|
LEILA Luliana da Costa Vieira Lopes bukanlah wanita berkulit hitam pertama dimahkotakan gelaran Ratu Cantik Universe.
Acara berprestij yang masuk ulang tahun ke-60 yang berlangsung di Sao Paolo, Brazil awal September lalu telah merakam sejarah bahawa Lopes adalah wanita berkulit hitam keenam yang berjaya memiliki mahkota itu.
Lopes yang dilahirkan pada 26 Februari 1986 di Benguela, Angola merupakan seorang pelajar jurusan pengurusan perniagaan di Britain. Dia dimahkotakan gelaran Ratu Cantik Angola United Kingdom (UK) pada Oktober tahun lalu.
Dia kemudiannya memenangi gelaran kedua iaitu Ratu Angola 2011 dalam sebuah acara yang diadakan dua bulan kemudiannya di Luanda. Dalam pertandingan berkenaan, dia turut memenangi anugerah Ratu Fotogenik.
Pada kemenangannya meraih mahkota Ratu Cantik Universe tersebut, mahkota tersebut disarungkan oleh bekas ratu terdahulu iaitu Ximena Navarrete dari Mexico.
Selain merupakan wanita berkulit hitam keenam yang memenangi gelaran berkenaan, Lopes adalah wanita pertama dari Angola yang pernah memegang gelaran di pertandingan ratu cantik berprestij tinggi itu.
Sebagai rekod, Lopes ialah wanita Afrika pertama yang memenangi mahkota tersebut di milenium baharu.
Memiliki mahkota Ratu Cantik Universe semestinya membuktikan bahawa pemiliknya mempunyai sesuatu yang lebih berbanding 88 peserta lain yang mengambil bahagian.
Lopes memenangi hati juri melalui jawapan yang diberikan kepadanya ketika sesi temu bual personaliti bersama hos pertandingan, Andy Cohen dan Natalie Morales mengenai kekurangan fizikal yang ingin diubahnya.
"Saya bersyukur kepada tuhan kerana diciptakan sebegini dan saya tidak akan mengubah rupa saya.
"Saya dikurniakan kecantikan dalaman yang saya warisi daripada nilai-nilai murni yang diterapkan oleh kedua-dua ibu bapa saya dan saya akan amalkannya sehingga akhir hayat saya," katanya.
Lopes sememangnya sudah mengangankan mahkota Ratu Cantik Dunia sejak kecil. Dia juga gemar membaca dan menyukai kosmetik.
Lopes berada di hadapan pemenang tempat kedua, iaitu Ratu Ukraine, Olesia Stefanko dan pemenang tempat ketiga, Priscila Machado dari Brazil.
Wanita Pertama Angola, Ana Paula turut berbangga dengan pencapaian Lopes.
"Leila sememangnya ratu kami dan semua wanita Angola berasa seperti ratu dunia. Ia sebuah penghargaan yang tinggi kepada kami untuk berada di sana di dalam pertandingan yang disertai oleh lebih 80 orang wanita dari seluruh dunia, dengan sikap yang berbeza, kepelbagaian budaya dan agama. Dan mereka memilih Angola," ujarnya bangga.
Potensi wanita Afrika

Sejarah wanita berkulit hitam mewarnai arena Ratu Cantik Universe mula diukir oleh Evelyn Miot dari Haiti yang menjadi wanita berkulit hitam pertama berjaya sampai ke peringkat separuh akhir pada tahun 1962.
Ratu Curacao, Anne Marie Braafheid pula menjadi pemegang gelaran ratu paling berjaya ketika itu.
Pada tahun 1968, dia mencipta beberapa rekod dalam pertandingan Ratu Cantik Universe. Braafheid menjadi peserta kulit hitam kedua berjaya menduduki senarai lima finalis dan yang berjaya mendapat tempat kedua dalam pertandingan berprestij itu.
Pada tahun berkenaan, mahkota Ratu Cantik dunia dimenangi oleh Martha Vasconcellos dari Brazil.
Bagaimanapun, pesona si 'mutiara hitam' tetap tidak dapat dinafikan. Wanita berkulit hitam pertama yang dimahkotakan gelaran Ratu Cantik Universe ialah Janelle Commissiong yang berasal dari Trinidad dan Tobago pada tahun 1977 dalam acara yang dipertandingkan di Santo Domingo, Republik Dominica.
Margaret Gardiner dari Woodstock, Afrika Selatan pula mengikut jejak langkah Commissiong dengan merangkul gelaran Ratu Cantik Universe tahun 1978 ketika berumur 18 tahun. Dia menerima mahkota daripada Commissiong pada acara yang diadakan di Acapulco.
Gardiner kini bekerja sebagai wartawan cetak dan televisyen di Los Angeles dan telah berkahwin dengan seorang profesor dari UCLA, Andre Nel.
Selang 13 tahun, mahkota Ratu Cantik Universe sekali lagi menjadi milik peserta kulit hitam pada tahun 1992. Michelle McLean yang dilahirkan pada tahun 1972 di Namibia dimahkotakan gelaran itu ketika berusia 19 tahun. Dia ialah satu-satunya wanita dari Namibia yang pernah memenangi gelaran itu.
Enam tahun kemudian, Wendy Fitzwilliam dari Trinidad dan Tobago memenangi mahkota Ratu Cantik Universe pada tahun 1998, diikuti Mpule Kwelagobe dari Botswana yang dinobatkan sebagai juara pertandingan itu pada tahun 1999 dalam acara yang diadakan di Chaguaramas, Trinidad dan Tabago.
Kontroversi Lopes
![]() |
| KEYAKINAN Lopes mencuri hati juri untuk memilihnya sebagai Ratu Cantik Universe ke-60. |
Gelaran hebat lazimnya hadir dengan prasangka. Begitu juga dengan Lopes yang baru beberapa minggu menyandang gelaran Ratu Cantik Universe dan mengecapi impiannya. Wanita dengan senyuman manis itu tiba-tiba menjadi subjek tuduhan berunsur fitnah untuk menjatuhkannya. Betapa berat dakwaan itu, memang mampu memperjudikan status yang dimilikinya jika terbukti benar.
Akhbar di Argentina iaitu Infobae menuduh Lopes mendapat pertolongan seorang lelaki bernama Charles Mukano untuk bertanding di dalam pertandingan Ratu Angola United Kingdom (UK) walaupun tinggal di Angola. Cara itu dikatakan melanggar undang-undang pertandingan.
Mukano juga dituduh merasuah juri Ratu Angola UK untuk memastikan Lopes menang dan membantunya mendapatkan dokumen bagi membuktikan dia sedang mengikuti pengajian pengurusan perniagaan di English University.
Kemenangan dalam pertandingan itu membolehkan Lopes menyertai pertandingan Ratu Cantik Universe. Justeru, sekiranya dakwaan berkenaan benar, Lopes kemungkinan terpaksa memulangkan gelaran yang telah dimahkotakan kepadanya.
Club-K yang merupakan sebuah penerbitan Portugis turut menyiarkan artikel mengenai tuduhan sama termasuk kisah pemahkotaan Lopes sebagai Ratu Angola pada tahun 2010.
Menurut artikel itu, dua sumber tidak dikenali menuduh berlakunya perbuatan khianat berhubung pertandingan tersebut.
Ratu Perancis pula percaya Lopes tidak layak dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Universe berdasarkan laporan yang ditulis oleh Angel Libby di dalam laman web Style & Beauty.
Laury Thilleman berkata demikian kerana 'terganggu' dengan sikap Lopes yang didakwa tidak menyenangkan, kekurangan dari segi personaliti dan tidak mempunyai cita rasa fesyen. Dia mengadu Lopes tidak pandai bersosial.
"Dia satu-satunya peserta yang saya tidak begitu kenal. Kami tidak banyak bergaul dengannya. Ada sesuatu yang tidak kena dengannya.
"Dia juga sering memakai jean dan tidak mengenakan solekan. Kami semua terkejut dengan kemenangannya sedangkan peserta lain bekerja keras tetapi tidak diberi penghargaan sewajarnya," katanya.
Dia juga percaya sebab utama Lopes menang ialah pertandingan berkenaan diadakan di Brazil.
"Fakta bahawa pertandingan ini diadakan di Brazil pasti menjadi salah satu sebabnya," katanya yang menduduki kedudukan 10 finalis manakala Ratu Brazil berada di kedudukan tiga teratas.
Juri Ratu Dunia, Lea Salonga memberikan maklum balasnya dengan mengatakan para peserta dan orang awam harus menghormati keputusan juri kerana mereka telah membuat penilaian paling adil.
"Kami diamanahkan untuk menghakimi para peserta berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Saya tidak faham mengapa kekecohan berlaku selepas pertandingan ini berakhir.
"Semua orang haruslah menghormati keputusan juri. Saya berpegang teguh dengan keputusan yang telah dibuat," tegasnya.
Menteri Media Angola, Carolina Cerqueira berkata, kemenangan Lopes menunjukkan kecantikan dan potensi yang dimiliki rakyat Angola mampu mengatasi halangan serta cabaran di dalam hidup mereka.
"Sekiranya Lopes kehilangan tahkta itu, ia akan menyebabkan kesedihan yang besar kepada rakyat Angola, kerana di negara Afrika, masyarakatnya amat menganjungi ratu cantik yang lahir di negara ini," kata Cerqueira.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: