BERGELAR seorang graduan, pastinya merupakan satu detik paling manis kepada seorang graduan selepas bertungkus-lumus menelaah buku bagi memperoleh segulung ijazah.
Ia menjadi tiket mengejar cita-cita dan memegang wang sendiri.
Kelulusan diperoleh itu akan dibawa ke mana sahaja untuk mendapat pekerjaan idaman seterusnya membina kerjaya mereka pada masa depan dan mendapat pendapatan yang setimpal.
Namun, tidak semua graduan berjaya mencapai cita-cita yang diingini sebaik sahaja menerima segulung ijazah masing-masing lantaran persaingan sengit dalam dunia pekerjaan sebenar.
Resah dan bimbang menghantui graduan yang masih bergelut menempatkan diri dalam alam kerjaya apatah lagi mendapat pekerjaan yang setaraf kelulusan yang dimiliki.
Perkara itu dibuktikan berdasarkan data yang dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat April lalu yang menunjukkan bilangan penganggur dalam negara setakat pada tahun lalu ialah seramai 421,800 orang atau mewakili kadar 3.4 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.
Jumlah tersebut menjadikan pasaran kerja begitu sengit di kalangan graduan terutama bagi siswazah baru lepasan universiti untuk sama merebut tawaran kerja di sektor awam atau pun swasta.
Antara sebab graduan gagal mendapat pekerjaan ialah kebanyakan majikan kini menetapkan pengalaman bekerja sebagai salah satu syarat pelantikan selain kemahiran diri yang lemah di kalangan pemohon.
Ekoran itu, atas keprihatinan terhadap pasaran kerja yang sengit itu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tampil dengan program khusus bagi memastikan siswazah mereka mempunyai nilai pasaran.
Hasil program tersebut yang dikenali Job Camp UniMAP yang dikendalikan oleh Pusat Kerjasama Industri (CIC), universiti itu berjaya meningkatkan pasaran para siswazahnya.
Pengarahnya, Dr. Yufridin Wahab berkata, melalui Job Camp itu, UniMAP dapat meningkatkan nilai pasaran siswazahnya untuk mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian sehingga 90 peratus.
“Job Camp khusus kepada latihan bersama industri yang diberikan kepada siswazah UniMAP yang masih belum mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.
“Mereka yang dipilih bakal mengikuti latihan di antara empat hingga enam bulan di syarikat tertentu bagi menambah pengalaman untuk para siswazah,” katanya.
Apa yang menariknya, lebih 98 peratus siswazah yang mengikuti latihan tersebut diserap atau diambil pekerja oleh syarikat yang melatih mereka dengan tawaran gaji yang lumayan.
“Selain itu, kami juga mendapat maklum balas yang baik dari syarikat terbabit yang berpuas hati dengan siswazah yang mengikuti latihan tersebut sehingga mereka berminat menawarkan kerja,” ujarnya.
Jelasnya, Job Camp diperkenalkan pada tahun 2010 lalu dengan seramai 75 pelajar dipilih bagi mengikuti latihan industri di beberapa syarikat terpilih di dua sektor iaitu automatif serta elektrik dan elektronik.
“Bagi sektor automotif syarikat yang terlibat adalah seperti Perodua Manufacturing, Sapura Industrial, Sipro Plastic, Ingress Technologies dan Permintex Sanko Technologies.
“Untuk elektrik dan elektronik, syarikat terlibat ialah Silterra Malaysia, Infineon Technologies, Samrtac Technologies dan banyak lagi,” ujarnya.
Katanya, kesemua syarikat tersebut merupakan syarikat terkemuka di dalam industri masing-masing dan pihaknya telah membelanjakan sebanyak RM466,000 melalui peruntukan oleh pihak industri dan bantuan Kementerian Pengajian Tinggi.
“Ekoran kejayaan yang diperoleh memberangsangkan, Job Camp akan diperluas dengan penambahan dua sektor industri lagi manakala dari aspek pengambilan siswazah pula, akan ditingkatkan sehingga 220 pelajar bagi tahun ini,” ujarnya.
Sementara itu, seorang peserta program itu, Farahdina Che Jaafar, 24, memberitahu, dia amat berterima kasih dengan UniMAP dan majikannya yang mengambil dia berkerja yang dahulu tempat pelajar membuat latihan tersebut.
“Selepas tamat pengajian saya menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan apabila 20 permohonan di buat dan temuduga namun tidak mendapat balasan,” ujarnya.
Farahdina berasal dari Sungai Petani kini berbangga bertugas sebagai Jurutera Material di Infineon Sdn. Bhd. di Kulim, Kedah.
Seorang lagi perserta itu, Mohd. Gadaffi Osman turut diserap oleh Ingress Technologies Sdn. Bhd. yang mengambilnya sejurus tamat program Job Camp.
“Saya kini menerima pendapatan yang tinggi sesuai dengan kelayakan dan saya amat berterima kasih dengan UniMAP yang mengambil berat tentang para pelajarnya walaupun setelah kami bergraduasi,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: