HELIZA Helmi merupakan salah seorang peserta akhir Akademi Fantasia musim ke-5 (AF5) yang terus aktif menyanyi selepas hampir empat tahun dia menyertai program realiti televisyen tersebut.
Penyanyi berusia 25 tahun itu turut mengembangkan bakat dan popularitinya dengan menjadi penceramah dalam banyak program motivasi untuk para pelajar sekolah sejak kebelakangan ini.
Menurut Heliza, dia tiada masalah memenuhi undangan berceramah kerana ia memang bersesuaian dengan dirinya yang mempunyai ijazah dalam bidang Pendidikan (Sains) dari Universiti Malaysia Sabah.
"Baru-baru ini saya dilamar sebagai penceramah jemputan bagi syarikat perunding motivasi iaitu Telaga Biru Training and Consultancy Sdn. Bhd. (TBTC) yang ditubuhkan pada November tahun lalu.
"Bertepatan dengan moto iaitu 'Kami Berbeza', tidak hairanlah jika setiap program yang diadakan berbeza daripada biasa. Penglibatan saya bersama TBTC akan diteruskan pada masa depan," katanya kepada Hits.
Program seterusnya yang melibatkan penyanyi yang popular menerusi Cinta Di Lautan Lalang itu akan dianjurkan di Hotel Seri Malaysia, Larkin, Johor Bahru pada 24 dan 25 September ini yang berlangsung selama dua hari satu malam.
"Ini satu program yang unik dan jarang dianjurkan oleh konsultan lain. Dengan pengalaman bermalam di hotel, para peserta akan didedahkan dengan motivasi pelbagai kaedah berlainan daripada tiga motivator termasuk saya.
"Program ini khusus untuk calon-calon PMR (Penilaian Menengah Rendah) dan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun ini. Ia dipadatkan dengan pelbagai teknik motivasi berbeza khusus untuk para pelajar terpilih sekitar Kuala Lumpur.
"Antara sekolah terpilih ialah SMK Taman Setia Wangsa, SMK Lembah Keramat, SMK Sungai Pusu, dan SMK R1 Wangsa Maju. Seramai 100 peserta yang terlibat ditaja sepenuhnya oleh Al Ikhsan Sports Sdn. Bhd.
"Ia dimulakan dengan slot Potensi Diri yang disampaikan oleh motivator terlatih, Zuhairi Mohd Nopiah. Ledakan Minda iaitu slot yang mendedahkan para pelajar dengan teknik hafalan berkesan dalam masa yang singkat," katanya.
Kesibukan Heliza menerima undangan menyanyi serta menguruskan syarikatnya sendiri iaitu Heliza Helmi Entertainment tidak menghalangnya untuk menerokai lebih luas lagi bidang motivasi serta pendidikan yang diminatinya itu.
Selain itu, dalam program itu Heliza turut mengendalikan slot Mutiara P. Ramlee, iaitu satu slot yang disampaikan dengan cara berbeza bagi membantu pemahaman pelajar dalam Komponen Sastera.
Slot dua jam yang dikendalikan Heliza menggunakan kaedah teknik hafalan dalam slot Ledakan Minda di mana para pelajar mampu membuat persembahan ringkas di atas pentas walaupun masa diberi hanya 10 minit.
Program-program anjuran TBTC itu dirangka bersesuaian dengan kehendak para pelajar atau remaja hari ini yang kebanyakkannya mengenali Heliza sebagai salah seorang bintang AF5 yang mempunyai ramai peminat.
Bagi membantu usaha itu, Al Ikhsan Sports Sdn. Bhd., yang terkenal dengan outlet barangan sukan di seluruh Malaysia telah menaja sepenuhnya beberapa program kendalian TBTC di seluruh Malaysia sepanjang 2011.
"Program-program percuma ini dirangka khusus untuk pelajar rendah dan menengah yang kurang bernasib baik (miskin dan yatim piatu) untuk mendedahkan mereka dengan keindahan ilmu pengetahuan dunia dan akhirat.
"Antaranya menerusi seminar motivasi dan teknik menjawab soalan peperiksaan, rombongan motivasi ke lokasi menarik, kem berkonsepkan motivasi dan kerohanian. Ia ditutup dengan satu slot Halaqah Qalbu.
"Ramai peserta yang menangis teresak-esak apabila mengenangkan harapan ibu bapa dan juga hala tuju mereka pada masa depan," ujarnya lagi yang pernah berlakon dalam filem Syurga Cinta pada tahun 2009.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: