Monday, September 19, 2011

GEOX mahu buka kilang di Malaysia

KASUT keluaran GEOX bermutu tinggi serta menggunakan teknologi baru.
KASUT keluaran GEOX bermutu tinggi serta menggunakan teknologi baru.
Syarikat lihat pasaran berpotensi, cuaca sesuai dengan produk dihasilkan

GEOX SpA, pengeluar kasut dan tekstil gaya hidup kedua terbesar dunia dari Itali berminat untuk membuka kilang pengeluarannya di Malaysia, berikutan meningkatnya potensi pasaran produk berkenaan di rantau Asia Pasifik.
Pengerusi dan Pengasasnya, Mario Moretti Polegato, berkata secara dasarnya syarikat itu terbuka kepada peluang untuk berkembang dan melihat potensi rantau ini sebagai antara kawasan pertumbuhan akan datang syarikat itu.
“Kami turut melihat Malaysia sebagai pasaran yang berpotensi kerana cuaca di negara ini sesuai dengan produk yang dihasilkan teknologi digunakan syarikat kami,” katanya dalam temu bual dengan Berita Harian di luar Persidangan Ketua Eksekutif Forbes ke-11 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Polegato, yang mengasaskan syarikat itu pada 1995 bagaimanapun enggan memberikan butiran lanjut mengenai cadangan itu.

GEOX yang beribu pejabat di Montebelluna, Itali kini mempunyai kilang pengeluaran di Romania, China, Vietnam, Indonesia, Brazil, Slovenia, India, Macau, Thailand dan Korea Selatan.

Syarikat itu disenaraikan di Milan Stock Exchange dengan disokong 30,000 kakitangan di seluruh dunia.
Mengenai rancangan peluasan cawangannya di Malaysia, Polegato berkata ia bergantung kepada permintaan pasaran dan juga rancangan pengembangan pemegang francais jenama itu di Malaysia, Larrie Shoes.

"Strategi perniagaan kami lebih kepada membangunkan teknologi bagi menghasilkan produk bermutu kepada pelanggan," katanya.

Jenama GEOX mula berada di Malaysia pada 2007 menerusi pembukaan cawangan pertamanya di Lot 10 sebelum membuka empat lagi cawangan di Lembah Klang.

Selain menghadiri persidangan di Kuala Lumpur, Polegati juga mengambil kesempatan berada di Malaysia untuk memperkenalkan teknologi baru yang digunakan syarikat itu menerusi produk terbarunya yang kini digunakan oleh pendahulu kejuaraan Formula Satu, Team Red Bull.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, GEOX juga terbuka untuk menerima pelajar dari Malaysia yang berminat mempelajari teknologi pembuatan kasut syarikat itu menerusi fakulti khusus yang disediakannya di Itali.

"Kita menerima pelajar dari seluruh dunia setiap tahun, termasuk dari Amerika Syarikat (AS) dan Asia. Sesetengah dari mereka kemudiannya diambil menjadi kakitangan tetap syarikat," katanya.

GEOX kini mempunyai kira-kira 50 produk dipatenkan.

Ia syarikat kasut terbesar Itali dan pada tahun lalu ia menjual 20 juta pasang kasut di seluruh dunia.

Polegato berkata, peluang GEOX akan meraih tempat teratas sebagai pengeluar kasut kasual gaya hidup adalah besar, didorong penggunaan teknologi barunya, pelaburan dalam F1 dan organisasi yang efektif.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: