenalkan yang mengandungi nombor-nombor telefon kem-kem tentera untuk para nelayan.

“Pendekatan itu memudahkan tindakan segera sekiranya berlaku aktiviti jenayah atau sebarang situasi yang mencurigakan semasa mereka di laut,” katanya.

Ahmad Kamarulzaman berkata, ATB2 juga menjalankan konsep rondaan mesra dan program bertanya khabar serta program khidmat masyarakat atau Program Jiwa Murni di kawasan Op Pasir dalam mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat.

“Apa yang penting adalah memastikan kesejahteraan mereka di samping membuktikan ATM komited menjaga keamanan negara,” katanya yang menyifatkan anggota tentera yang terlibat dalam Op Pasir amat komited dan bersedia bertempur mematahkan ancaman pengganas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: