Saturday, September 3, 2011

Jamu selera dengan landak laut


BERAS dimasukkan di dalam kulit landak.


MINGGU ini Makan Angin 2 masih di negeri Di Bawah Bayu kerana pelbagai perkara menarik di negeri Sabah yang ingin dijelajah. Kali ini Faiz akan ke Pulau Gaya, Sabah untuk misi seterusnya iaitu mencari makanan laut eksotik. Kota Kinabalu terkenal dengan keindahan kawasan pulaunya dan kehidupan di dalam laut.


LANDAK LAUT


Oleh itu, saya akan menyelam ke dalam laut untuk menyiapkan misi seterusnya. Menu kali ini ialah landak laut, bantunan, kahanga dan rumpai laut (latok). Untuk ke Kampung Pulau Gaya, kami menaiki feri dan mengambil masa lebih kurang 10 hingga 15 minit. Perkampungan air yang sangat menarik dan unik itu menemukan saya dengan seorang lelaki bernama, Osman yang pakar menangkap landak laut dan pelbagai makanan

laut. Kebetulan dia memiliki kelong untuk memelihara rumpai laut iaitu spesies latok. Seperti yang diketahui umum landak laut merupakan haiwan yang berbahaya kerana racun yang terdapat pada durinya.


BANTUNAN yang menyerupai gamat.


Namun, saya telah menyahut cabaran tersebut dan turut serta bersama Osman menyelam bagi mendapatkan bahan-bahan utama menu pilihannya. Kemahiran yang dimiliki Osman memang mengagumkan kerana dia boleh

menahan nafas sehingga 10 minit di dalam laut untuk mencari landak laut tersebut. Lebih hebat, alat-alat pernafasan yang digunakan hanyalah peralatan yang biasa dan buatan sendiri. Setelah puas menyelam

di lautan sehari, masa untuk saya menyiang bahan-bahan utamanya. Menyiang landak laut bukanlah perkara yang mudah, ia memerlukan kemahiran. Osman menunjukkan cara-cara menyiang landak laut kepada saya.

Selesai proses tersebut, saya pun memasaknya. Landak laut boleh disediakan menjadi dua menu iaitu daripada isi dan kulitnya. Isinya akan dimasak rendang, manakala kulitnya akan dimasukkan beras dan direbus

yang dipanggil oko-oko oleh kaum Bajau di pulau tersebut. Kemudian untuk resipi kedua iaitu kahanga, sejenis kerang laut yang memiliki cengkerang yang cantik dan biasanya dijadikan perhiasan dan cenderamata.


PENULIS turut menyelam untuk mencari spesies hidupan laut.


Rasanya sangat sedap dan saya cadangkan kalau anda semua berkesempatan ke sini, carilah kahanga sebab rasanya itu. Misi seterusnya lebih mencabar kerana dua daripada menu tersebut hanya perlu dimakan mentah. Apabila melihat rupa makanan tersebut, memang tidak yakin dapat masuk ke mulut. Tapi gagahkan juga untuk mencubanya. Bak kata orang, belum cuba belum tahu. Memang tak rugi mencuba sebab rasanya sangat sedap.

Nak tahu apa makanan itu? Ia adalah bantunan dan latok! Bantunan merupakan spesies timun laut dan rasanya agak keras serta mempunyai bentuk lebih kurang seperti gamat. Latok pula spesies rumpai laut yang sedap apabila di cicah dengan air asam. Bila selesai semua menu, terasa berbaloi pula usaha saya menyelam ke dasar laut untuk kali ini. Sebelum pulang, saya sempat melalui kawasan sekolah di kampung tersebut

yang merupakan sekolah yang memiliki pencapaian yang sangat memberangsangkan dan belajar tarian igal-igal yang merupakan tarian tradisi kaum Bajau. Tarian itu biasanya ditarikan dalam majlis keramaian dan persembahan untuk tetamu. Setiap pertemuan ada perpisahan, kenangan dan keindahan Kampung Pulau Gaya tidak akan dilupakan. Kepada yang berkunjung di Sabah, jangan ketinggalan melakukan aktiviti menyelam

di Pulau Sapi kerana ia aktiviti yang menyeronokkan. Saya pun berkesempatan menyertai aktiviti Discover Diving dan Sea Walking di Pulau Sapi. Keindahan lautan Sabah sangat cantik dan menjadikan kita sedar

akan kekuasaan dan keindahan ciptaan Tuhan. Jangan lupa saksikan keunikan pengembaraan kami di Pulau Gaya malam esok pukul 8.30 malam di TV 9.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: