![]() |
| NAJWA Latif popular menerusi single Cinta Muka Buku. |
SETELAH lebih setahun kempen kemanusiaan Kami Prihatin dicetuskan oleh akhbar Utusan Malaysia secara berperingkat, kini ia mendapat kerjasama NAM Institute for the Empowerment of Women (NIEW) untuk menganjurkan sekali lagi kempen berkenaan di Universiti Malaya (UM) pada 27 September ini.
Kempen yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama Utusan Malaysia, Astro dan Karyawan bakal berlangsung di Kompleks Perdana Siswa UM seawal 9 pagi dijangka meriah dengan kehadiran artis-artis popular tanah air.
Antara artis yang terlibat ialah Bienda, Ana Raffali, kumpulan Raihan dan bakat baru yang kini mula mencuri perhatian, Najwa Latif yang cukup popular dengan lagu Cinta Muka Buku.
Pada masa yang sama, turut diadakan Karnival NIEW Ladies 2011 yang bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang isu-isu berkaitan wanita dan memberi inspirasi kepada generasi muda terutamanya wanita untuk menjadi pemimpin negara di masa akan datang.
Sepanjang karnival itu berlangsung, pelbagai aktiviti berkaitan yang membangkitkan kesedaran sivik akan diadakan seperti ceramah motivasi, forum kepimpinan yang dihoskan oleh personaliti TV3, Ahmad Fedtri Yahya.
Terdapat juga beberapa acara permainan yang dianjurkan berkonsepkan pengajaran dengan menawarkan hadiah-hadiah menarik untuk memancing kehadiran anak-anak muda.
Bukan itu sahaja, pameran yang berkaitan moraliti manusia turut diadakan dan disertai oleh pelbagai pihak serta agensi kerajaan bagi membentuk sahsiah diri yang positif selaras kemajuan Malaysia menuju 2020.
Bermodalkan paparan gambar-gambar tragis serta laporan menyayat hati kes pembuangan bayi yang pernah dilaporkan Utusan Malaysia selama ini, penganjur menyimpan hasrat menggunung agar objektif untuk menerapkan nilai-nilai murni di kalangan jiwa remaja berjaya dicapai.
Sebuah forum mengenai keruntuhan akhlak remaja kini yang akan dibahaskan oleh juara program realiti Imam Muda musim pertama, Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan atau Asyraf.
Karnival yang akan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu turut menyediakan beberapa aktiviti pentas yang menyaksikan penglibatan pelajar-pelajar UM sebelum bermulanya konsert mini yang akan berlangsung pada sebelah malam.
Menariknya, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan artis yang terlibat dengan rangkaian lagu-lagu popular mereka.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: