Monday, September 26, 2011

Izreen sambut cabaran

pix_gal0
Izreen Azminda makin dapat perhatian selepas lima tahun jadi pelakon

NASIB dan rezekinya agak lambat untuk menempa nama lebih awal dengan rakan seperjuangan seangkatannya. Tapi, itu cerita lama sejak kemunculan Izreen Azminda lima tahun lalu selepas meraih tempat ketiga pertandingan Dewi Remaja 2005/2006 yang dijuarai Scha Alyahya dan turut disertai Rabecca Nur Islam.

Kebelakangan ini, nama gadis berusia 26 tahun kelahiran Kangar, Perlis namun dibesarkan di Alor Setar, Kedah ini mula galak momentumnya. Aktor Rosyam Nor harus diberi kredit kerana menjadi individu pertama yang menawarkan watak tambahan kepadanya menerusi drama Sesuci Cinta Soffiyah bersiaran di TV3 suatu ketika dulu.
Ketika itu, susuk tubuh Izreen sedikit gempal berbanding sekarang. Ketika itu juga, Izreen baru mengenal gerak kerja kamera dan perangai kru di lokasi penggambaran. Malah, dengan watak tambahan yang diberikan dan sekalipun hanya satu babak, Izreen tetap datang ke lokasi penggambaran menaiki teksi kerana ketika itu dia belum mempunyai kereta.
Sebelum meraih perhatian dan populariti yang makin mendadak ketika ini gara-gara kemunculan menerusi drama bersiri Juvana di TV3, dia mengakui pernah berputus asa dengan pengalaman pertamanya bergelar pelakon. Ketika itu, saiz badannya menjadi ukuran dan kekangan untuk melangkah lebih jauh.

“Sejujurnya, memang dulu peluang berlakon memang agak terbatas. Almaklumlah masa itu saya kembang semangkuk (merujuk kepada saiz badan gempal). Pada masa sama, mak saya pun tak suka saya menjadi pelakon. Mak bersikap menghalang tetapi saya meminta diberi tempoh untuk membuktikan apa yang saya mahukan.

“Cuma ketika awal pembabitan seni, saya sering mempersoalkan diri dengan mentaliti dan persepsi masyarakat tempatan yang ternyata lebih disogok dengan sesuatu yang cantik. Kenapa yang cantik saja diutamakan sedangkan bakat jatuh di tangga kedua. Hal ini jadi subjektif,” katanya saat ralit disolek jurusolek Otong.

Setahun lebih berusaha menguruskan badan, ia semakin membuahkan hasil apabila tawaran berlakon mula datang. Sekitar 2009, lagaknya yang dulu sedikit berisi dan kasar perangainya perlahan demi perlahan bertukar menjadi lebih kurus serta tampil feminin.
“Abang Rosyam sendiri menjadi pembakar semangat dan mencabar diri untuk saya menguruskan badan. Saya sahut cabaran demi kebaikan sendiri. Saya tak mengambil nasi dalam setahun lebih sampai menggeletar badan. Tapi saya seimbangkan dengan pemakanan sihat dan aktiviti mengeluarkan peluh.

“Saya ada membuat senaman sambil berpandukan cakera padat tarian yang ditonton di rumah. Seiring peningkatan usia, perwatakan diri saya pun lebih matang. Saya bukan lagi anak kedua daripada tiga beradik yang berperangai lasak dan bergaul dengan lelaki,” kata Graduan Jurusan Kewartawanan Malaysian Institute of Integratif Media (MIIM) ini.

Diaju tidakkah dia berminat untuk meneruskan kelangsungan cita-citanya bergelar wartawan, Izreen hanya mampu tersenyum manja. Akuinya, jiwanya kini lebih terarah kepada seni apatah lagi sedari kecil dia gemar meniru gaya lakonan seseorang pelakon yang diminatinya.

“Emak suruh belajar di MIIM sebelum ini pun sebab dia mahu saya jadi pembaca berita. Tapi saya tak rasa itu kerjaya pilihan sebenar. Dengan dialek utara saya yang agak pekat ini, takut pula tersasul kalau baca berita. Bayangkan masa berlakon pun boleh tergelincir bercakap dalam dialek Utara,” katanya.

Selepas aktor Rosyam Nor menawarkan beberapa watak dalam beberapa drama seperti Gelora Di Hati Sara 2, Nenek Kebaya dan Isabella, dia yang pernah berlakon dalam filem Otai dan Nana Tanjung 2 kini berpeluang bekerja di bawah pengarah dan penerbit tersohor antaranya seperti Kabir Bhatia dan Michael Ang.

“Alhamdulillah, hari demi hari tawaran berlakon itu datang. Daripada sering ditawarkan peranan antagonis, saya ditawarkan watak sebaliknya pula. Menerusi drama Juvana, saya buat kali pertama diberi peranan bertudung menerusi watak Cikgu Zakiah.

“Selepas Juvana, saya diberi peluang sekali lagi bekerjasama dengan Kabir Bhatia untuk telefilem raya yang disiarkan di TV3 musim Aidilfitri lalu berjudul Di Telapak Kaki Bonda. Bersama Michael pula saya bermula dengan peranan kecil dalam telefilem Tangisan Langsuir.

“Seterusnya, Michael membuka peluang untuk saya berlakon dalam Penanggal, Mimi Mencari Cinta, Mendongak Ke Langit dan Berselindung Di Sebalik Kaabah. Insya-Allah November ini, drama Zikir Buat Dhia lakonan saya akan disiarkan. Ia diarahkan Feroz Khan dan turut dilakonkan Nora Danish dan Adi Putra,” katanya yang terpaksa menolak tawaran berlakon filem Azazil arahan Kabir Bhatia kerana sudah ada komitmen lain.

Gosip Fizz Fairuz calar imej

DALAM sisi lain, kanvas seni Izreen pernah tercalar dengan gosip yang mengaitkan dirinya menjadi orang ketiga di sebalik cinta yang terjalin antara Fizz Fairuz dan dramatis, Almy Nadia. Lebih pedih, Fizz dalam kenyataannya sebelum ini mempersoalkan siapa Izreen dan tidak pernah bertemu.

Sedangkan mereka pernah berlakon sama dalam telefilem Zawa Afnan dan drama Stanza Cinta. Sehingga kini, Izreen tidak menafikan gosip dan kenyataan berani Fizz itu memang cukup pedih sekali gus membuatkan hatinya tersentap.

“Cerita ini pun sudah berlalu. Saya tak mahu kenang lagi. Tetapi ia menjadi gosip yang paling mencalar diri saya. Saya sendiri terkejut kenapa kenyataan Fizz boleh jadi sebaliknya. Biarlah. Saya masih boleh berlagak biasa jika ada tawaran berlakon dengannya. Tiada dendam di hati saya,” katanya yang digandingkan satu pasukan dengan Almy Nadia dalam game show, Siapa Terhebat yang disiarkan musim raya lalu.

Sebelum mengakahiri perbualan, Izreen turut diusik kisah kononnya dia kini rapat dengan pelakon meningkat naik, Johan As’ari. Bagaimanapun, Izreen tidak mahu mengulas lanjut kerana bimbang disalah erti. Mereka buat julung kalinya berlakon sama dalam drama Juvana.

“Nak kata bercinta itu masih jauh untuk diperkatakan. Tapi apa yang boleh saya katakan, dia memang paling rapat masa kami berlakon Juvana. Dia boleh saya kelaskan seperti Best Friend Forever (BFF). Ada masa terluang kami lepak berdua dan juga dengan kawan. Ibu kami masing-masing pun sudah kenal,” katanya yang menetap di rumah pemberian ibunya di Wangsa Maju sempena sambutan hari lahir ke-24, baru-baru ini.

Wajah Izreen kini juga boleh ditonton menerusi TV9 dalam drama Keimanan Cinta. Menurut Izreen, drama itu menjadi percubaan pertamanya diberi peranan heroin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: