
PERASAAN rindu kepada keluarga serta rakan, makanan dan persekitaran di negara sendiri sudah pasti menyelubungi setiap ekspatriat tidak kira di negara mana mereka tinggal.
Bagi sekumpulan ekspatriat dari negara ‘Matahari Terbit’ yang menetap di negara ini dan Singapura, golf menjadi platform untuk mengukuhkan persahabatan serta memperluaskan jaringan perniagaan antara mereka.
Bertempat di Starhill Golf & Country Club (SHCC) di Johor Bahru pada Ahad lalu, seramai 144 bekas pelajar mewakili 27 universiti dari Jepun menyertai Kejohanan Golf Antara Universiti Jepun Kali Ke-15.
Menurut penganjur kejohanan, Makoto Kurosa, matlamat utama pertandingan adalah mengumpul sebanyak mungkin rakyat Jepun di perantauan untuk bermain golf sambil bersantai. Aktiviti itu sekali gus mengurangkan jurang komunikasi akibat kesibukan kerjaya masing-masing.
‘‘Menerusi penganjuran kejohanan golf seperti ini, kami dapat bertemu khususnya pada hujung minggu. Pada hari biasa sukar untuk berkumpul kerana kesibukan kerja. Kami gembira dapat bersua muka, bertanya khabar sambil berkongsi cerita,” katanya.
Bercerita tentang idea penganjuran kejohanan tersebut, Kurosa memberitahu, ia bermula pada 987. Pada mulanya hanya terbuka kepada bekas pelajar universiti sekitar Tokyo, Jepun. Namun sambutan menggalakkan daripada bekas pelajar universiti lain membawa kepada penganjuran peringkat seluruh Jepun.
Tambahnya, kesemua peserta sudah bekerja dan kebanyakannya menetap di negara ini dan juga Singapura. Menerusi kejohanan ini setiap peserta membawa nama universiti tempat mereka belajar dahulu.
Mengenali
Beberapa peserta yang ditemui Mingguan Malaysia bersetuju aktiviti tersebut mampu mengeratkan hubungan antara rakyat Jepun di negara lain yang ada di kalangan mereka juga tidak mengenali antara satu sama lain.
Bekas pelajar Universiti Shosen, Tomohiro Korogi, 31, mencadangkan supaya program seumpama itu dianjurkan lebih kerap bagi menggabungkan komuniti Jepun di negara-negara luar.
‘‘Bila kita jauh daripada keluarga, macam-macam perasaan dapat kita rasa. Namun dengan penganjuran pertemuan antara kami ia sedikit sebanyak mampu mengubati rasa rindu kepada keluarga dan saya sememangnya gembira dengan pertandingan golf ini,” ujarnya.
Bekas pelajar Universiti Sophia yang juga dikenali sebagai Universiti Jochi, Tadashi Ishi, 32, menyifatkan kejohanan golf itu membawa keceriaan kepada mereka yang kini berjauhan daripada keluarga masing-masing.
‘‘Bila jauh daripada keluarga, kami cuma ada antara kami. Jadi, saya gembira kerana bukan sahaja dapat menjalankan aktiviti sukan yang sihat tetapi pada masa sama dapat bertemu dengan rakan-rakan Jepun yang lain dan lebih mengeratkan lagi hubungan antara kami,” kata jejaka yang tidak lekang dengan senyuman itu.
Dua lagi rakan yang berada dalam satu kumpulan sama dengan Korogi dan Ishi pada pertandingan itu iaitu Sayako Aizawa, 33, dan Takahiro Hara, 31, bersetuju dengan pendapat kedua-dua rakan mereka.
Sayako yang merupakan bekas pelajar Universiti Konan dan merupakan satu-satunya wanita dalam kumpulan berempat itu memberitahu, biarpun menyedari tidak akan menetap selamanya di negara asing, namun aktiviti yang mampu mengeratkan hubungan antara satu sama lain perlu dipergiatkan.
‘‘Kami gembira dengan penganjuran pertandingan golf ini dan berterima kasih kepada mereka yang memulakan cadangan itu kerana berkumpul seperti ini membuatkan kami rasa seperti berada di negara sendiri,” kata Hara yang mahu lebih banyak program seperti itu dianjurkan lagi.
Dalam pada itu, Pengarah SHCC yang juga seorang rakyat Jepun, Seki Sakaguchi, biarpun tidak menyertai pertandingan golf itu, namun kerinduan kepada keluarga terubat apabila melihat rakan-rakan dari negaranya berkumpul dan menjalankan aktiviti bersama.
Dia yang sudah menetap di negara ini lebih 10 tahun memberitahu, SHCC sering menjadi pilihan kerana ramai ekspatriat Jepun bermain golf di situ terutama pada hujung minggu selain keenakan hidangan dari negara ‘Matahari Terbit’ yang disediakan di situ sekali gus membuat mereka berasa seperti berada di negara sendiri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: