Monday, September 12, 2011

Idea pintar dikomersialkan


Teh Bah Chuan (kanan) membantu kerja pembangunan jentera ciptaannya.


SEBAGAI sebuah agensi di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Technology Park Malaysia (TPM) sentiasa membantu usahawan dan pereka cipta menterjemahkan dan membangunkan inovasi mereka untuk manfaat kumpulan sasar.

Demikian juga apabila soerang petani di Kedah, Tee Bah Chuan berjaya membangunkan jentera pintar lima dalam satu beberapa tahun lepas, TPM menerusi anak syarikatnya TPM Engineering memberi bantuan sokongan di bawah Innofund untuk memastikan jentera berkenaan dapat dibangunkan hingga ke peringkat komersial.

Jentera berkenaan pada mulanya dibangunkan sebagai jentera penyembur racun menggunakan komponen-komponen terpakai.

Namun, dengan bantuan TPM, ia kini dalam peringkat peningkatan skala dan pengkomersialan bagi membolehkan jentera yang boleh melakukan kerja-kerja membajak, menyisir, merata, meracun dan proses tenggiling (menekan tunggul padi) secara serentak.

Adalah amat membanggakan bagi seorang pereka tempatan yang juga anak pesawah mampu menghasilkan jentera yang boleh menjimatkan masa dan kos menyediakan tapak sawah untuk satu relung sehingga 40 peratus.

Demikian catatan ringkas kejayaan seorang petani di Pendang, Kedah itu yang sebenarnya mengorak langkah awal dengan penuh cabaran

Bah Chuan, 50-an, mengambil masa dua tahun untuk mengumpul komponen jentera tersebut.

Dia mengambil masa beberapa bulan untuk memasangnya menjadi sebuah jentera penyembur racun dengan kos RM100,000.

Usaha yang dimulakan sejak 2007 di Kampung Bukit Raya, Pendang itu merupakan satu cabaran besar baginya walaupun hanya mendapat pendidikan rendah.

Bagaimanapun dengan pengalaman sebagai mekanik mesin padi selama 30 tahun dan pengalaman bersawah menjadi pendorong kuat kepadanya untuk menghasilkan sesuatu yang dapat mengubah nasib diri.

Selain memiliki keazaman untuk meningkatkan hasil padi dan ditambah dengan cabaran yang dilontarkan pemimpin supaya petani sepertinya menggunakan jentera teknologi moden , Bah Chuan akhirnya membuktikan dia mampu menjadi pereka cipta yang mampu menyelesaikan masalah petani.

Menceritakan lebih lanjut, Bah Chuan memberitahu, dia pada mulanya cuba membawa cadangan tersebut kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Suraya Yaacob yang kemudian memberinya borang untuk dibawa ke pengetahuan MOSTI.

MOSTI pada peringkat awal memberi bantuan RM400,000 bagi tujuan peningkatan skala terhad jentera.

Menurut beliau yang ditemui di TPM, Bukit Jalil baru-baru ini, harapannya untuk melihat jentera tersebut sampai ke tangan petani kian cerah dengan penglibatan TPM.

Menerusi kerjasama dengan TPM itu, projek berkenaan menerima suntikan dana sebanyak RM2.868 juta bagi membolehkan jentera berkenaan melalui fasa pengkomersialan di bawah bantuan TPM.

Sementara itu menurut Ketua Bahagian Jualan dan Pemasaran TPM Engineering, Muhamad Husni Md. Zain, pihaknya berperanan untuk menterjemah idea pereka kepada realiti sesuai dengan kemudahan yang dimiliki TPM.

Kerja-kerja pembangunan projek siap pada Mac tahun ini dengan kos RM200,000 daripada dana Innofund untuk menghasilkan satu konsep jentera yang lengkap.

Meskipun jentera berkenaan pada dasarnya telah dibangunkan oleh pemiliknya tetapi kerja-kerja peningkatan skala perlu dilakukan.

Ini katanya, melibatkan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Dalam pada itu, menurut Naib Presiden Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Perkhidmatan Korporat TPM, Ahmad Husni Johari, pihaknya berperanan mengenal pasti penyelidikan dan pembangunan untuk dibangunkan ke peringkat komersial selain memupuk budaya inovasi di kalangan pengusaha.

TPM, kata beliau, bertindak sebagai fasilitator bagi membawa idea usahawan untuk diterjemahkan kepada realiti.

''Ini sejajar dengan asas penubuhan TPM sebagai fasilitator keusahawanan berteknologi tinggi dan meningkatkan inovasi bagi beberapa kluster yang telah ditetapkan iaitu kejuruteraan, teknologi maklumat dan komunikasi, pendidikan, latihan dan kemahiran," katanya.

Menurut beliau, usahawan mungkin tidak mampu ke peringkat pengkomersialan secara bersendirian, dan dengan itu, menjadi tanggungjawab TPM untuk membawa inovasi berkenaan ke tahap komersial.

Katanya, langkah awal dalam rantai mengkomersialkan sebarang inovasi yang berpotensi ialah mengenal pasti produk berkenaan.

Pihaknya kemudian akan membantu mendapatkan dana bagi mereka dan pada masa yang sama menilai sebarang kertas cadangan yang berkaitan.

''Kami juga berharap pereka supaya aktif menyertai usaha program kesedaran untuk mengenal pasti inovasi yang berpotensi dan mendapatkan maklumat menerusi pameran, kempen bergerak atau melayari laman web agensi yang berkaitan," katanya.

Ini kata beliau bagi membolehkan usahawan atau pereka mendapat saluran yang betul untuk menyampaikan idea mereka untuk dikembangkan dan seterusnya dikomersialkan.

Bagaimanapun, setakat ini kesedaran di kalangan masyarakat mengenai inovasi sudah mula berputik dan berkembang serta memahami hasrat kerajaan untuk memacu perkembangan ekonomi menggunakan inovasi.

Beliau berkata, selain jentera lima dalam satu itu, terdapat beberapa lagi projek atau teknologi yang sedang dinilai untuk dibangunkan iaitu:

lSistem Penentu Kedudukan Global (GPS) untuk orang buta

lPengimbas halal

lBot tenaga solar

lBuggy solar

lKiosk

lHentian teksi pintar

lPerisian pintar untuk tempahan teksi

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: